Skip to main content

Singapura

Jumlah kemalangan jalan raya melonjak pada separuh pertama 2025

Jumlah kemalangan dan korban akibat nahas jalan raya meningkat dalam separuh pertama 2025, berbanding tempoh yang sama tahun lalu, meneruskan dengan trend meningkat sepanjang tiga tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jumlah kemalangan dan korban akibat nahas jalan raya meningkat dalam separuh pertama 2025, berbanding tempoh yang sama tahun lalu, meneruskan dengan trend meningkat sepanjang tiga tahun lalu.

Dalam perangkaan trafik jalan raya pertengahan tahun Pasukan Polis Singapura (SPF) yang diterbitkan pada Jumaat (29 Ogos), jumlah kes kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan dan kematian meningkat sebanyak 8.9 peratus kepada 3,818 pada separuh pertama 2025, berbanding 3,507 pada separuh pertama tahun lalu.

Keseluruhan jumlah korban dan mangsa yang cedera dalam kemalangan jalan raya pada separuh pertama tahun ini adalah 4,939, iaitu naik daripada 4,737 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Terdapat 78 kemalangan maut pada separuh pertama tahun ini, naik daripada 70, manakala jumlah kematian meningkat daripada 72 kepada 79.

Kemalangan yang menyebabkan kecederaan meningkat sebanyak 8.8 peratus kepada 3,740 pada separuh pertama 2025.

Jumlah individu yang cedera meningkat kepada 4,860 daripada 4,665.

Polis menarik perhatian golongan pengguna jalan raya yang mudah terjejas, terutama sekali penunggang motosikal dan pembonceng mereka, serta pejalan kaki warga emas berusia 65 tahun dan ke atas, masih membentuk "bilangan kematian jalan raya yang tidak seimbang".

Jumlah kemalangan melibatkan pejalan kaki warga emas naik kepada 116 pada separuh pertama 2025, daripada 98 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Sepanjang tempoh yang sama, jumlah pejalan kaki warga emas yang cedera dalam kemalangan meningkat kepada 101 daripada 92.

Sekitar 43.1 peratus daripada keseluruhan kemalangan pejalan kaki warga emas disebabkan oleh perbuatan menyeberang jalan raya secara sembarangan.

15 pejalan kaki warga emas maut dalam kemalangan jalan raya pada separuh pertama tahun ini, berbanding enam sebelum ini.

Pejalan kaki warga emas membentuk 78.9 peratus daripada keseluruhan kematian pejalan kaki pada separuh pertama tahun ini.

SPF menyatakan walaupun polis trafik akan meneruskan dengan usaha pendidikan awam bagi warga emas, ia perlukan ahli keluarga, penjaga dan teman-teman bagi menyokong usaha mereka dengan "sentiasa mengingatkan mereka akan mesej keselamatan di jalan raya, khususnya bahaya daripada menyeberangi jalan raya secara sembarangan".

PENUNGGANG MOTOSIKAL

Sementara itu, jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal meningkat kepada 2,088 pada separuh pertama tahun ini, daripada 1,907 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Walaupun terdapat kemerosotan sedikit sebanyak 2.3 peratus dalam jumlah kematian penunggang dan pembonceng motosikal kepada 43 pada separuh pertama tahun ini berbanding 44 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu, para penunggang dan pembonceng motosikal tetap diwakili secara tidak seimbang dalam kes kematian jalan raya, meliputi 54.4 peratus daripada keseluruhan kematian jalan raya," menurut SPF.

Seramai 2,323 penunggang dan pembonceng motosikal cedera dalam kemalangan jalan raya pada separuh pertama tahun ini, naik daripada 2,164 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Kumpulan itu terlibat dalam 54.7 peratus daripada kesemua kemalangan jalan raya pada separuh pertama tahun ini.

Polis menyatakan tiga punca utama adalah: kegagalan memeriksa sekitaran dengan betul, gagal mengawal kenderaan dengan betul dan menukar lorong tanpa berhati-hati.

Polis trafik akan memperkenalkan perubahan terhadap piawai topi keledar motosikal tempatan, selaras dengan "amalan terbaik antarabangsa".

"Kami juga akan menyelaraskan proses pensijilan dan ujian topi keledar. Lebih banyak butiran akan diumumkan pada masa yang sesuai," menurut polis.

PELANGGARAN HAD KELAJUAN

Kes pelanggaran had kelajuan meningkat sebanyak 45.5 peratus kepada 118,076 pada separuh pertama 2025, berbanding 81,141 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Lebih banyak kes dikesan oleh kamera penguatkuasaan had kelajuan, tetapi kenaikan itu mungkin disebabkan oleh operasi penguatkuasaan yang dipertingkat, dan penggunaan fungsi penguatkuasaan had kelajuan pada lebih banyak kamera lampu merah di merata Singapura," menurut polis.

Lebih 42,000 kes pelanggaran had kelajuan dikesan melalui fungsi penguatkuasaan had kelajuan pada kamera lampu merah sejak ia diaktifkan pada 1 April tahun lalu.

Terdapat 236 kemalangan berkaitan memandu laju pada separuh pertama tahun ini, turun sedikit daripada 269 kes yang dilaporkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam tempoh yang sama, jumlah nahas jalan raya berkaitan pandu laju juga merosot kepada 15 daripada 25.

Kes melanggar lampu isyarat merah merosot kepada 13,073 daripada 17,508, manakala nahas jalan raya melibatkan pelanggaran tersebut merosot daripada lima kepada empat.

Namun, jumlah kemalangan yang berlaku akibat pelanggaran lampu isyarat merah meningkat sebanyak 38.3 peratus kepada 65.

Polis mengingatkan para pemandu bahawa denda dan mata demerit bagi kesalahan pandu laju akan dinaikkan mulai 1 Januari 2026.

"Dalam kes-kes lebih serius, lesen memandu pemandu boleh digantung atau ditarik," kata polis.

Polis juga berkongsi kemas kini mengenai pemasangan penghad kelajuan pada lori.

Lori-lori yang dipasang penghad kelajuan mencatatkan hampir sifar kesalahan pandu laju pada separuh pertama tahun ini, berbanding lori-lori yang tidak dipasang had kelajuan, iaitu sebanyak 641 pelanggaran dicatatkan.

Setakat 16 Ogos, 40.5 peratus lori yang perlu memasang penghad kelajuan dalam fasa pertama sudah pun berbuat demikian, lebih awal sebelum tarikh akhir pada 1 Januari 2026.

Polis trafik juga menggesa syarikat-syarikat supaya mempercepatkan pemasangan penghad kelajuan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

"Jika mereka serahkan kepada saat-saat akhir, mereka mungkin berdepan penangguhan dalam pemasangan disebabkan oleh keupayaan bengkel yang terhad.

"Dengan memasang penghad kelajuan itu ia akan melindungi para pemandu lori dan pengguna jalan raya lain daripada kemalangan berkaitan pandu laju melibatkan lori," menurut polis.

KEMALANGAN AKIBAT PEMANDU MABUK

Jumlah kemalangan akibat pemandu mabuk merosot sebanyak 18.5 peratus kepada 75 pada separuh pertama tahun ini, berbanding 92 pada separuh pertama tahun lalu.

Dalam tempoh yang sama, jumlah nahas jalan raya akibat pemandu mabuk merosot kepada empat daripada sembilan.

Namun, jumlah individu yang diberkas kerana memandu ketika mabuk naik sebanyak 5.4 peratus kepada 862 pada separuh pertama tahun ini, berbanding 818 pada separuh pertama tahun lalu.

Polis trafik akan mula menguji kamera penguatkuasaan kesalahan lalu lintas yang baharu, di mana ia dijangka dilancarkan secara bertahap-tahap di seluruh Singapura dalam beberapa bulan akan datang.

"Kamera-kamera ini akan meningkatkan langkah penguatkuasaan terhadap pelbagai kesalahan teknikal lalu lintas, termasuk pusingan-U secara haram dan melintas jalan raya dengan dua garisan putih, yang boleh menyebabkan kemalangan serius," menurut polis.

"Kamera-kamera itu akan dicat dengan berwarna jingga dan putih, serupa dengan kamera penguatkuasaan trafik sedia ada, supaya ia dapat dilihat oleh para pemandu."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita