Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah e-basikal naik seganda; permintaan meningkat dari penghantar makanan

Jumlah basikal elektrik di Singapura melonjak sepanjang setahun lalu, dipacu oleh permintaan yang meningkat dari khidmat penghantaran makanan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah e-basikal naik seganda; permintaan meningkat dari penghantar makanan

E-basikal yang dijual menerusi laman Kernel Singapore.

Diterbitkan : 25 Jun 2021 10:04AM Dikemas Kini : 25 Jun 2021 10:09AM

SINGAPURA: Jumlah basikal elektrik di Singapura melonjak sepanjang setahun lalu, dipacu oleh permintaan yang meningkat dari khidmat penghantaran makanan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Setakat sehingga hujung Mei, terdapat 31,660 basikal elektrik berdaftar - e-basikal atau basikal berbantu kuasa bateri (PAB) - menurut perangkaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Jumlah itu seganda lebih tinggi berbanding 15,800 e-basikal berdaftar pada Mei tahun lalu.

Sejak pendaftaran e-basikal diwajibkan sebelum dibenarkan digunakan di jalan raya dan laluan berbasikal pada 2018, jumlahnya kekal sekitar 13,000. Namun, lebih ramai orang beralih ke e-basikal selepas e-skuter dan alat mobiliti peribadi (PMD) diharamkan di laluan pejalan kaki pada November 2019.

Jumlah e-skuter menjunam dari 100,000 pada 2019 kepada hanya 6,671 yang berdaftar pada hujung Mei tahun ini, menjunam 93 peratus.

PERMINTAAN DARI PENGHANTAR MAKANAN

Para penjual berkata permintaan bagi e-skuter meningkat disebabkan oleh khidmat penghantaran makanan yang semakin popular ekoran penularan COVID-19, dengan para penghantar makanan membentuk jumlah besar pelanggannya.

"Penjualan PAB semakin bertambah disebabkan oleh COVID-19 sedang lebih ramai orang membuat tempahan makanan online. Permintaan bagi penghantar makanan melonjak dan maka itu, terdapat kenaikan secara langsung pada penjualan PAB," kata Encik Jay Jin, pengurus besar Kernel Singapore.

Kernel adalah antara sebilangan syarikat yang beralih dari menjual PMD kepada basikal dan e-basikal selepas larangan di laluan pejalan kaki dikuatkuasakan pada 2019.

"Kami menjangkakan penjualan e-basikal akan terus meningkat sedang permintaan bagi penghantaran makanan terus bertambah, kata Encik Jin.

Encik Chew Boon Hur, pengurus besar Mobot dan seorang lagi penjual e-basikal, berkata bahawa para penghantar makanan membentuk sekitar 80 peratus pelanggan e-basikalnya.

Dalam kalangan khidmat-khidmat penghantaran makanan di negara ini, foodpanda menyatakan sekitar sepertiga penghantar makanannya menggunakan e-basikal, sambil menambah ia menyaksikan jumlah penunggang e-basikal bertambah sejak langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 tahun lalu.

Deliveroo pula menyatakan ia mempunyai sekitar 9,000 penghantar makanan tetapi tidak mendedahkan berapa ramai menggunakan e-basikal.

KEMALANGAN MENINGKAT

Dengan semakin ramai penunggang e-basikal, kemalangan jalan raya membabitkan pengangkutan beroda dua itu turut meningkat.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Polis Trafik menunjukkan bahawa jumlah kemalangan melibatkan e-basikal naik dari 24 pada 2019 kepada 75 pada 2020 iaitu naik dua kali ganda.

Daripada 75 kemalangan tahun lalu, tiga membawa maut. Sebaliknya, tiada kemalangan membawa maut membabitkan e-basikal pada 2019.

Syarikat-syarikat penghantar makanan yang dihubungi Mediacorp tidak mendedahkan sama ada kemalangan-kemalangan itu melibatkan para penghantar makanannya meskipun ia menekankan keselamatan para penghantar makanan menjadi keutamaan masing-masing.

UJIAN TEORI

Mulai 30 Jun, para penunggang e-basikal dan e-skuter akan diwajibkan lulus ujian teori online yang akan menguji para penunggang tentang pemahaman mereka mengenai undang-undang dan amalan-amalan selamat ketika menunggang alat-alat pengangkutan tersebut.

Para penjual berharap penggunaan e-basikal yang semakin meningkat itu tidak membawa kepada nasib yang sama seperti e-skuter.

"Saya berharap ia tidak akan berlaku sedemikian," kata Encik Chew, sambil menambah kebanyakan penunggang mematuhi undang-undang.

Encik Jin pula berkata beliau yakin langkah-langkah yang diambil oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan membantu memastikan jalan raya selamat untuk para penunggang dan pemandu.

"Kami juga akan memainkan peranan kami untuk menggalak mereka menunggang dengan selamat," tambah beliau.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan