Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah firma SG tembusi pasaran AS meningkat 20% sejak sebelum pandemik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih banyak syarikat tempatan kini memilih untuk menembusi pasaran Barat bagi memperluaskan perniagaan mereka.

Ini lebih-lebih lagi dalam ekonomi terbesar dunia.

Menurut Enterprise Singapore, jumlah syarikat setempat yang telah mengembangkan sayap ke Amerika Syarikat (AS) sejak sebelum pandemik COVID-19 melanda hingga sekarang, meningkat 20 peratus setelah sempadan-sempadan negara kembali dibuka.

ImpacFat, sebuah anak syarikat A*STAR, bukan sebuah makmal sains biasa. Di makmal tersebut sebenarnya, makanan dihasilkan, menggunakan sel lemak ikan untuk membuat daging alternatif yang lebih berkhasiat dan enak.

Anak syarikat A*STAR itu berharap untuk membuat perbezaan di AS.

"Singapura adalah negara yang pertama dan satu-satunya negara yang mempunyai rangka kerja peraturan bagi daging kultur,
tetapi kami percaya Amerika Syarikat adalah pasaran seterusnya yang akan meluluskan peraturan tersebut. Oleh itu, kami sedang membuat persiapan untuknya," jelas Mandy Hon, Pengarah Urusan ImpacFat.


Langkah menembusi pasaran Amerika bukan tanpa risiko, tetapi syarikat berkenaan mempunyai impian besar untuk memperluaskan perniagaannya di negara itu.

Sebuah lagi syarikat tempatan yang mempunyai impian serupa adalah firma teknologi kewangan, GreenArc.

Ia membantu institusi-institusi kewangan mengukur dan memaksimumkan kesan sosial dan alam sekitar.

GreenArc berharap untuk memanfaatkan pasaran Amerika yang semakin berkembang.

Sektor teknologi kewangannya bernilai sekitar AS$4 trilion (S$5.3 trilion) - iaitu lebih seribu kali ganda berbanding Singapura.

Untuk merealisasikan impiannya, GreenArc sudahpun memperolehi dana pelaburan daripada Franklin Templeton, salah sebuah dana modal teroka terbesar di Silicon Valley.

Selain pelaburan, salah satu strategi penting untuk mengembangkan operasi ke luar negara adalah meluaskan rangkaian.

Kedua-dua firma itu adalah antara sekumpulan syarikat yang dibawa oleh Enterprise Singapore ke Austin, Texas baru-baru ini.

Matlamatnya adalah untuk berkongsi lebih banyak peluang dengan syarikat-syarikat Singapura.

Enterprise Singapore mempunyai rancangan untuk membawa lebih banyak syarikat Singapura ke Amerika Syarikat pada masa depan.
Sumber : CNA/AI/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan