Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kemalangan maut jatuh pada separuh pertama 2022

Jumlah kemalangan maut merosot pada separuh pertama 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut data daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (8 Sep).
 

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kemalangan maut jatuh pada separuh pertama 2022

Keadaan lalu lintas yang sibuk di sebuah persimpangan jalan raya di Singapura. (Gambar: Jeremy Long/CNA)

SINGAPURA: Jumlah kemalangan maut merosot pada separuh pertama 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut data daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (8 Sep).

Kemalangan maut di jalan raya jatuh kepada 44 kes dalam enam bulan pertama 2022, turun daripada 52 kes pada tempoh yang sama tahun lalu. Jumlah kematian merosot lebih 22 peratus, daripada 58 kes pada enam bulan pertama tahun lalu kepada 45 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Namun, secara keseluruhan, jumlah kemalangan yang menyebabkan kecederaan atau kematian meningkat sebanyak 4.9 peratus, dari 3,012 kes pada separuh pertama 2021 kepada 3,159 kes bagi tempoh yang sama tahun ini.

Jumlah mangsa yang cedera dan kematian juga naik sebanyak 3.3 peratus, dari 3,669 pada enam bulan pertama 2021 kepada 3,791 tahun ini.

"Penyambungan semula lebih banyak kegiatan disebabkan pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat membawa kepada kenaikan lalu lintas pada separuh pertama tahun 2022," terang polis.

Kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal dan pejalan kaki warga emas terus menjadi "kebimbangan utama", tekan SPF.

"Kemalangan melibatkan kumpulan pengguna jalan raya yang mudah terdedah, seperti pejalan kaki warga emas dan penunggang motosikal, terus menjadi kebimbangan utama kerana mereka terus membentuk jumlah nahas jalan raya tidak seimbang yang menyebabkan kecederaan atau kematian," tambah polis.

Jumlah kemalangan melibatkan pejalan kaki warga tua naik daripada 103 pada separuh pertama 2021 kepads 117 kes bagi tempoh yang sama tahun ini. Jumlah kematian melibatkan pejalan kaki warga emas juga naik daripada lima kepada sembilan kes.

Bilangan pejalan kaki warga tua yang cedera juga meningkat daripada 100 pada separuh pertama 2021 kepada 109 bagi tempoh sama tahun ini.

"Kemalangan melibatkan warga tua menyumbang kepada 37.1 peratus daripada keseluruhan kemalangan pejalan kaki, 35.5 peatus daripada kecederaan yang dialami pejalan kaki dan 81.1 peratus kematian pejalan kaki dalam tempoh enam bulan pertama 2022," dedah polis.

Pada separuh pertama tahun ini, sekitar 45.3 peratus kemalangan pejalan kaki melibatkan warga tua yang melintasi jalan raya secara sembarangan atau 'jaywalking', menurut SPF.

"Pejalan kaki warga tua dinasihatkan supaya menggunakan jejantas atau menyeberang lintasan pejalan kaki demi keselamatan mereka," tambahnya.

Sementara itu, jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal naik kepada 1,733 kes pada separuh pertama 2022 berbanding 1,711 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Penunggang dan pembonceng motosikal yang cedera pula meningkat kepada 1,844 pada enam bulan pertama 2022 berbanding 1,816 kes bagi tempoh sama tahun lalu. Terdapat sedikit penyusutan pada jumlah kematian melibatkan golongan pengguna jalan raya tersebut, dengan 25 kes dicatatkan dalam enam bulan pertama 2022 berbanding 26 kes setahun sebelumnya.

"Penunggang motosikal terus menyumbang kepada jumlah tidak seimbang kemalangan dan kematian lalu lintas. Penunggang dan pembonceng motosikal terlibat dalam 54.9 peratus daripada keseluruhan kemalangan lalu lintas dan membentuk 55.6 peratus kematian lalu lintas bagi tempoh enam bulan pertama 2022," menurut SPF.

Jumlah kes pemandu yang melanggar lampu isyarat merah dan kemalangan melibatkan pemandu mabuk merosot pada enam bulan pertama 2022 berbanding tempoh sama pada 2021.

Jumlah kes pemandu yang tidak berhenti di lampu merah merosot dari 24,362 pada separuh pertama 2021 kepada 23,217 bagi tempoh yang sama pada 2022. Jumlah kemalangan disebabkan pemandu melanggar lampu merah juga jatuh dari 64 kes dalam separuh pertama 2021 kepada 61 kes bagi tempoh sama pada 2022.

Kemalangan melibatkan pemandu mabuk juga jatuh dari 78 kes pada enam bulan pertama 2021 kepada 71 kes pada tempoh sama tahun ini.

"Bagaimanapun, jumlah pemandu yang ditangkap kerana memandu dalam keadaan mabuk naik sebanyak 7 peratus, daripada 741 kes pada separuh pertama 2021 kepada 793 kes bagi tempoh sama pada 2022," menurut SPF.

Jumlah pemandu yang memandu melebihi had kelajuan meningkat 4.2 peratus, dari 66,480 kes pada separuh pertama 2021 kepada 69,291 kes bagi tempoh sama tahun ini.

Jumlah kemalangan angkara pemandu melebihi had kelajuan turut naik, daripada 474 kes pada separuh pertama 2021 kepada 487 kes bagi tempoh sama 2022, menurut polis.

Dengan pelonggaran lanjut langkah-langkah pengurusan selamat, Polis Trafik sudah menyambung semula lebih banyak sesi pendidikan tentang keselamatan jalan raya secara fizikal serta usaha mendampingi masyarakat, menurut SPF.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan