Jumlah kurma sumbangan Arab Saudi kembali ke paras sebelum pandemik COVID-19
Jumlah itu kira-kira seganda lebih tinggi berbanding jumlah yang diterima sewaktu pandemik.
"Tahun ini kita dapat 40 tan dan dua kontena sudah sampai, satu kontena lagi dalam perjalanan. Saya diberitahu bahawa ke Singapura yang paling banyak sekali yang mereka hantar, secara keseluruhannya 40 tan. Pada dua tahun COVID-19 mereka hantar dalam 20 dan 21 tan," kata Imam Masjid Ba'alwie, Ustaz Habib Hassan.
Ini juga menandakan tahun ke-30 tradisi muhibah antara Arab Saudi dengan Singapura itu diteruskan.
Pengagihannya tahun ini berlangsung selama dua hari.
Agihan kurma buat masjid dan pihak pertubuhan itu bermula seawal pukul 10.00 pagi dan berlangsung sehingga 4.00 petang pada Sabtu (4 Mac).
Meski hujan, para relawan memastikan agihan kurma kepada wakil daripada pertubuhan-pertubuhan dan masjid-masjid tetap berjalan lancar di Masjid Ba'alwie yang terletak di Lewis Road itu.
Sekitar 60 masjid dan 50 persatuan menerima bahagian masing-masing hari ini (4 Mac).
Antara masjid yang berbesar hati menerima sumbangan kurma itu adalah Masjid Pulau Bukom.
"Ini terutama sekali pekerja Shell dan juga kontraktor yang ramai merupakan pekerja Islam dan juga warga asing yang datang untuk berbuka puasa di Masjid Pulau Bukom," tambah beliau.
Wakil daripada Masjid Mujahidin pula, Maksod Ahamad, juga melahirkan penghargaannya kepada pihak Masjid Ba'alwie yang bantu untuk menjayakan projek ini.
"Insya-Allah 20 kotak kami akan hantar ke Masjid Al-Amin dan mereka akan gunakan untuk iftar bulan Ramadan nanti dan juga diagih-agihkan kepada keluarga yang memerlukan di kawasan Telok Blangah. Bakinya kami akan berikan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan di bawah naungan kami di seluruh Singapura," kata wakil Ghifari Events Management, Mohd Razib Ibrahim.
Dalam meraikan semangat muhibah, kurma-kurma ini turut dikongsikan bersama pertubuhan-pertubuhan bukan Islam bagi diagihkan kepada golongan memerlukan.
"Persatuan-persatuan yang bukan Muslim, ada juga mereka meminta kurma dan kami berikan kepada hampir sepuluh agama di Singapura. Kebanyakan orang-orang yang bukan Islam ini dia terima kurma, dia bagikan kepada masyarakat Islam, sahabatnya atau jiran-jirannya dan mereka sangat berbesar hati," tambah beliau.
Beliau juga memberitahu BERITAMediacorp bahawa Persatuan Buddha turut mendermakan 20 tan beras bagi diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah untuk mereka berbuka puasa.
Dalam kemeriahan acara agihan kurma pada Sabtu (4 Mac), Uztaz Habib Hassan juga memaklumkan kepada BERITAMediacorp bahawa individu yang bertanggungjawab atas pemberian kurma daripada Arab Saudi selama 30 tahun, Sheik Muhammad Albeity, telahpun meninggal dunia pada 12 Februari lepas.
"Saya rasa cukup sedih bila saya dengan khabar dia meninggal. Hampir tiap hari kami berhubung melalui SMS. Dia meninggal pada 12 Februari lepas dan akhir sekali dia hantarkan SMS kepada saya adalah pada 10 Februari. Sekali saya dapat khabar dari Madinah bahawa dia sudah meninggal dunia dan dikebumikan di Makkah," kata Uztaz Habib Hassan dengan nada pilu.
Pengagihan kurma di Masjid Masjid Ba'alwie ini akan diteruskan pada Ahad (5 Mac) bagi orang awam pula bermula jam 10.00 pagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.