Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah jururawat tempatan, asing yang berhenti kerja naik antara 2020 dan 2021: MOH

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Aug 2022 08:29PM Dikemas Kini : 02 Aug 2022 11:03PM

SINGAPURA: Jumlah jururawat tempatan dan asing di sektor awam yang berhenti kerja naik pada tahun lalu, berbanding 2020, dedah Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan di Parlimen pada Selasa (2 Ogos). 

Antara kalangan jururawat tempatan, kadar berhenti kerja pada 2021 naik kepada 7.4 peratus berbanding 5.4 peratus pada 2020. Bagi jururawat asing pula, kadarnya naik lebih dua kali ganda kepada 14.8 peratus pada 2021, berbanding 2020. 

Kenaikan jumlah jururawat yang meletak jawatan menyusuli kemerosotan jumlah kedua-dua jururawat tempatan dan asing di sektor awam antara 2019 hingga 2020. 

"Bagi jururawat asing di sektor awam, persaingan antarabangsa kini lebih sengit dan kadar berhenti kerja naik dengan lebih ketara lagi," kata Cik Rahayu dalam jawapannya kepada beberapa soalan mengenai jururawat dan kesejahteraan mereka daripada AP Louis Ng (PAP-Nee Soon). 

Menjawab soalan Encik Ng mengenai perbandingan gaji antara jururawat hospital privet dan awam, Cik Rahayu berkata: "Kami agak keberatan untuk mendedahkan maklumat ini secara terbuka, kerana kami sedia maklum kedua-dua sektor ini bersaing untuk mendapatkan pekerja." 

Cik Rahayu berkata, MOH tidak mempunyai data bagi sektor privet, meskipun beliau menyediakan perangkaan gaji bagi jururawat staf dan  jururawat  stafkanan, yang membentuk jumlah terbesar tenaga kerja jururawat di Singapura. 

Gaji tahunan median bagi jururawat staf adalah antara S$42,800 dengan S$53,700 pada 2017, dan naik kepada S$46,300 hingga S$58,500 pada 2021. 

Bagi jururawat staf kanan, gaji tahunan median adalah antara S$65,000 dengan  S$79,700 pada 2017, dan naik kepada S$71,200 hingga S$87,600 pada 2021, kata Cik Rahayu. 

Beliau menambah, lazimnya, seorang siswazah kejururawatan  mengambil purata masa empat hingga enam tahun untuk naik pangkat kepada jawatan  jururawat staf kanan.

Ini bermakna seorang pekerja yang bertugas sebagai  jururawat staf pada 2017 mungkin mendapat gaji tahunan dalam lingkungan gaji jururawat staf kanan pada 2021. 

Isu utama adalah mengekalkan tenaga jururawat, kata Cik Rahayu. 

Menggariskan strategi yang ditetapkan MOH untuk mencapainya, Cik Rahayu berkata, pihak kementerian  menyemak semula skop tugas jururawat untuk membolehkan mereka meluang lebih banyak masa menjaga pesakit dan memastikan gaji mereka berdaya saing pada peringkat tempatan dan antarabangsa. 
 
Dari segi skop tugas, institusi jagaan kesihatan awam mengurangkan beban tugas pentadbiran menerusi inovasi seperti automasi, teknologi, robotik dan teknologi AI. 

MOH juga memudahkan proses jagaan dan kerahan pekerja pentadbiran dan sokongan jagaan untuk membantu  jururawat, tambahnya. 

KESEJAHTERAAN JURURAWAT 

Encik Ng turut bertanya sama ada Jawatankuasa Kesejahteraan Nasional bagi Doktor Baru boleh memperluaskan skop tugasnya untuk mengambil kira waktu bekerja dan keadaan jururawat. 

Menjawab soalan tersebut, Cik Rahayu berkata, isu berhubung kait doktor baru perlu dihuraikan dengan cara yang berbeza disebabkan pusingan kerja di mana mereka dipindahkan ke bahagian lain dalam sistem jagaan kesihatan awam secara sistematik, berbanding pekerja lain yang diambil secara langsung oleh kelompok jagaan kesihatan awam. 

Beliau menarik perhatian, walaupun MOH tidak mengenakan jumlah rehat minimum, jadual kerja bagi jururawat dirancang terdahulu untuk memastikan mereka mendapat "cukup" rehat antara syif mereka. 

Sehubungan itu, Encik Ng ingin tahu apa yang dimaksudkan dengan waktu rehat  mencukupi. Menurutnya ada jururawat yang habis syif mereka pada 9.00 malam atau 10.00 malam dan kembali ke tempat kerja pada 7.00 pagi keesokan harinya, yang, menurut beliau bererti waktu rehat yang tidak mencukupi. 

Menjawab, Cik Rahayu berkata, ada pelbagai aturan berbeza dalam institusi jagaan kesihatan awam mengenai cara mereka menguruskan waktu rehat pekerja mereka. Di beberapa kelompok, syif yang bertukar-tukar memastikan terdapat waktu rehat secukupnya, katanya. 

Namun, beliau turut menarik perhatian bahawa hakikatnya keadaan di hospital mungkin "mencabar" dan jururawat perlu melakukan "lebih daripada tugas mereka". 

MOH sedang berusaha untuk memastikan terdapat cukup jururawat di hospital, kata Cik Rahayu, sambil menekankan bahawa jumlahnya sepanjang beberapa tahun lalu kekal stabil. 

Pengambilan jururawat tempatan naik daripada sekitar 1,500 pada 2014 kepada kira-kira 2,100 pada 2021, katanya. 

Memandangkan permintaan bagi tenaga kerja jagaan kesihatan meningkat sedang penduduk menua, Cik Rahayu menyeru anggota keluarga dan penjaga agar menyokong perjalanan  orang-orang tersayang untuk membantu meringankan  beban pekerja. 

"Kami memahami peri pentingnya mengiktiraf  sumbangan jururawat dan MOH sudah berusaha untuk menyemak semula gaji dan elaun mereka," ujarnya. 

Sepanjang lima tahun lalu, gaji tahunan jururawat tempatan di institusi jagaan kesihatan awam - yang merangkumi gaji asas, elaun dan bonus - sudahpun naik, kata Cik Rahayu. 

Tambah Cik Rahayu, dengan pelonggaran COVID-19, institusi-institusi jagaan kesihatan awam membenarkan jururawat mereka untuk mengambil cuti rehat, termasuk membenarkan jururawat asing untuk pulang ke negara mereka. 

"MOH kekal komited untuk memberi sokongan kepada kelompok jagaan kesihatan awam dalam usaha kami untuk memastikan terdapat tenaga kerja yang mencukupi di tempat kerja, dan menjaga kesejahteraan jururawat kami sedang mereka berdepan tekanan disebabkan gelombang COVID-19 dan penduduk yang semakin menua," katanya lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan