Jumlah kes berkaitan jerebu meningkat di klinik SG
Klinik-klinik di seluruh Singapura melaporkan peningkatan kes berkaitan jerebu, dengan sesetengahnya menyaksikan jumlah pesakit meningkat sehingga 20 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu sedang keadaan berjerebu berlarutan.
Singapura berdepan keadaan berjerebu sejak beberapa minggu lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh kebakaran hutan di negara jiran. (Gambar: CNA)
Pesakit bukan sahaja mengalami simptom pernafasan, malah juga masalah seperti gatal-gatal di mata dan radang kulit.
Doktor memberi amaran bahawa pendedahan berpanjangan di luar boleh memburukkan keadaan sedia ada, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.
Doktor menggalakkan orang ramai supaya terus berwaspada dan mengurangkan kegiatan luar, khususnya bagi golongan rentan dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan sedia ada.
CUACA KERING TINGKATKAN RISIKO
Singapura berdepan dengan keadaan berjerebu sejak beberapa minggu lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh kebakaran hutan di negara jiran seperti Malaysia.
Bau hangit di udara juga dilaporkan, dengan sesetengah pihak berkata ia lebih ketara pada waktu malam dan di bahagian timur pulau.
Namun, Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam tetap kekal dalam julat baik hingga sederhana.
Bacaan PM2.5 sejam juga kekal dalam julat “normal”.
Jerebu rentas sempadan yang menjejas Singapura sebahagian besarnya berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di rantau ini, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam catatannya di laman Facebook pada Khamis lalu (26 Mac).
“Selain menghasilkan zarah asap, kebakaran tumbuh-tumbuhan dan tanah gambut juga menghasilkan campuran kompleks gas yang menyebabkan bau hangit yang kuat,” tambahnya.
Dalam catatannya sebelum ini pada 20 Mac, agensi itu menyatakan bahawa cuaca yang lebih panas dan kering di pulau ini serta rantau sekitarnya pada akhir Mac boleh menyebabkan kegiatan titik panas meningkat dan risiko jerebu yang lebih tinggi.
Di Taman East Coast - lokasi popular pada hujung minggu - jumlah pengunjung kekal stabil.
Sesetengah restoran malah menyatakan pelanggan masih memilih untuk duduk di luar, sebahagian besar disebabkan pemandangannya.
Namun, beberapa pelanggan memberitahu Mediacorp bahawa kebimbangan terhadap mutu udara tetap bermain di fikiran mereka.
Seorang jurulatih luncur berkata sesi latihan kini kebanyakannya dijalankan di ruang berhawa dingin.
“Kadang-kadang kami membawa kanak-kanak keluar untuk memanaskan badan dan membuat pusingan di sekitar kedai,” katanya.
Sebilangan lain pula berkata mereka mula mengurangkan aktiviti di luar atas sebab-sebab kesihatan.
Seorang pengunjung taman berkata: “Kadang-kadang anda akan rasa sangat sukar untuk bernafas apabila berada di luar.”
LEBIH BANYAK PENYAKIT BERKAITAN JEREBU
Sesetengah klinik menyaksikan peningkatan pesakit dengan simptom berkaitan jerebu.
Sebuah klinik di Yishun melaporkan peningkatan kira-kira 10 peratus dalam kes sedemikian sepanjang tiga bulan lalu.
Dr Gerald Fung, pengarah perubatan di Unihealth 24-Hr Clinic di Yishun, berkata kebanyakan pesakit menunjukkan simptom berkaitan kerengsaan (irritation).
“Ini termasuk hidung berair, rasa tidak selesa pada tekak, batuk dan mata gatal. Pesakit dengan keadaan sedia ada mungkin mengalami asma yang bertambah teruk, berdehit (wheezing) dan simptom sinus,” katanya.
Ada juga yang mengalami masalah ekzema atau kulit sensitif yang semakin teruk, tambah Dr Fung.
Di klinik lain, doktor keluarga Daryl Peh berkata jerebu, yang terdiri daripada zarah halus di udara, boleh memberi kesan kesihatan yang lebih meluas.
“Tanpa disedari ramai, berdasarkan kajian, zarah jerebu, terutamanya yang sangat halus, boleh memasuki aliran darah,” katanya, yang merupakan pengarah perubatan di Salus Medical.
“Dan ia boleh menyebabkan tekanan darah meningkat akibat respons keradangan.”
Doktor menggalakkan orang ramai supaya terus berwaspada dan mengurangkan aktiviti luar, terutama bagi golongan rentan dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan sedia ada.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.