Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kes campak melonjak pada 11 minggu pertama 2019

Jumlah kes jangkitan campak di Singapura dalam tempoh 11 minggu pertama tahun ini naik lebih tiga kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (21 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes campak melonjak pada 11 minggu pertama 2019

(Gambar fail: Fred Tanneau/AFP)

Diterbitkan : 21 Mar 2019 10:04PM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 10:08PM

SINGAPURA: Jumlah kes jangkitan campak di Singapura dalam tempoh 11 minggu pertama tahun ini naik lebih tiga kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (21 Mac).

Setakat 17 Mac, sebanyak 38 kes jangkitan campak dicatatkan di Singapura - naik 11 kes berbanding tempoh yang sama pada 2018. MOH mengesahkan bahawa tiada sebarang kematian dilaporkan akibat jangkitan tahun ini.

Jumlah kes jangkitan campak yang dilaporkan pada tempoh 11 minggu pertama tahun ini adalah yang tertinggi sejak 2015.

MOH menyatakan buat masa ini, tiada sebarang bukti yang menunjukkan terdapat penularan jangkitan campak dalam kalangan masyarakat. Ini kerana sebahagian besar kes yang dilaporkan pada tahun ini adalah "jangkitan berasingan dan dijangkiti di Singapura".

Menurut kementerian itu, hanya lima kes membabitkan individu yang dijangkiti oleh anggota keluarga ataupun rakan rapat.

Daripada 38 pesakit yang dijangkiti campak tahun ini, 25 dijangkiti virus itu di Singapura manakala yang lain pula dijangkiti ketika berada di Filipina, Vietnam, Dubai dan Thailand.

Kanak-kanak membentuk 14 daripada keseluruhan kes. Daripada bilangan itu, lima tidak menerima suntikan vaksin MMR (campak, beguk dan rubela). Lagi sembilan yang lain belum dijadual menerima suntikan vaksin.

Daripada 24 orang dewasa yang dijangkiti campak, 15 daripada mereka tidak menerima suntikan vaksin sebelum ini. Menurut MOH, majoriti kes jangkitan campak yang dilaporkan sejak lima tahun ini merupakan jangkitan tempatan.

"MOH akan terus memantau keadaan dengan teliti. Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH sudahpun memaklumkan para doktor supaya memantau kes jangkitan campak, terutamanya dalam kalangan pesakit yang ke luar negara baru-baru ini ataupun mereka yang belum lagi menerima suntikan vaksin. Mereka diarahkan supaya memaklumkan MOH dengan segera," menurut kementerian itu.

Dengan jumlah kes campak yang kian meningkat di merata dunia, mereka yang ingin ke luar negara dinasihati menerima suntikan vaksin terhadap jangkitan campak sebelum melakukan lawatan ke kawasan-kawasan yang terjejas akibat wabak campak.

Semua kanak-kanak yang menetap di Singapura wajib mendapatkan suntikan vaksin terhadap jangkitan campak. Sejak 1 Februari, satu peraturan baru diperkenalkan yang memerlukan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara yang memohon untuk pas lawatan jangka panjang ke Singapura untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan