Skip to main content

Singapura

Jumlah gerai Bazar Ramadan Gemilang Kampong Gelam dikurangkan 15% tahun ini; sewa lebih rendah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah gerai yang ditampilkan di bazar Ramadan Kampong Gelam di bawah acara tahunan Gemilang Kampong Gelam dikurangkan tahun ini sebanyak hampir 15 peratus berbanding tahun lalu.

Menurut pihak penganjur Kampong Gelam Alliance yang mendedahkan demikian semasa sidang media pada Jumaat (23 Jan), ia berharap ini akan menyediakan pengalaman yang lebih selesa untuk para pengunjung, sekaligus menarik lebih ramai untuk datang.

Sebanyak 103 gerai disediakan berbanding lebih 120 gerai tahun lalu.

Related article image
Penganjur acara Gemilang Kampong Gelam 2026, Syed Farit. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 
Penganjur acara Gemilang Kampong Gelam 2026, Syed Farit berkata: "Saya mendapat maklum balas daripada para pengunjung, orang yang datang ke bazar Ramadan ini.

"Kebanyakan cakap tempat letak kereta kurang di Arab Street, seperti yang anda tahu kebanyakan ruang tempat letak kereta sudah digunakan oleh pegerai kami.

"Jadi untuk lebih tarikan, saya buka tempat letak kereta di kawasan Baghdad itu, jadi saya tidak meletakkan bazar di sana."

Tambahnya, ini juga boleh membantu mereka menjimatkan kos keselamatan serta penutupan jalan raya.

KOS SEWA GERAI S$1,000 LEBIH RENDAH BERBANDING TAHUN LALU
Related article image
Pengerusi, Kampong Gelam Alliance, Zaki Ma'arof. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Bahkan, kos sewa bagi gerai adalah sekitar S$1,000 lebih rendah berbanding tahun lalu meskipun saiz setiap gerai yang disediakan kali ini adalah lebih besar.

Pengerusi, Kampong Gelam Alliance, Zaki Ma'arof: "Kita tengok ekonomi tahun ini di mana banyak sekali aduan mengatakan ekonomi merosot, perniagaan tidak baik. Dari situ juga kita turut serta dengan cuba menurunkan harga sewa."

Memberi kemas kininya, pihak penganjur berkongsi bahawa sekitar 95 peratus gerai sudah ditempah setakat ini dan berharap kesemua gerai akan habis ditempah sebelum bazar bermula.

PELBAGAI SAJIAN AKTIVITI MENARIK MENANTI PENGUNJUNG

Para pengunjung juga boleh menjangkakan lebih banyak pilihan makanan tradisional serta barangan tradisional kali ini.

Ini di samping pelbagai lagi aktiviti menarik yang dirancang sepanjang Ramadan.

"Pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, agak biasalah, kita adakan persembahan oleh artis-artis daripada Malaysia, Indonesia and Singapura juga. Namun, kita juga ada program baharu di mana kita adakan ceramah dan pertandingan Quran untuk kanak-kanak. Dan kita ada khidmat penjagaan kanak-kanak pada masa yang sama," kongsi Encik Syed Farit kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

JUARA GV12, ISKANDAR ISMAIL ANTARA ARTIS YANG DITAMPILKAN

Barisan artis yang ditampilkan kali ini termasuk juara Gegar Vaganza 12 Iskandar Ismail, Fuad Rahman, Alyph, Abang Sapau, Fariz Jabba serta bakat Indonesia, Nadhif Basalamah.

Dalam pada itu, orang ramai juga boleh menyertai acara “Night Walk with Pelita" pada 30 Januari ini bagi meraikan semangat Ramadan melalui perpaduan dan refleksi, di samping menghidupkan semula tradisi menyalakan pelita.

Di sini, KGA antaranya bekerjasama dengan badan bukan meraih untung MEMBINA Community bagi memperkasa belia dan menggalak kempen untuk memerangi vape, "Void Vape".

HAMPIR 90 PERATUS GERAI F&B

Related article image
Kali ini, bazar merangkumi Muscat Street, Kandahar Street dan Sultan Gate Park. (Kampong Gelam Alliance)<br /> &nbsp;
Bazar Gemilang Kampong Gelam 2026 akan berlangsung buat 33 hari bermula 11 Februari ini sehingga 15 Mac.

Kali ini, ia merangkumi Muscat Street, Kandahar Street dan Sultan Gate Park.

Hampir 90 peratus gerai kali ini tertumpu kepada F&B dan bakinya menjual kelengkapan Hari Raya.

Ia dibahagikan kepada tiga zon - Zon A dan Zon B akan ditumpukan kepada gerai F&B, manakala Zon C pula menyediakan gabungan F&B dan keperluan Hari Raya, seperti baju Raya.

Sebagai sebahagian daripada tradisi tahunan, Kampong Gelam akan mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai pada 28 Februaru ini di Baghdad Street.

Istimewanya, ia bakal melibatkan para peniaga F&B di mana para peserta boleh menjamu pelbagai jenis juadah.

Tahun lalu, Gemilang Kampong Gelam mencatat rekod dengan menarik sekitar 900,000 pengunjung.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita