Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kes penipuan sewa rumah melonjak 40% kepada 979 pada 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes penipuan sewa rumah melonjak 40% kepada 979 pada 2022

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Terdapat 979 kes penipuan sewa rumah di wadah online, seperti e-dagang dan media sosial pada tahun lalu, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling di Parlimen pada Selasa (9 Mei). 

Jumlah itu satu lonjakan 40 peratus daripada 192 kes pada 2021, tambah Cik Sun, semasa menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Pasir Ris-Punggol Yeo Wan Ling.

Cik Yeo bertanya sama ada jumlah kes penipuan rumah sewa menerusi wadah online meningkat pada tahun lalu dan sama ada langkah perlindungan tambahan akan dilaksanakan untuk melindungi pemilik rumah  yang menjadi mangsa penipuan sedemikian. 

Dalam soalan susulan, Cik Yeo berkata, seorang penduduk di kawasan undinya adalah seorang pemilik rumah yang rumahnya disenaraikan online dalam satu penipuan sedemikian. Beberapa individu yang turut menjadi mangsa datang ke rumah tersebut sepanjang beberapa bulan untuk berpindah masuk. 

Beliau bertanya sama ada pemilik rumah sedemikian akan dikenakan hukuman. Menjawab, Cik Sun berkata, mereka tidak akan dihukum kecuali terbabit dalam penipuan sedemikian. 

Cik Sun turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan mengesahkan identiti ejen hartanah yang berurusan dengan mereka. 

Ia boleh dilakukan dengan menyemak identiti mereka di daftar awam Majlis Agensi Hartanah (CEA) dan menghubungi agensi hartanah berkenaan sebelum berurusan dengan ejen tertentu.  

"Jika pencarian nombor telefon yang diiklankan tidak membawa anda ke laman profil ejen hartanah itu, ia mungkin satu petanda bahawa iklan itu adalah satu penipuan, walaupun nama atau nombor pendaftaran ejen hartanah itu sudah disemak di daftar awam CEA," ujar Cik Sun. 

Tambahnya: "Kami menggesa orang ramai supaya menggunakan wadah-wadah online rasmi  seperti PropertyGuru dan wadah-wadah lain, dan tidak menggunakan wadah online lain seperti Facebook atau Carousell, yang perniagaan utama mereka bukanlah untuk sewakan hartanah."

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan