Skip to main content

Singapura

Jumlah kes penipuan di Carousell semakin meningkat; S$836,000 lesap berbanding S$938,000 dalam 11 bulan pertama

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes penipuan di Carousell semakin meningkat; S$836,000 lesap berbanding S$938,000 dalam 11 bulan pertama

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 29 Dec 2022 07:50AM Dikemas Kini : 29 Dec 2022 08:10AM

SINGAPURA: Lebih  S$830,000 lesap dek penipuan pancing data melibatkan pembeli palsu di wadah e-dagang Carousell sejak permulaan Disember.

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (28 Dis). 

Dalam satu makluman, SPF menyatakan penipu akan menyamar sebagai pembeli di Carousell dan mangsa akan diminta untuk mengisikan maklumat perbankan mereka di laman web palsu bagi memudahkan pembayaran atau penghantaran. 

Polis menarik perhatian kepada "lonjakan" jumlah kes penipuan pancing data melibatkan pembeli palsu di Carousell yang disaksikan pada bulan Disember sahaja. 

Sekurang-kurangnya 877 individu menjadi mangsa sejak awal Disember, dengan kerugian berjumlah sekurang-kurangnya S$836,000, menurut polis. 

Antara Januari hingga November, terdapat sekurang-kurangnya 975 mangsa yang terpedaya dengan penipuan pancing data seumpama itu, dengan kerugian berjumlah sekurang-kurangnya S$938,000. 

BAGAIMANA PENIPUAN PANCING DATA DILAKUKAN

Menurut makluman tersebut, penipu akan menghampiri mangsanya di Carousell dan menyatakan minat pada barang jualan mangsa yang disenaraikan di platform berkenaan. 

Setelah bersetuju dengan penjualan barang itu, penipu akan meminta maklumat kontak mangsa untuk menghantarkan pautan bagi memudahkan pembayaran atau penghantaran buat barangan tersebut. 

Bergantung kepada maklumat kontak yang diberikan, mangsa kemudian akan menerima emel, SMS atau kiriman mesej di WhatsApp daripada penipu itu dengan pautan URL atau kod QR yang mencurigakan. 

Apabila menekan pautan atau mengimbas kod QR tersebut, mangsa akan dibawa ke laman web palsu untuk mengisikan maklumat log masuk perbankan internet, butiran kad bank mereka atau kata laluan sekali sahaja (OTP). 

Urus niaga yang tidak diluluskan kemudian akan dibuat dari akaun atau kad bank mereka. 

Pengguna Carousell dinasihatkan supaya berjaga-jaga terhadap pembeli yang meminta alamat emel atau nombor telefon atas sebab bahawa maklumat berkenaan diperlukan untuk pembeli itu membuat pesanan menerusi Carousell Protection, menurut SPF. 

"Carousell tidak meminta pembayaran, pengesahan pesanan atau maklumat kad menerusi laman lain mahupun emel."

Untuk maklumat lanjut bagi membezakan laman web Carousell yang tulen daripada laman pancing data, mengesan trend penipuan atau melakukan urus niaga dengan selamat di Carousell, pengguna boleh melayari Pusat Bantuan Carousell (Help Centre), tambah SPF. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita