Skip to main content

Singapura

Jumlah kelahiran anak dalam kalangan ibu usia remaja merosot ke paras terendah dalam 20 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kelahiran anak dalam kalangan ibu usia remaja merosot ke paras terendah dalam 20 tahun

Jumlah kelahiran dalam kalangan remaja mencecah paras terendah dalam tempoh lebih 20 tahun pada 2025. (Ilustrasi: CNA/Clara Ho)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 07:57AM Dikemas Kini : 02 Sep 2026 08:09AM
SINGAPURA: Jumlah kelahiran anak dalam kalangan ibu usia remaja merosot lebih 40 peratus daripada 244 pada 2024 dan kini berada pada paras terendah dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun, menurut laporan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengenai kadar kelahiran dan kematian di Singapura.

ICA mentakrifkan kelahiran remaja sebagai kelahiran apabila seseorang ibu berusia 19 tahun ke bawah ketika bersalin.

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai faktor yang mungkin menyumbang kepada penurunan pada jumlah kelahiran anak dalam kalangan ibu usia remaja, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan memandangkan kelahiran hidup dalam kalangan remaja kekal “agak jarang berlaku” dan angka bagi 2025 hanya mewakili data untuk satu tahun, jumlah yang lebih rendah itu tidak semestinya menunjukkan trend menurun.

Secara berasingan, kementerian itu menyatakan kadar keguguran dalam kalangan remaja sepanjang lima tahun lalu secara umumnya tidak berubah, iaitu kira-kira dua bagi setiap 1,000 remaja perempuan.

Walaupun kehamilan dalam kalangan remaja merupakan isu yang mungkin tidak dapat dielakkan, para pakar berkata adalah penting untuk memastikan ibu muda yang hamil mendapat akses kepada sokongan yang diperlukan.

Dr Cassandra Cheong, konsultan di Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), berkata walaupun seseorang remaja secara biologi mampu hamil, beliau mungkin belum bersedia dari segi perkembangan untuk menjadi ibu kerana otaknya masih berkembang dan amat sensitif terhadap faktor tekanan.

“Kehamilan remaja sering berkait dengan isu kesihatan mental, hubungan yang tidak stabil, keciciran daripada persekolahan, tahap celik kesihatan seksual yang rendah dan kesukaran kewangan,” kata Dr Cheong, yang turut mengetuai Klinik Kehamilan Remaja KKH.

Cabaran yang saling berkait ini juga boleh menyukarkan remaja mendapatkan sokongan apabila memerlukannya, terutama jika mereka takut terhadap stigma atau dipandang serong.

“Mewujudkan persekitaran yang membuatkan golongan muda berasa selamat untuk bertanya dan mendapatkan bantuan tanpa takut dihakimi kekal sebagai antara perkara paling penting yang perlu diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata usaha meningkatkan akses kepada kaedah pencegah kehamilan, mengenal pasti individu berisiko lebih awal serta menyediakan khidmat khusus dan kaunseling pencegahan kehamilan selepas bersalin semuanya memainkan peranan.

“Hakikatnya, mencegah kehamilan dalam kalangan remaja bukan sesuatu yang boleh dicapai oleh satu-satu khidmat atau sektor sahaja. Ia memerlukan usaha bersasar merentasi sektor penjagaan kesihatan, pendidikan, khidmat sosial dan masyarakat, dengan setiap pihak memainkan peranan dalam menyokong golongan muda pada peringkat berbeza dalam kehidupan mereka,” kata Dr Cheong.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita