Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah derma barangan naik 50% sempena Tahun Baru Cina; ada yang masih 'sumbang' sampah

Lebih ramai orang bersikap murah hati pada Tahun Baru Cina ini, dengan sesetengah badan-badan amal menyaksikan kenaikan sebanyak 50 peratus sumbangan berbentuk barangan berbanding tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai orang bersikap murah hati pada Tahun Baru Cina ini, dengan sesetengah badan-badan amal menyaksikan kenaikan sebanyak 50 peratus sumbangan berbentuk barangan berbanding tahun lalu.

Bagi menampung kenaikan itu, sesetengah badan amal terpaksa mengurangkan tawaran khidmat yang lain dan mendapatkan bantuan lebih ramai sukarelawan.

Sekalipun demikian, badan-badan amal juga menggesa para penderma supaya memeriksa barangan yang ingin didermakan dan tidak menyumbang barangan yang tidak sesuai untuk digunakan lagi.

Pertubuhan amal SiloamXperience, yang menjadikan 'menjadikan barangan terbuang sebagai barangan yang boleh digunakan semula' sebagai misinya di kedai barangan terpakai kendaliannya, mendapati sesetengah barangan derma yang diterima tidak sesuai untuk digunakan lagi kerana keadaannya yang terlalu lusuh. 

"Menderma bukan sekadar untuk menghapuskan barangan terpakai anda, ia mengenai pemberian supaya barangan itu boleh diguna pakai dan dikitar semula supaya orang lain juga dapat meraih manfaat daripadanya," menurut pengasas pertubuhan amal itu, Janette Tan.

"Jika anda mahu membuang barang, anda boleh membuangnya ke dalam tong sampah."

SAMPAH DALAM KALANGAN BARANGAN BOLEH DIGUNA SEMULA

Pertubuhan amal itu, yang mengendalikan kedai barangan terpakai di Yishun, juga lazimnya akan menyaksikan kotak-kotak bertimbun di luar koridornya setiap kali menjelang Tahun Baru Cina oleh para individu yang ingin membuang barangan terpakai mereka setelah mengemas rumah masing-masing.

Antara barang-barang yang didermakan termasuk barangan yang tidak sesuai untuk digunakan semula, justeru perlu dihapuskan. Ini termasuk permainan doh yang sudah berkulat, pakaian yang lusuh atau kotor dan barangan yang sudah rosak.

"Semuanya bergantung pada pendidikan. Kami harap ramai orang dapat memahami bahawa kedai-kedai barangan terpakai bukanlah tempat untuk mereka membuang barang," kata Cik Tan.

The Salvation Army turut berdepan isu yang sama, di mana sekitar lima hingga 10 peratus daripada barangan yang didermakan perlu dibuang. Ini akan menelan belanja dari segi kos pembuangan barang.

Namun menurut badan itu,  barangan sedemikian hanya membentuk peratusan kecil daripada keseluruhan sumbangan yang diterima. Sekitar 80 peratus daripada barangan derma yang diterima masih sesuai untuk digunakan lagi.

TANGANI LONJAKAN SUMBANGAN DERMA

Dengan lebih banyak sumbangan yang diterima menjelang tempoh perayaan, beberapa badan amal menyatakan mereka perlu menyesuaikan aliran tugas bagi mengelakkan kakitangan dan sukarelawan daripada dibelenggu jumlah sumbangan yang terlalu banyak.

"Kami sebenarnya mengurangkan operasi pengumpulan barangan dari rumah dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerai sumbangan barangan kami," kata Encik Nicholas Tan, pengurus pelanggan dan pendermaan di The Salvation Army.

Pertubuhan amal itu mengendalikan beberapa tempat pengumpulan barangan derma di merata Singapura.

Lazimnya pada hari biasa, para sukarelawan akan melakukan purata empat lawatan antara tempat-tempat pengumpulan derma dan pusat pemprosesan, katanya.

Namun dengan kenaikan jumlah barangan yang diderma di tempat-tempat pengumpulan itu menjelang Tahun Baru Cina, para sukarelawan terpaksa menggandakan jumlah lawatan yang dilakukan supaya setiap gerai tidak terlalu dipenuhi dengan barang yang didermakan.

Memandangkan lebih ramai yang mendermakan barang-barangan yang bersaiz besar, ini menyulitkan lagi tugas para sukarelawan.

"Selain daripada pakaian, mainan dan perhiasan CNY yang lama...kami juga menyaksikan kenaikan sekitar 10 hingga 15 peratus dalam derma barangan besar," kata Encik Tan. "Ini seperti perabot, meja, meja belajar dan kerusi."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan