Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kerja kosong capai paras rekod sedang pasaran buruh terus pulih, kata MOM

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kerja kosong capai paras rekod sedang pasaran buruh terus pulih, kata MOM

Pekerja pejabat di Raffles Place. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 17 Jun 2022 01:51PM Dikemas Kini : 17 Jun 2022 02:04PM
SINGAPURA: Kadar pengambilan pekerja penduduk Singapura menjangkaui paras sebelum pandemik pada suku pertama 2022.

Namun kadar pengambilan pekerja keseluruhan kekal di bawah paras sebelum COVID, dengan tenaga hijrahan masih belum kembali sepenuhnya.

Jumlah kerja kosong juga mencatat rekod, sedang pemberhentian kerja berada di paras rendah. Ini merupakan tanda-tanda pasaran buruh yang ketat sedang Singapura pulih daripada pandemik.

Pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk adalah 3.9 peratus lebih tinggi berbanding Disember 2019, sebelum pandemik melanda.

Sekalipun demikian, pengambilan pekerja bukan penduduk kekal di bawah 15 peratus daripada yang dicatatkan pada Disember 2019, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporan buruh terkini hari ini (17 Jun).

Pengambilan pekerja penduduk merangkumi rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR).

Kadar pengangguran pula terus menunjukkan trend merosot ke paras sebelum pandemik dari paras tinggi 3.6 peratus ke 2.2 peratus. Kadar pengangguran dalam kalangan penduduk kekal sama pada 3 peratus, manakala kadar bagi rakyat adalah 3.1 peratus.

Jumlah keseluruhan pengambilan pekerja, tidak termasuk pembantu rumah hijrahan, terus meningkat sebanyak 42,000 dalam suku pertama (Q1) pada 2022, dengan kebanyakannya adalah bukan penduduk (36,000) sedang sekatan sempadan dilonggarkan secara bertahap dan majikan mengisi kerja-kerja kosong yang lebih bergantung kepada tenaga kerja hijrahan, menurut MOM.

Trend pengambilan pekerja penduduk bercampur-campur dalam pelbagai sektor. Ia terus tumbuh dalam sektor-sektor pertumbuhan seperti khidmat kewangan, penerangan dan perhubungan, khidmat profesional serta khidmat kesihatan dan sosial.

Namun ia susut dalam sektor berdepan dengan pelanggan, sebahagian besarnya disebabkan corak musiman pekerja sambilan yang digajikan bagi acara-acara perayaan hujung tahun dan kemudian meninggalkan pekerjaan mereka pada suku selepas itu, menurut MOM.

Antara Disember 2021 dengan Mac 2022, kadar pengangguran jangka panjang dalam kalangan penduduk bertambah baik dari 1 peratus kepada 0.8 peratus. Namun ia kekal di atas purata suku tahunan sebelum COVID, iaitu 0.7 peratus pada 2018/19.

JUMLAH KERJA KOSONG CATAT REKOD TINGGI, KADAR PEMBERHENTIAN RENDAH

Jumlah kerja kosong terus meningkat, mencecah rekod tertinggi baru, iaitu 128,100 pada Mac.

Bagaimanapun, kadar kenaikannya merosot kepada 9 peratus berbanding 17 peratus pada suku sebelumnya.

Nisbah kerja kosong dengan penganggur adalah 2.42, iaitu lebih tinggi berbanding 2.11 pada suku sebelumnya, serta paras tertinggi sejak 1998. Ini disebabkan jumlah penganggur yang merosot dan bertambahnya jumlah kerja kosong.

Kebanyakan kerja kosong adalah dalam sektor binaan dan perkilangan, dengan sebahagian besar adalah bagi peranan bukan PMET yang lazimnya dilakukan oleh pekerja hijrahan, menurut MOM.

Kerja kosong juga dicatat dalam khidmat kewangan, penerangan dan perhubungan, pentadbiran awam dan pendidikan serta khidmat-khidmat profesional - kebanyakannya adalah bagi peranan PMET.

Jumlah pemberhentian kerja pula merosot dari 1,500 atau 0.7 pemberhentian bagi setiap 1,000 pekerja, dalam suku keempat 2021 kepada 1,320 atau 0.6 bagi setiap 1,000 pekerja.

Antara penduduk yang diberhentikan, peratusan yang kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas diberhentikan melonjak, daripada 67 peratus kepada 72 peratus - tertinggi sejak 2015.

Para majikan juga memastikan jumlah lebih kecil pekerja yang diminta bekerja dalam tempoh singkat dalam seminggu atau diberhentikan kerja sementara dan paras Q1 2022 (670) adalah di bawah paras biasa sebelum COVID (purata suku tahunan 740 pada 2018/19)

KADAR BERHENTI KERJA, PENGAMBILAN PEKERJA STABIL

Kadar berhenti kerja adalah 1.7 peratus manakala kadar pengambilan pekerja pula 2.5 peratus, kekal tidak berubah selepas menunjukkan trend meningkat dalam suku sebelumnya.

Berdasarkan jenis pekerjaan, para karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) mengalami "kadar lebih tinggi".

"Kadar pengambilan pekerja dan peletakan jawatan meningkat dan kini berada di paras lebih tinggi berbanding purata sebelum COVID. Sekalipun demikian, kadar pada suku pertama masih di bawah rekod tertinggi," menurut MOM.

Berdasarkan jenis industri, penerangan dan perhubungan, khidmat kewangan, khidmat kesihatan dan sosial, pengangkutan dan penyimpanan serta penginapan mengalami kadar peletakan kerja lebih tinggi.

"Dengan lebih banyak pelonggaran sekatan sempadan, kami menjangkakan tenaga kerja bukan penduduk akan terus pulih dan meneruskan kadar kukuh pertumbuhan dalam kalangan penduduk sejak dua tahun lalu. Ini akan memberikan sedikit kelegaan kepada pasaran buruh yang ketat sekarang ini," menurut MOM.

"Pada masa yang sama, sekitaran ekonomi luar yang kian memburuk, sebahagiannya disebabkan konflik Rusia-Ukraine, melemahkan unjuran permintaan bagi beberapa sektor yang berorientasikan luar. Ini mungkin mengurangkan permintaan bagi pekerjaan pada masa akan datang."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan