Skip to main content

Singapura

Jumlah kesalahan libatkan penjual e-basikal merosot 3 kali lebih rendah pada 2024

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jan 2025 07:34PM Dikemas Kini : 28 Jan 2025 09:58PM
SINGAPURA: Jumlah kes berkaitan e-basikal (PAB) yang melibatkan para penjual merosot tiga kali ganda tahun lalu.

Sebanyak 17 kes dicatat pada 2024, berbanding 55 kes pada tahun 2022.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), kes-kes itu termasuk menyimpan alat tidak berdaftar di dalam kedai serta nombor plat yang tidak dipaparkan dengan betul.

Pihak berkuasa sedang berusaha mengatasi kesalahan berkaitan e-basikal dengan mempergiatkan usaha pendidikan dan penguatkuasaan.

Ramai pekerja penghantaran makanan bergantung pada e-basikal seperti ini dalam melakukan tugas harian mereka.

Alat sebegitu membantu mereka mencapai jarak lebih jauh dengan pantas dan mudah.

Salah seorang penjual e-basikal berkata, pada hakikatnya, sekitar 95 peratus pembeli e-basikal merupakan pekerja penghantaran makanan.

Namun, penjualan alat PAB terikat dengan beberapa syarat perlindungan yang ketat.

"Ia perlu mematuhi EN15194, piawai antarabangsa untuk PAB. Langkah seterusnya adalah menghantar e-basikal untuk mendapat kelulusan daripada LTA.

"Mereka akan lakukan pemeriksaan ketat ke atas PAB tersebut. Setelah itu, mereka akan lekatkan meterai jingga LTA pada PAB itu. Ia juga akan menjadi nombor pendaftaran e-basikal itu," kata Pengurus Besar MOBOT, Chew Boon Hur.

Encik Chew berkata e-basikal yang tulen serta mendapat kelulusan ialah pilihan pengangkutan yang selamat.

Bahaya mula timbul apabila pengguna mula mengubah suai e-basikal mereka.

"Mereka mungkin ingin menukar saiz bateri kepada yang lebih besar supaya dapat pergi lebih jauh. Ada juga yang mungkin ingin membeli pengecas dengan keupayaan lebih tinggi supaya dapat mengecas bateri dengan lebih pantas.

"Kami perlu menasihati pelanggan bahawa apa-apa ubah suai yang dilakukan ke atas PAB yang sudah diluluskan oleh LTA akan melanggar syarat yang ditetapkan dan daripada sudut pandang para penjual pula, pengubahsuaian akan membatalkan jaminan. Jadi pada akhirnya, para pelanggan perlu menanggung risiko sepenuhnya," kongsi Encik Chew.

Minggu lalu, seorang penjual e-basikal disaman S$7,000 atas kesalahan menjual alat PAB yang diubah suai secara haram serta sebuah bateri yang tidak mematuhi ketetapan.

Alat-alat itu dikaitkan dengan dua kebakaran berbeza yang berlaku tahun lalu, menyebabkan salah seorang pengguna mengalami kelecuran pada tubuh.

LTA menyatakan ia kerap menjalankan penguatkuasaan terhadap penjual dan pengguna e-basikal yang masih berdegil.

Pengguna juga dinasihati supaya membeli daripada sumber yang boleh dipercayai. Sama penting adalah untuk mereka memeriksa e-basikal terpakai untuk sebarang kerosakan.

Pasaran online seperti ini mempunyai ratusan senarai e-basikal yang dijual.

Seorang pemerhati berkata kebanyakan pengguna kini sudah seharusnya tahu undang-undang yang ditetapkan untuk alat-alat seperti ini, terutama sekali dengan adanya usaha-usaha yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan menggunakan e-basikal.

"Terdapat banyak PAB di luar sana dan tidak munasabah untuk memeriksa setiap e-basikal, pada setiap hari. Jadi saya rasa apa yang dilakukan pihak penguasa sekarang adalah untuk tumpukan pada usaha penguatkuasaan atas perkara-perkara yang menjadi kebimbangan utama orang ramai.

"Contohnya, kelajuan yang berlebihan dan penggunaan PAB di atas laluan yang tidak dibenarkan," kata Profesor Madya Walter Theseira dari Sekolah Perniagaan, SUSS.

Menurut beliau, satu keseimbangan perlu dicapai antara penguatkuasaan, pendidikan dan pengguna yang perlu menggalas tanggungjawab menggunakan e-basikal.

Ini termasuk mengutamakan keselamatan diri sendiri serta orang lain terlebih dahulu.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita