Jumlah kes denggi melonjak, naik seganda pada suku pertama 2024; 7 kes kematian dilaporkan
Singapura mengalami lonjakan dalam jumlah kes jangkitan denggi, dengan bilangan kes pada suku pertama tahun ini naik seganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Lebih daripada 5,000 kes denggi dilaporkan, iaitu kenaikan daripada 2,360 kes pada suku yang sama tahun lalu, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan media pada Ahad (31 Mac).
Setakat 25 Mac, tujuh orang maut akibat jangkitan denggi. Enam kes kematian dicatatkan bagi keseluruhan tahun 2023.
Perangkaan tersebut didedahkan semasa pelancaran kempen pencegahan denggi kebangsaan hari ini (31 Mac), menjelang musim kemuncak kes jangkitan denggi pada bulan Mei hingga Oktober.
Sejak permulaan tahun ini, jumlah kes denggi yang dilaporkan setiap minggu kekal tinggi, iaitu melebihi 300.
Begitu juga dengan jumlah nyamuk Aedes aegypti, dengan jumlah tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui di kawasan perumahan pada Januari lalu naik seganda berbanding Januari tahun lalu.
Dalam kemas kini terkini NEA di lamannya, terdapat 27 kelompok jangkitan denggi di bawah tahap amaran berwarna "merah" setakat 28 Mac, merujuk kepada kawasan berisiko tinggi yang mempunyai 10 atau lebih kes.
"Penduduk di Singapura juga mempunyai daya ketahanan rendah terhadap keempat-empat serotaip virus denggi," menurut NEA.
"Kesemua faktor risiko denggi yang muncul secara berterusan mungkin menyebabkan kenaikan dalam jumlah kes denggi dalam beberapa bulan mendatang, jika tindakan memadai diambil."
Menurutnya, wabak denggi dapat dielakkan pada tahun lalu disebabkan langkah kawalan dan pencegahan yang dipertingkat.
Oleh demikian, jumlah kes jangkitan denggi merosot sebanyak 69 peratus - daripada 32,713 kes pada 2022 kepada 9,949.
NEA menjalankan lebih daripada 813,000 pemeriksaan pada 2023, di mana ia menemui lebih daripada 19,600 tempat pembiakan nyamuk.
Lebih separuh daripadanya ditemui di rumah, 38 peratus di kawasan awam dan 5 peratus di tapak-tapak binaan.
Sekitar 11,200 tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemilik premis dengan pembiakan nyamuk manakala sekitar 800 tindakan penguatkuasaan dan 108 arahan henti kerja dikeluarkan kepada tapak-tapak binaan.
Lebih daripada 100 kontraktor diheret ke mahkamah atas kesalahan berulang.
NEA menyatakan serupa dengan tahun lalu, menjalinkan kerjasama dengan pihak berkepentingan demi meningkatkan kesedaran masyarakat dan usaha pencegahan denggi adalah penting dalam memerangi denggi.
"Kempen Pencegahan Denggi Kebangsaan 2024 menekankan bahawa pencegahan denggi adalah sebuah tanggungjawab sosial, dan akan terus menggalakkan masyarakat supaya terus berwaspada dan mengurangkan risiko jangkitan denggi," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.