Jumlah kes penipuan SG, kerugian merosot dari Jan-Jun 2025
SINGAPURA: Jumlah kes penipuan yang dilaporkan di Singapura merosot selepas meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Menurut perangkaan pertengahan tahun yang dikeluarkan oleh polis pada Sabtu (30 Ogos), terdapat 19,665 kes dalam separuh pertama 2025 - turun 26 peratus berbanding 26,563 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.
Jumlah kerugian akibat penipuan juga menurun sebanyak 12.6 peratus bagi tempoh yang sama, iaitu kepada S$456.4 juta berbanding kira-kira S$522.4 juta pada tahun sebelumnya.
Kerugian melibatkan mata wang kripto membentuk 17.9 peratus daripada jumlah keseluruhan, atau sekitar S$81.6 juta.
“Penipu menyasarkan mata wang kripto mungkin disebabkan transaksinya yang tidak boleh dipulangkan serta kebolehjejakan (traceability) yang terhad, menjadikan pemulihan aset hampir mustahil, tidak seperti transaksi perbankan tradisional,” kata Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya.
SPF mula mengesan statistik berkaitan penipuan sejak 2016.
Walaupun terdapat penurunan dalam jumlah keseluruhan kes pada separuh pertama 2025, polis menyatakan situasi ini masih membimbangkan, sambil menarik perhatian kepada peningkatan kes penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah, penipuan pancingan data dan perisian hasad (malware).
JENIS PENIPUAN UTAMA
Lima jenis penipuan utama mengikut jumlah kes dalam separuh pertama tahun ini ialah penipuan pancingan data, penipuan e-dagang, penipuan pekerjaan, penipuan pelaburan dan penipuan penyamaran pegawai pemerintah.
Jenis-jenis ini membentuk lebih 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Penipuan pancingan data:
Jenis ini mencatat jumlah tertinggi, iaitu 19.2 peratus daripada keseluruhan kes.
Sebanyak 3,779 kes dilaporkan pada separuh pertama 2025, meningkat 10.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Jumlah kerugian melonjak 134 peratus kepada S$30.4 juta daripada sekitar S$13 juta.
Sebahagian besar mangsa berusia antara 30 hingga 49 tahun dan biasanya tertipu melalui tawaran palsu di media sosial, yang mendorong mereka untuk memberikan maklumat kad kredit kepada penipu untuk membuat pembelian.
Penipuan penyamaran pegawai pemerintah:
Kes jenis ini naik hampir tiga kali ganda, daripada 589 kes pada separuh pertama 2024 kepada 1,762 kes pada separuh pertama tahun ini.
Jumlah kerugian meningkat 88.3 peratus kepada S$126.5 juta - kedua tertinggi daripada semua jenis penipuan.
Polis menyatakan semakin ramai mangsa dipaksa untuk mengeluarkan wang tunai, membeli jongkong emas atau mengisytiharkan harta berharga sebelum menyerahkan barangan tersebut kepada orang tengah, kononnya bagi tujuan siasatan.
Penipuan pelaburan:
Walaupun jumlah kes menurun sebanyak 19.2 peratus bagi enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, kerugian yang dicatat adalah paling tinggi.
Para mangsa kerugian sekitar S$145.4 juta pada separuh pertama tahun ini, meningkat 10.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Penipu akan menyuruh mangsa membuka dompet mata wang kripto yang baharu, kononnya bagi tujuan pelaburan, sebelum meminta pemindahan wang atau butiran log masuk.
Ada mangsa yang diberi keuntungan kecil pada awalnya bagi memikat mereka melabur dengan lebih banyak lagi.
Penipuan khidmat insurans:
Polis juga menarik perhatian kepada jenis penipuan baharu yang muncul tahun ini - penipuan khidmat insurans.
Sebanyak 791 kes dilaporkan pada separuh pertama tahun ini dengan kerugian kira-kira S$21.3 juta.
Penipu menyamar sebagai pekerja syarikat insurans dan mendakwa mangsa perlu membayar pakej insurans atau langganan percubaan yang akan tamat, melainkan ia dibatalkan.
Mangsa kemudian diminta memberikan maklumat peribadi dan membuat pemindahan wang untuk membatalkannya.
Penipuan e-dagang:
Menurut statistik pertengahan tahun polis, jumlah kes dan kerugian bagi penipuan pekerjaan, penipuan panggilan rakan palsu, dan penipuan e-dagang menurun.
Sungguhpun begitu, penipuan e-dagang masih mencatat jumlah kes kedua tertinggi daripada semua jenis penipuan pada separuh pertama tahun ini.
Tiket konsert merupakan barangan paling kerap terlibat dalam penipuan ini, membentuk 14.4 peratus daripada keseluruhan kes e-dagang.
PENIPUAN PERISIAN HASAD
Kes penipuan yang menggunakan perisian hasad meningkat 266.7 peratus kepada 363 kes pada separuh pertama tahun ini, berbanding 99 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Kebanyakan mangsa berusia 50 hingga 64 tahun.
Penipu biasanya menyalahgunakan fungsi 'Android Debug Bridge' (ADB) untuk mengakses peranti mangsa dari jauh.
Fungsi ADB ini direka sebagai alat pemaju untuk memudahkan pembuangan pepjiat aplikasi Android dengan menghubungkan komputer kepada perantinya.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengaktifkan fungsi ADB pada peranti Android mereka," kata polis.
Walaupun bilangan kes melonjak, jumlah kerugian bagi penipuan sedemikian menurun sebanyak 95.6 peratus kepada S$5.5 juta berbanding sekitar S$125.4 juta tahun lalu.
INISIATIF ANTIPENIPUAN
Penurunan kes penipuan berlaku menyusuli langkah pencegahan yang diperketatkan oleh pihak berkuasa bagi menangani isu itu sejak beberapa tahun lalu.
Pada Januari, parlimen meluluskan undang-undang baharu yang memberi kuasa kepada polis untuk mengarahkan bank menghadkan transaksi kewangan individu yang mungkin menjadi mangsa penipuan.
Setakat 20 Ogos, dua arahan sekatan sudah dikeluarkan.
Siasatan masih dijalankan, tambah polis.
Arahan sekatan ini membekukan pemindahan wang, penggunaan ATM dan kemudahan kredit, tetapi individu masih boleh mengakses wang mereka untuk perbelanjaan harian.
Langkah lain termasuk kerjasama polis dengan pihak berkepentingan utama seperti Meta, Carousell, Google dan syarikat telekomunikasi bagi menyekat kegiatan jenayah online.
Pada separuh pertama tahun ini, polis menyekat lebih 58,700 nombor telefon dan 33,300 nombor WhatsApp – masing-masing meningkat 245 peratus dan 122 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.