Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kes COVID-19 mula stabil tetapi 'apa sahaja boleh berlaku', kata Gan Kim Yong

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes COVID-19 mula stabil tetapi 'apa sahaja boleh berlaku', kata Gan Kim Yong

Orang ramai memakai pelitup di Tampines. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Meskipun jumlah kes jangkitan COVID-19 sudah stabil dalam beberapa hari lalu, ia kekal penting untuk pihak berkuasa terus memantau keadaan sebelum membuka semula negara.

Demikian menurut pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, Gan Kim Yong.

"Anda boleh mengatakan bahawa kita mungkin semakin hampir dengan kemuncaknya. Namun apa sahaja boleh berlaku," kata beliau di Parlimen hari ini (4 Mac) sebagai respons kepada pertanyaan tentang usaha Singapura untuk membuka negara ini.

"Lantaran itu, penting untuk kita memastikan bahawa kita terus memantau dan memerhatikan dengan teliti sebelum membuka semula (negara) pada skala lebih besar."

Singapura melaporkan 18,162 kes baru COVID-19 setakat tengah hari semalam (3 Mac), dengan kebanyakannya merupakan kes Protokol 2 atau mereka yang dinilai mengalami gejala ringan atau dalam keadaan sihat.

Kadar mingguan pertumbuhan jangkitan kekal tidak berubah pada 0.98, menjadikannya hari kedua berturut-turut dengan kadar sedemikian di bawah 1.

"Ia juga penting untuk mengetahu bahawa dengan semua langkah yang kita laksanakan, kita dapat memastikan bahawa kes serius kekal rendah, boleh diuruskan (dan) kes-kes ICU juga dapat dikendalikan," kata Encik Gan.

"Dalam pada itu, sebahagian besar kes juga bermakna hospital-hospital kita sangat, sangat sibuk. Jadi penting untuk kita memastikan sistem jagaan kesihatan dilindungi dan membolehkan para pesakit dijaga dengan betul.

"Ini akan memberikan kita lebih banyak kapasiti untuk membuka semula negara."

Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, akui bahawa penting untuk kegiatan ekonomi diteruskan dalam keadaan hidup bersama COVID-19.

Langkah-langkah pengurusan selamat termasuk jarak selamat dan had saiz kumpulan, "meletakkan tekanan" terhadap sektor domestik seperti runcit dan juga makanan dan minuman (F&B), kata beliau.

"Penting juga untuk kita secara bertahap-tahap membolehkan para pekerja kembali ke tempat kerja," tambah beliau, sambil berkata peraturan itu sekarang memerlukan 50 peratus pekerja untuk bekerja dari rumah seberapa boleh.

"Sekalipun demikian, kita harus mengakui bahawa penting untuk perniagaan-perniagaan menyatukan para pekerjanya. Ini kerana banyak tugasan berpasukan tidak boleh dijalankan dengan bekerja dari rumah," kata Encik Gan.

"Maka, kita perlu secara bertahap-tahap mengembalikan kegiatan bekerja di tapak pekerjaan, membolehkan pekerja kembali ke tempat kerja. Ini akan membantu kita untuk membuka semula ekonomi kita dan membolehkan ekonomi pulih dengan cepat."

Satu lagi aspek "penting" ekonomi adalah status Singapura sebagai hab sejagat bagi perniagaan, perjalanan, bakat, daya ilham dan juga pelaburan, kata Encik Gan.

"Dan oleh itu, kita terus membuka silang ketersambungan kita," ujar beliau, sambil merujuk kepada peluasan laluan perjalanan bagi penumpang divaksin.

Hari ini, Singapura mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan skim perjalanan tanpa kuarantin ke Vietnam dan Greece serta lebih banyak bandar di Malaysia, Indonesia dan India.

"Kami akan membawa masuk lebih banyak dan lebih ramai pelawat penting. Kami juga sedang membolehkan lebih banyak pekerja untuk kembali dari luar negara. Sebahagiannya sudahpun pulang (ke negara mereka) dan tidak dapat kembali (ke sini)," tambah Encik Gan.

"Sektor binaan, misalnya, masih berdepan sekatan dan kami berharap untuk membawa pulang lebih ramai pekerja sedemikian menerusi laluan perjalanan penumpang divaksin."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan