Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah individu disaman kerana guna, miliki e-pengewap naik lebih 3 kali ganda pada 2021

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah individu yang disaman kerana memiliki dan menggunakan pengewap elektronik atau e-pengewap (vape) melonjak lebih tiga kali ganda dari 1,266 pada 2020 kepada 4,697 pada 2021. 

Sejauh ini, perangkaan bagi tahun ini sekali lagi lebih tinggi, sebanyak 3,912 kes setakat Ogos, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (27 Sep). 

Selain itu, 428 individu juga disaman kerana menjual e-pengewap antara 2018 dengan Ogos 2022, dengan 91 didakwa sepanjang tempoh yang sama.

Mediacorp sudah menghubungi HSA untuk mendapatkan jumlah individu yang didakwa kerana menggunakan dan memiliki e-pengewap sejak Februari 2018, iaitu apabila larangan terhadap pembelian, penggunaan dan pemilikan e-pengewap dan peralatan lain yang menyerupai produk tembakau dikuatkuasakan.

HSA menyatakan ia menguatkuasakan larangan terhadap e-pengewap melalui pelbagai cara, seperti bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk "menyekat kemasukan e-pengewap yang diseludup melalui pusat pemeriksaan dan menerusi pembelian online." 

Tambah HSA, ia juga memantau lelaman runcit setempat, platform media sosial serta aplikasi pengiriman mesej. 

"HSA juga memantau ruang siber secara aktif dan mendakwa mereka yang membeli atau menjual produk seumpama itu secara online serta mereka yang didapati menggunakan atau memiliki e-pengewap," kata jurucakap HSA dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa (27 Sep). 

"Singapura mengambil pendekatan pelbagai serampang untuk menangani penggunaan e-pengewap, yang terdiri daripada undang-undang, penguatkuasaan, pendidikan awam serta kaunseling." 

"Kementerian Kesihatan (MOH), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), HSA dan Kementerian Pendidikan (MOE) saling bekerjasama untuk menangani isu pemilikan dan penggunaan e-pengewap di sekolah-sekolah melalui strategi pendidikan dan penguatkuasaan  yang lebih bersasar untuk belia." 

Sesiapa saja yang didapati bersalah kerana menjual, mengimport atau mengedarkan e-pengewap boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. 

Mereka yang didapati bersalah kerana memiliki, menggunakan atau membeli e-pengewap boleh dikenakan denda sehingga S$2,000. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan