Jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat merosot daripada 46 kes kepada 21 minggu lalu
Singapura melaporkan satu kes tempatan baru COVID-19 setakat 12.00 tengah hari tadi (9 Jul).
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Singapura melaporkan satu kes tempatan baru COVID-19 setakat 12.00 tengah hari tadi (9 Jul).
Kes itu tidak berhubung kait kes-kes terdahulu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) tanpa memberikan butiran lanjut.
Sembilan kes import juga dilaporkan di mana kesemuanya dikenakan notis Jangan Keluar Rumah atau diasingkan setibanya di Singapura. Enam daripada mereka dikesan sebaik tiba di Singapura manakala lagi tiga jatuh sakit semasa menjalani SHN atau pengasingan.
Secara keseluruhan, Singapura melaporkan 10 kes baru COVID-19 pada Jumaat.
MOH menyatakan jumlah kes baru dalam masyarakat merosot daripada 46 kes pada minggu sebelumnya kepada 21 kes pada minggu lalu.
Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat, bagaimanapun, meningkat daripada enam kes pada minggu sebelumnya kepada sembilan kes pada minggu lalu.
Kini terdapat 22 kelompok jangkitan aktif yang mempunyai antara tiga dengan 94 kes.
MOH menyatakan 85 pesakit masih dirawat di hospital, kebanyakannya berada dalam keadaan baik dan di bawah pengawasan.
Terdapat lapan kes serius yang memerlukan bantuan oksigen tambahan dan dua berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.
"Terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi bantu mencegah jangkitan serius apabila seseorang dijangkiti," menurut MOH.
"Sepanjang 28 hari lalu, 23 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau sudah meninggal dunia. 20 daripada mereka tidak divaksinasi, lagi tiga sudah menerima satu dos suntikan vaksin dan tidak satu pun yang menerima vaksinasi lengkap."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.