Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kes buang haiwan peliharaan melonjak sejak 5 tahun lalu; 50% kes libatkan kucing

Jumlah kes haiwan peliharaan terbiar, dengan separuh daripadanya melibatkan kucing, secara amnya menyaksikan trend peningkatan sepanjang lima tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes buang haiwan peliharaan melonjak sejak 5 tahun lalu; 50% kes libatkan kucing

Gambar fail kucing di luar flat HDB (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Jumlah kes haiwan peliharaan terbiar, dengan separuh daripadanya melibatkan kucing, secara amnya menyaksikan trend peningkatan sepanjang lima tahun lalu.

Pada tahun lalu, Lembaga Taman Negara (NParks) menyiasat 225 kes sedemikian.

Sebagai perbandingan, Menteri Negara Pembangunan Negara Tan Kiat How memberitahu Parlimen pada Selasa (1 Mac) bahawa NParks menyiasat 180 kes serupa pada 2017. Jumlah itu meningkat sebanyak 25 peratus kepada 225 kes pada 2018.

Pada 2019, jumlah kes turun sedikit kepada 230 kes dan merosot kepada 215 kes pada 2020, kata Encik Tan dalam jawapannya kepada pertanyaan yang diutarakan oleh Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Leon Perera dari GRC Aljunied.

Encik Perera bertanya berapa banyak kes membuang haiwan peliharaan disiasat sepanjang lima tahun lalu, berapa banyak denda dan hukuman penjara dikenakan bagi kes-kes sedemikian dan sama ada MND akan menyemak dan mengukuhkan rangka kerja bagi siasatan dan hukuman terhadap kes-kes sedemikian.

Beliau juga bertanya tentang jumlah kes sedemikian dan berapa banyak yang melibatkan kucing.

Dalam jawapannya, Encik Tan berkata "sekitar separuh kes yang disiasat, dan separuh daripada kes di mana tindakan lanjut yang diambil melibatkan kucing".

Beliau juga berkata setakat ini, 11 individu didenda manakala 21 yang lain dikenakan hukuman di mahkamah dan didenda. Hanya seorang individu dijatuhi hukuman penjara.

"Kami memandang serius terhadap isu haiwan peliharaan terbiar dan setiap tingkah laku membabitkan kegagalan dalam tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan," kata Encik Tan.

Beliau menambah Pemerintah akan terus menyemak hukuman di bawah Akta Haiwan dan Burung bagi memastikan ia "kekal berkesan untuk mencegah pengabaian haiwan peliharaan".

Di bawah Akta itu, para individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum S$10,000, atau dihukum penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Dalam soalan susulannya, Encik Perera berkata kumpulan hak haiwan dan kumpulan penyelamat haiwan memberi maklum balas bahawa sesetengah hukuman yang dikenakan di bawah kes pengabaian haiwan peliharaan adalah "di bawah paras maksimum, dan mungkin tidak begitu berkesan untuk mencegah perbuatan itu".

Oleh demikian, beliau mengusulkan tempoh masa untuk mengkaji semula hukuman yang dikenakan bagi kesalahan sedemikian.

Dalam jawapannya, Encik Tan menekankan jawapan yang diberikannya sebelum ini kepada AP Louis Ng dari GRC Nee Soon dan berkata ia akan menjadi sebahagian daripada "semakan menyeluruh terhadap sektor haiwan peliharaan".

Sebelum ini pada Selasa, Encik Ng bertanya jika pihak berkuasa akan menimbangkan untuk mewajibkan semua kucing dipasang mikrocip kerana ia akan dapat membantu mengurangkan kes-kes pengabaian kucing.

Encik Tan berkata bahawa Pemerintah sudahpun melaksanakan semakan menyeluruh terhadap sektor haiwan peliharaan yang meneliti rejim-rejim latihan bagi para jurulatih haiwan peliharaan, pemulihan, pengambilan haiwan peliharaan, rutin dan amalan bersama kumpulan kebajikan haiwan, pendampingan bersama para penternak dan penjaga haiwan peliharaan serta para pemilik haiwan peliharaan.

"Anggota Dewan bertanya tentang langkah memasang mikrocip pada kucing. Ini juga akan dipertimbangkan sedang kita melakukan semakan terhadap sektor haiwan peliharaan," kata Encik Tan.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan