Skip to main content

Singapura

Jumlah keluarga mohon bantuan ComCare merosot ke tahap terendah dalam 5 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Dec 2025 08:02PM Dikemas Kini : 28 Dec 2025 12:44AM
SINGAPURA: Jumlah keluarga yang memerlukan bantuan daripada ComCare - skim bantuan kewangan pemerintah - mencapai tahap terendah dalam tempoh lima tahun pada 2024.

Laporan tahunan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengenai isi rumah berpendapatan rendah menyatakan, penurunan terus dicatat sejak 2020 dan ini mencerminkan pertumbuhan ekonomi, pengembangan pasaran buruh serta peningkatan skim-skim lain pemerintah.

ComCare, yang menyediakan bantuan asas kehidupan kepada keluarga berpendapatan rendah, mempunyai tiga jenis skim:

Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana (SMTA), yang menyediakan bantuan kewangan sementara untuk keperluan asas.

Mereka yang tidak lagi dapat bekerja dan kurang sokongan keluarga pula boleh memohon Bantuan Jangka Panjang ComCare (LTA).

Isi keluarga juga boleh menerima Bantuan Yuran Penjagaan Pelajar (SCFA) untuk anak-anak mereka.

Laporan MSF menunjukkan bilangan keluarga yang memerlukan SMTA terus merosot.

Lebih 20,800 isi rumah berada dalam skim itu pada 2024.

Ini kemerosotan sembilan peratus berbanding lebih 22,900 keluarga pada 2023.

Angka terkini juga adalah 40 peratus lebih rendah berbanding tahun 2020, iaitu semasa berlakunya pandemik COVID-19.

Kadar median bantuan yang diberi kepada setiap penerima SMTA meningkat kepada $380 tahun lalu, berbanding sekitar $370 pada 2023.

Jumlah sebenar berbeza-beza, bergantung kepada keperluan pendapatan serta saiz anggota keluarga.

Kajian berkala dijalankan oleh pihak MSF untuk memastikan kadarnya setara dengan kos sara hidup.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa semakin sedikit isi rumah kembali memohon bantuan selepas keluar daripada skim tersebut.

Kurang dari separuh keluarga sedemikian kembali memohon bantuan dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas meninggalkannya, penurunan sekitar lima peratusan mata berbanding kohort 2020.

Mereka yang kembali sering berbuat demikian dalam tahun pertama.

Dalam tempoh itu, MSF menyifatkannya sebagai masa paling rentan bagi golongan itu.

Pengurus Pejabat Khidmat Sosial, MSF, Rebecca Tan berkata: "Kebanyakan mereka yang keluar dari SMTA adalah kerana pekerjaan baharu.

"Dengan pekerjaan baharu, ia sentiasa ada cabaran baharu. Sesetengah keluarga ini, mereka tidak lulus tempoh probesyen kerja, dan akibatnya, mereka kehilangan pekerjaan dan terpaksa kembali untuk mendapatkan bantuan kewangan.

"Terdapat juga faktor-faktor lain seperti masalah hutang serta keadaan kesihatan, selain isu-isu kesihatan mental."

Jumlah isi rumah yang menerima skim Bantuan Jangka Panjang juga merosot sekitar tujuh peratus kepada kira-kira 3,200.

MSF menyatakan ini mungkin membayangkan hakikat bahawa semakin ramai penduduk bekerja lebih lama, serta tahap simpanan yang lebih tinggi.

Selain itu, terdapat juga peningkatan sokongan sosial bagi warga emas.
Sumber : CNA/IQ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita