Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kereta terpakai di pasaran catat rekod, didorong kenaikan harga COE

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kenaikan harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ke paras rekod mendorong ramai untuk menjual kereta mereka.

Ini kerana permintaan bagi kereta-kereta terpakai dijangka meningkat disebabkan ramai yang elak beli kereta baru kerana tidak mahu membayar harga COE yang tinggi.

Harga COE mencapai rekod tertinggi buat dua kali berturut-turut dalam bidaan terbaru semalam (7 Sep) kepada $113,000 bagi kereta dalam kategori B.

Ekoran itu, para pemilik kereta menjangka mereka akan dapat keuntungan yang lebih tinggi sekiranya mereka menjual kereta mereka sekarang.

Ini sehingga menyebabkan lambakan kereta terpakai di pasaran sehingga mencapai jumlah paling banyak yang pernah disaksikan.

BEKALAN KERETA TERPAKAI MENINGKAT - JUMLAH PALING TINGGI

Portal jual beli kereta sgCarMart misalnya menyaksikan kenaikan ketara bagi jumlah kereta terpakai yang disenaraikan individu dan syarikat-syarikat kereta di portal tersebut.



"Kami ada sekitar 17,500 kereta (terpakai) yang disenaraikan di sgCarMart hari ini. Ini yang tertinggi yang pernah dicatat sejauh ini," kongsi pengurus besarnya Julian Kho, kepada BERITAmediacorp.

Kenaikan harga COE juga membuatkan ramai bakal pembeli kereta untuk memilih kereta terpakai berbanding kereta baru.

Kenaikan permintaan ini juga mendorong kenaikan harganya dan menjejas kadar susut nilai bagi kereta-kereta terpakai itu.

Bagi syarikat penjual kereta, Doktor Kereta, mereka menyaksikan permintaan bagi kereta terpakai meningkat sekitar 70 peratus.

Selain COE, faktor-faktor semasa juga menyumbang kepada permintaan tinggi itu.



"Sejak COE meningkat, Alhamdulillah kereta terpakai sebenarnya banyak permintaan. Sebab pandemik, mungkin orang kehilangan kerja dan sebagainya dan mungkin ada yang sedang mula dengan kehidupan baru selepas COVID-19, jadi mereka ada keperluan kereta," jelas Pegawai Eksekutif Doktor Kereta, Cik Aisyah Amirah.

Bagi sgCarMart pula, keadaan ekonomi yang suram menjejas penjualan kedua-dua kereta terpakai dan kereta baru.

Sejak Julai, hanya sekitar 11,500 kereta yang sudah dijual dan tidak lagi disenaraikan di platformnya itu.

Menurut Encik Kho, kadar itu adalah yang terendah dalam masa dua tahun.

"Secara logik dan umum, kereta dianggap sebagai liabiliti di Singapura. Untuk membeli kereta agak mahal serta faktor-faktor luaran. Singapura mempunyai sistem pengangkutan awam yang paling cekap," ujar Encik Kho.

"Orang ramai lebih rela memilihnya daripada membeli kereta hari ini dan kita juga sedang menghadapi kemelesetan ekonomi. Jadi saya rasa orang ramai sedang menjimat wang sedikit dan tidak berbelanja lebih untuk kereta," tambahnya lagi.



Namun, bagi mereka yang benar-benar memerlukan pengangkutan sendiri, syarikat Doktor Kereta mendapati ramai kini memilih untuk membeli kereta-kereta terpakai lebih lama yang dijual pada harga lebih murah.

Ini juga disebabkan wang pendahuluan dan bayaran bulanan yang lebih dimampui.

"Mungkin kemampuan mereka itu tidak sebegitu besar jadi mereka meminta (kereta) dengan wang muka yang rendah untuk mendapatkan bulanan yang agak sesuai dengan mereka," ujar Cik Aisyah.

"Mereka bertanyakan tentang kereta terpakai seperti yang tinggal lagi dua atau tiga tahun COE yang kirakan memadai dengan apa yang mereka ada," tambahnya lagi.

HARGA KERETA TERPAKAI NAIK SEHINGGA 40%

Pemilihan itu juga dipengaruhi keadaan pasaran bagi kereta-kereta terpakai kini dan kenaikan harga COE.

Menurut pengamatan Encik Kho yang sudah mempunyai pengalaman lebih 12 tahun dalam bidang jual beli kereta ini, "Apabila harga COE naik, peniaga kereta terpakai akan ambil kesempatan untuk naikkan harga."

Ini selain kadar susut nilai kereta yang dinamik.

"Secara purata, saya rasa berdasarkan susut nilai tahunan, peningkatannya (harga kereta terpakai) antara sekitar S$2,000 hingga S$4,000," kata Encik Kho.

Kenaikan itu juga bermakna keuntungan yang boleh diraih individu yang menjual kereta mereka kini lebih tinggi berbanding sebelum kenaikan harga COE.

Menurut pihak Doktor Kereta, ada kereta terpakai kini dijual pada harga 40 peratus lebih tinggi.

Ini bergantung pada jenis kereta, baki COE serta harga COE sewaktu kereta itu mula-mula dibeli.

"Contoh, sekiranya kalau kita nak menjual kereta lima atau enam bulan yang lepas, mungkin COE masih merendah. Mungkin pada masa itu, sesiapa yang membeli dengan wang muka, mereka akan mendapat sedikit keuntungan daripada keretanya, letaklah mungkin dalam S$10,000," menurut Cik Aisyah.

"Mungkin kalau anda jual sekarang, ia akan lebih meningkat daripada keuntungan S$10,000 itu, mungkin dah naik kepada S$15,000. Jadi peningkatannya agak ketara," kongsi Cik Aisyah.

Selain kenaikan COE, Cik Aisyah juga berkongsi bahawa lambakan kereta terpakai di pasaran juga disebabkan ada yang terpaksa menjual kereta kerana kehilangan pekerjaan atau tidak mampu lagi pikul bebanan bayaran bulanan yang tinggi dalam keadaan ekonomi sekarang.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan