Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kes aniaya, gangguan terhadap kakitangan jagaan kesihatan awam semakin meningkat

Selepas penat menjaga atau merawat pesakit, para petugas jagaan kesihatan awam tidak wajar diperlakukan dengan cara yang menghina dan tidak bermaruah.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes aniaya, gangguan terhadap kakitangan jagaan kesihatan awam semakin meningkat

Sebuah wad hospital. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 04 Mar 2021 08:46PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 09:07PM

SINGAPURA: Amir* sedang cuba menghalang seorang pesakit daripada meninggalkan wadnya apabila tumbukan yang sangat kuat 'menyinggah' pipi kirinya sehingga menyebabkan hidungnya berlumuran berdarah.

"Saya amat terkejut," kata Amir, seorang atendan kesihatan di Hospital Besar Singapura (SGH), yang menurutnya, belum pernah dialaminya sepanjang 15 tahun berkhidmat.

Menceritakan kejadian yang berlaku pada Januari, Sheila*, seorang jururawat yang menolong Amir, berkata pesakit itu naik berang apabila berlaku kelengahan pada proses dia dibenarkan keluar hospital dan pesakit itu cuba meninggalkan hospital tanpa mendapatkan ubat-ubatannya.

Para kakitangan jagaan kesihatan sedia maklum bahawa pesakit itu mengalami masalah kesihatan mental semasa dimasukkan ke hospital atas keadaan perubatannya yang akut.

"Setelah dia (pesakit) menumbuknya, dia sendiri terkejut," kata Sheila. "Dia tiba-tiba terpaku begitu saja ... dan terus membisu. Dia tidak lagi agresif atau bertindak ganas."

Para pengawal keselamatan hospital turut dipanggil untuk memberikan bantuan.

Bagi Amir pula, beliau mendapatkan rawatan di jabatan kemalangan dan kecemasan di mana imbasan X-ray menunjukkan bahawa beliau baik-baik saja. Beliau memberitahu Mediacorp dalam wawancara melalui panggilan telefon bahawa beliau sudahpun melupakan insiden tersebut.

Apabila menguruskan pesakit yang mempunyai sejarah masalah kesihatan mental, Sheila berkata bahawa beliau dan rakan-rakannya akan lebih berhati-hati untuk tidak mencetuskan sebarang gangguan. Dan walaupun beliau tidak pernah diserang secara fizikal, insiden seperti itu "agak lazim".

"Penderaan fizikal berlaku kerana pesakit tidak berada dalam keadaan fikiran yang betul," katanya.

JUMLAH KES KIAN MENINGKAT

Insiden-insiden seperti itu bukanlah sesuatu yang tidak pernah didengari oleh para pekerja jagaan kesihatan awam.

Dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang diajukan di Parlimen pada awal bulan ini, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata berdasarkan perangkaan dari institusi-institusi kesihatan awam, jumlah kes penderaan dan gangguan meningkat dari 1,080 pada 2018 kepada 1,300 kes tahun lalu.

Sepanjang tempoh yang sama, jumlah kes sedemikian yang melibatkan kakitangan jagaan kesihatan awam yang dilaporkan kepada polis di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan meningkat dari 40 kepada 58 kes.

Sejajar dengan jumlah itu, SGH menyaksikan peningkatan pada jumlah kes penderaan yang dihadapi oleh kakitangan barisan hadapan, menurut seorang jurucakap. Di SGH sahaja, hampir 200 kes dilaporkan pada tahun lalu, hampir dua kali ganda berbanding jumlah yang dilaporkan pada 2016.

Sebab biasa di sebalik penderaan dan gangguan yang disengajakan adalah permintaan yang tidak munasabah untuk mendapatkan khidmat tambahan seperti menyuruh kakitangan membelikan minuman bergas atau memberikan layanan istimewa, jelas jurucakap itu.

Menurut jurucakap tersebut, terdapat juga kes-kes bertindak kasar tanpa sebarang provokasi.

Jurucakap itu turut mendedahkan bahawa beberapa bentuk penderaan dan gangguan termasuk menjerit-jerit dan mengugut, dan penderaan fizikal seperti menolak dan memukul. Mangsa biasanya terdiri daripada kakitangan barisan hadapan seperti doktor, jururawat serta penolong dan atendan jagaan kesihatan, terutama yang terlibat dalam jagaan pesakit secara langsung, katanya lagi.

PENDERAAN OLEH PESAKIT DEMENSIA, MASALAH TINGKAH LAKU

Di Hospital Alexandra (AH), kes serangan fizikal adalah perkara biasa apabila melibatkan pesakit warga senja yang mengalami demensia dan masalah tingkah laku, menurut jururawat klinikal kanan Pauline Chong.

"Kumpulan-kumpulan pesakit ini mungkin mengalami gangguan pada proses pemikiran di mana mereka tidak dapat menyatakan keperluan atau ketidakselesaan mereka. Mereka cenderung kecewa dan serangan fizikal mungkin berlaku apabila keperluan asas atau emosi mereka tidak dipenuhi,” jelas beliau.

Keperluan ini merangkumi kehausan, kelaparan dan mahu ke tandas. Mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik apabila berurusan dengan orang-orang yang tidak dikenali, katanya lagi.

Para jururawat juga didera secara lisan oleh pesakit yang enggan bekerjasama dan sebaliknya berkeras mahu keluar dari wad mereka untuk merokok walaupun berisiko boleh terjatuh, katanya.

PESAKIT JUGA DIKASARI OLEH KAKITANGAN JAGAAN KESIHATAN

Bukan hanya pesakit yang harus ditangani oleh jururawat, kata Cik Chong. Sesetengah pelawat juga bertindak kasar terhadap sekatan-sekatan yang mengawal waktu lawatan, dedah beliau.

Beliau turut mendedahkan bahawa kadangkala penderaan terhadap kakitangan juga mungkin dilakukan oleh keluarga terdekat pesakit.

"Mereka mungkin mengemukakan permintaan yang tidak munasabah, mengeluarkan kata-kata sinis, mengugut atau bercakap dengan jururawat melalui cara yang menghina," kata Cik Chong.

Menjawab pertanyaan di Parlimen, Menteri Kesihatan menegaskan bahawa kakitangan jagaan kesihatan barisan hadapan dilatih untuk menilai dan mengendurkan sebarang konflik sejak awal lagi dan menangani situasi di mana berlaku kata-kata kesat dilemparkan.

Terdapat juga langkah-langkah untuk menyokong mereka yang terjejas.

"Ini termasuk talian bantuan untuk kakitangan yang terjejas, khidmat sokongan kaunseling tanpa mendedahkan identiti mangsa yang disediakan oleh institusi dan penyedia khidmat masyarakat dan program sokongan rakan sebaya untuk kakitangan," kata Encik Gan.

"Orang ramai diingatkan melalui papan tanda yang dipaparkan dengan jelas untuk berurusan dengan kakitangan kami dengan hormat dan bermaruah dan segala bentuk penderaan secara lisan mahupun fizikal terhadap kakitangan kami tidak boleh diterima sama sekali."

(*Nama-nama kakitangan SGH diubah atas permintaan pihak hospital kerana mereka mungkin perlu berurusan dengan pesakit pada masa akan datang.) 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan