Jumlah kematian di tempat kerja catat rekod terendah dalam 16 tahun pada 2019
Meskipun jumlah kematian di tempat kerja merosot ke paras terendah rekod pada 2019, jumlah kematian akibat peralatan dan keruntuhan atau kegagalan struktural menginjak sedikit sepanjang tahun.

Para pekerja warga asing di sebuah tapak pembinaan di Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Meskipun jumlah kematian di tempat kerja merosot ke paras terendah rekod pada 2019, jumlah kematian akibat peralatan dan keruntuhan atau kegagalan struktural menginjak sedikit sepanjang tahun.
Kecederan utama di tempat kerja yang tidak menyebabkan kematian dan kecederaan ringan juga meningkat.
Laporan terkini Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berhubung keselamatan dan kesihatan di tempat kerja (WSH), yang dikeluarkan pada Rabu (11 Mac), mencatatkan 39 kematian di tempat kerja pada 2019. Jumlah itu adalah yang terendah sejak 2004 apabila rekod mula dikumpulkan.
Pada tahun itu, 83 kematian dicatatkan.
KEMATIAN DI TEMPAT KERJA
Terdapat 39 kematian di tempat kerja pada 2019, turun daripada 41 pada tahun sebelumnya.
Punca utama:
- keruntuhan atau kegagalan struktural dan peralatan - tujuh kematian, naik daripada empat pada 2018
- insiden melibatkan kenderaan
- jatuh dari tempat tinggi.
Sektor terlibat:
- Industri binaan terus mencatatkan jumlah kematian paling tinggi - 13, turun daripada 14 pada 2018.
- Para pekerja binaan tidak berpengalaman didapati lebih berisiko mengalami kecederaan maut.
- Sektor perkilangan mencatatkan empat kematian buat dua tahun berturut-turut.
- Kematian dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan naik daripada empat kepada lapan. Tiga daripada kematian itu melibatkan insiden lemas setelah terjatuh.
KECEDERAAN UTAMA
Sementara itu, jumlah kecederaan utama meningkat sebanyak 5.5 peratus antara 2018 dengan 2019, dari 596 kepada 629.
Punca utama:
- tergelincir, tersandung dan terjatuh - 216
- insiden berkaitan jentera - 82, naik dari 76 pada 2018
- jatuh dari tempat tinggi.
Sektor terlibat:
- Jumlah kecederaan utama dalam sektor perkilangan meningkat daripada 123 kepada 137.
- Dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan, kecederaan utama naik daripada 49 pada 2018 kepada 57 tahun lalu.
- Industri-industri yang sebelum ini dianggap berada pada risiko rendah dan sederhana juga mencatatkan kenaikan dalam kecederaan utama.
- Dalam sektor penginapan dan perkhidmatan makanan, kecederaan utama melonjak daripada 37 kes pada 2018 kepada 54 pada 2019.
- Perdagangan borong dan runcit mencatatkan kenaikan daripada 30 kepada 35 kes.
KECEDERAAN RINGAN
Kecederaan ringan juga terus melonjak daripada 12,173 pada 2018 kepada 13,111 tahun lalu, menurut MOM.
Punca utama:
- tergelincir, tersandung dan terjatuh
- inisiden berkaitan jentera
- pekerja terkena objek yang bergerak dan terjatuh
Sektor terlibat:
- Sektor perkilangan adalah penyumbang utama dengan sebanyak 2,653 kes.
- Sektor binaan mempunyai 1,981 kes.
- Sektor penginapan dan perkhidmatan makanan mencatatkan 1,265 kes.
INSIDEN BERBAHAYA DAN PENYAKIT CARA KERJA
Jumlah insiden berbahaya dengan potensi yang tinggi bagi berbilang kematian - jatuh daripada 23 pada 2018 kepada 21 pada tahun lalu, terendah sejak tahun 2011.
Sementara itu, penyakit berkaitan cara kerja terus merosot buat tahun ketiga berturut-turut kepada 517 kes pada tahun 2019, daripada 799 pada tahun 2017 dan 563 pada tahun 2018. Tiga penyakit paling biasa dihadapi adalah masalah muskuloskeletal yang berkaitan dengan kerja, pekak akibat bunyi bising dan penyakit kulit akibat cara kerja.
PENGUATKUASAAN DIPERTINGKAT
MOM menyatakan pada tahun lalu, ia menjalankan 17,000 pemeriksaan, jauh lebih banyak dari 4,800 pemeriksaan yang dijalankan pada 2018. Pemeriksaan mendapati lebih daripada 8,900 pencabulan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Pelanggaran peraturan yang paling biasa dilakukan adalah ruang pembukaan yang tidak dikepung dan bahagian terbuka, akses serta jalan keluar yang tidak selamat dan laluan yang terhalang.
Akibatnya, MOM mengeluarkan 58 "arahan berhenti kerja", yang menghentikan semua kegiatan untuk purata enam minggu. Denda kompaun berjumlah S$1.4 juta juga dikenakan ke atas hampir 1,000 syarikat.
MOM menyatakan ia akan terus memeriksa industri berisiko tinggi seperti binaan, perkilangan, marin serta pengangkutan dan penyimpanan. Ia juga menumpukan pemeriksaan ke atas industri di mana kecederaan utama semakin meningkat, seperti penginapan dan perkhidmatan makanan serta perdagangan borong dan runcit.
LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN
Bagi menangani trend meningkat keruntuhan dan kegagalan struktural serta peralatan MOM bersama-sama Majlis WSH sedang berunding dengan para pemain industri dengan memanfaarkan teknologi dan keupayaan bangunan.
Sebagai contoh, Majlis WSH akan bekerjasama dengan penyedia latihan seperti Persatuan Kontraktor Singapura untuk meningkatkan kursus latihan pengenalan keselamatan binaan untuk juga meliputi ciri-ciri latihan menerusi pengalaman menjelang 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.