Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kes mingguan denggi merosot bawah 600 bulan ini

NEA tetap mengingatkan orang ramai bahawa tahap kewaspadaan berterusan itu penting sedang kes terus kekal tinggi, melebihi musim kemuncak denggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Sep 2022 02:47PM Dikemas Kini : 28 Sep 2022 09:16PM
SINGAPURA: Jumlah mingguan kes denggi yang dilaporkan merosot dari paras rekod 1,568 pada bulan Mei kepada kurang 600 pada bulan September.

Namun tahap kewaspadaan berterusan itu penting memandangkan jumlah kes mungkin terus kekal tinggi, melebihi musim kemuncak denggi, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam kenyataan medianya.

Kenyataan tersebut juga dikeluarkan seiring dengan laporan tahunan pada Rabu (28 Sep).

Jumlah kelompok denggi juga turun sekitar 62 peratus daripada paras tertinggi sebanyak 422 kelompok pada bulan Jun, menurut jumlah yang dikeluarkan NEA.

Ini meskipun adanya kenaikan lebih 200 kes mingguan pada Februari.

NEA pada Rabu mengeluarkan Laporan Kemampanan Bersepadu 2021/2022, yang menyediakan butiran prestasi korporat, kewangan dan kemampanan agensi itu bagi Tahun Kewangan 2021 dan juga merakam kegiatan, pencapaian dan prestasi kewangan NEA.

Antaranya, gambaran keseluruhan keadaan denggi, yang mencapai kemuncaknya antara Jun dengan Oktober, tetapi menyaksikan tanda-tanda penularan lebih awal tahun ini.

Laporan itu merujuk beberapa faktor bagi kenaikan tersebut, termasuk kurangnya imuniti silang perlindungan daripada kes-kes sebelum ini, jumlah nyamuk yang semakin banyak dan penularan virus jenis serotaip 3 (DENV-3) yang dulu jarang dilihat.

Penduduk Singapura mudah terdedah kepada penularan meluas denggi disebabkan imuniti rendah terhadap denggi.

Untuk menangani kenaikan itu, NEA mempercepatkan pelancaran Kempen Pencegahan Denggi Kebangsaan, di mana sepanduk baru masyarakat berwarna ungu dilancarkan sebagai sebahagian daripada Sistem Amaran Masyarakat Denggi yang berdasarkan kod warna.

Ini untuk memaklumkan kepada para penduduk tentang keadaan denggi di estet mereka.

Sepanduk-sepanduk amaran itu ditempatkan di kawasan-kawasan kelompok bukan denggi dengan jumlah nyamuk Aedes yang terus kekal tinggi sebagai peringatan visual supaya penduduk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kewujudan kelompok denggi.

NEA juga bekerjasama dengan rakan-rakan agensi dalam usaha pendampingan dan mengagihkan 800,000 botol ubat penghalau nyamuk kepada murid prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah dengan Yayasan Temasek.

Untuk saling melengkapi usaha-usaha itu, NEA juga melepaskan lebih banyak nyamuk Wolbachia-Aedes di lapan tapak tambahan sejak Julai 2022 di bawah Project Wolbachia.

Sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan, NEA menjalankan sekitar 409,000 pemeriksaan di seluruh Singapura pada separuh pertama tahun ini.

Ini termasuk 2,800 pemeriksaan di tapak-tapak binaan.

Dalam tempoh yang sama, NEA mengenakan denda kepada 1,300 keluarga kerana membiarkan pembiakan nyamuk dan 6,565 notis undang-undang kepada para pemilik rumah dan penghuni.

Penguasa itu juga mengeluarkan 70 Perintah Henti Kerja kepada tapak-tapak binaan dan mendakwa 28 kontraktor di mahkamah.

Sekitar 11,300 tempat pembiakan nyamuk dikesan dalam separuh pertama tahun ini bagi semua jenis premis.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan