Jumlah kerja kosong untuk PMET terus meningkat pada 2024: MOM
Jumlah kerja kosong untuk karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) terus meningkat pada tahun lalu, di tengah-tengah permintaan untuk bakat-bakat berkemahiran tinggi dalam sektor-sektor yang berkembang.
- Pada 2024, 57.7 peratus jawatan kosong adalah untuk PMET, meningkat daripada 57.2 peratus pada tahun sebelumnya, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporan jawatan kosong tahunannya pada Jumaat (28 Mac).
- Laporan itu juga mendapati 45.7 peratus daripada jawatan kosong pada tahun lalu adalah jawatan-jawatan yang baru diwujudkan, turun daripada 47.3 peratus pada 2023.
- Sepanjang dua tahun yang lalu, kecekapan pemadanan pekerjaan - yang merujuk kepada betapa mudahnya orang yang menganggur mendapat pekerjaan - sudah bertambah baik, kata MOM.
- Bagi 78.8 peratus daripada jawatan kosong pada tahun lalu, kelayakan akademik bukanlah penentu utama.
Pada 2024, 57.7 peratus jawatan kosong adalah untuk PMET, meningkat daripada 57.2 peratus pada tahun sebelumnya, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporan jawatan kosong tahunannya pada Jumaat (28 Mac).
Sektor-sektor yang mempunyai permintaan yang lebih tinggi untuk PMET ialah infokom, perkhidmatan kewangan dan insurans, dan perkhidmatan profesional.
"Trend ini mencerminkan prospek ekonomi yang positif dan keperluan tenaga kerja yang berkembang dalam sektor-sektor ini," kata MOM.
Terdapat juga permintaan tinggi untuk karyawan sofwe, web dan pembangun berbilang media serta rangkaian komputer, infrastruktur dan platform selepas ekonomi digital berkembang maju, menurut laporan itu.
Penasihat kewangan dan pelaburan adalah antara 10 peranan PMET yang paling dicari-cari.
Dalam sektor-sektor yang berkembang maju, MOM turut mendedahkan bahawa pengambilan pekerja PMET dalam kalangan penduduk dan bukan penduduk meningkat seiring.
JAWATAN BAHARU DIWUJUDKAN
Laporan itu juga mendapati 45.7 peratus daripada jawatan kosong pada tahun lalu adalah jawatan-jawatan yang baru diwujudkan, turun daripada 47.3 peratus pada 2023.
Walaupun turun sedikit, sebahagian besar jawatan yang baru diwujudkan menunjukkan dinamisme pasaran buruh, kata Encik Ang Boon Heng, pengarah jabatan penyelidikan tenaga kerja dan statistik MOM.
Daripada jawatan yang sama diisi oleh pekerja yang berbeza, terdapat perubahan struktur pada pekerjaan dan langkah ke arah peranan berkemahiran lebih tinggi, katanya.
Daripada jawatan baharu itu, 54.7 peratus diwujudkan disebabkan oleh peluasan fungsi perniagaan sedia ada. Sekitar sepertiga dicipta kerana syarikat-syarikat berkembang ke fungsi baharu, dan 6.5 peratus dicipta kerana pekerjaan disusun semula atau direka semula.
Sektor-sektor yang mempunyai lebih banyak jawatan kosong untuk peranan yang baru diwujudkan adalah dalam infokom, perkhidmatan profesional dan perkhidmatan kewangan dan insurans.
Menurut MOM, ia sejajar dengan pengembangan ekonomi keseluruhan bagi sektor-sektor itu.
Sebaliknya, tidak banyak jawatan baru diwujudkan bagi perdagangan runcit dan khidmat makanan dan minuman (F&B).
"Ini mungkin mencerminkan momentum perniagaan sektor-sektor tersebut yang lebih perlahan apabila rakyat tempatan mengalihkan perbelanjaan mereka ke destinasi percutian luar negara," kata kementerian itu.
SALAH PEMADANAN KERJA BERKURANGAN
Sepanjang dua tahun yang lalu, kecekapan pemadanan pekerjaan - yang merujuk kepada betapa mudahnya orang yang menganggur mendapat pekerjaan - sudah bertambah baik, kata MOM.
Kedua-dua kadar pengangguran dan kadar jawatan kosong telah merosot, menandakan pasaran buruh lebih cekap dalam usaha memadankan pekerja dengan pekerjaan yang ada, menurut laporan itu.
Bagaimanapun, Encik Ang akur bahawa walaupun pandangan makro menggambarkan pengalaman majoriti pekerja, tetap akan ada pengecualian.
"Pekerja di lapangan akan mengatakan bahawa kami mempunyai pengalaman yang berbeza," katanya. Ini tidak bermakna pengecualian itu tidak penting, tetapi laporan kementerian akan memberi tumpuan kepada pandangan luas, yang menunjukkan pengurangan pada pemadanan kerja yang salah.
"Ia agak sejajar dengan apa yang kita lihat pada jawatan kosong yang sukar diisi," katanya lagi.
Jawatan kosong yang tidak diisi selama sekurang-kurangnya enam bulan turun daripada 23.5 peratus pada 2023 kepada 19.4 peratus tahun lalu. Pada 2014, angka itu adalah 41.4 peratus.
Jawatan kosong bukan PMET cenderung lebih sukar untuk diisi, dan menurut Encik Ang, sesetengah pekerjaan ini telah dibangunkan semula dalam masa sedekad yang lalu atau lebih.
Trend jawatan kosong yang sukar diisi adalah hasil usaha untuk mereka semula peranan, katanya.
"Majikan tidak lagi mengatakan bahawa ... pemohon kerja tidak mahu jawatan ini kerana gaji rendah, keadaan kerja yang sukar," katanya.
Teknologi, tenaga kerja asing, peningkatan kemahiran dan Model Gaji Progresif telah membantu meningkatkan hasil pengambilan pekerja bagi jawatan kosong bukan PMET, kata MOM.
PERALIHAN KEPADA PENGAMBILAN PEKERJA BERASASKAN KEMAHIRAN
Bagi 78.8 peratus daripada jawatan kosong pada tahun lalu, kelayakan akademik bukanlah penentu utama. Ia meningkat daripada 74.9 peratus pada 2023.
Laporan MOM turut mendedahkan bahawa peningkatan itu lebih curam dalam kalangan jawatan kosong untuk PMET dari 2017 hingga 2024.
Majikan-majikan biasanya menimbangkan faktor lain seperti pengalaman, kemahiran dan keupayaan yang relevan.
Sesetengah majikan yang tidak mengutamakan kelayakan akademik dalam pengambilan pekerja berkata pengambilan pekerja berasaskan kemahiran membawa kepada hasil yang lebih baik termasuk proses pengambilan pekerja yang lebih pantas, keupayaan untuk memanfaatkan bakat yang lebih luas dan prestasi pekerja yang lebih baik.
Dengan pasaran buruh yang ketat, para majikan terbuka untuk memilih calon daripada kumpulan yang lebih luas, kata MOM.
Bagi 58.1 peratus daripada jawatan-jawatan kosong, para majikan menunjukkan bahawa mereka terbuka untuk mengambil calon dengan kelayakan lebih rendah daripada yang dinyatakan dalam iklan pekerjaan.
Pada Disember lalu, terdapat 1.64 jawatan kosong bagi setiap penganggur.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.