Jumlah dagangan S'pura naik 11.1% kepada S$967 bilion pada 2017
Jumlah dagangan Singapura bagi 2017 naik 11.1 peratus, berbanding kejatuhan yang dicatatkan pada dua tahun sebelumnya. Demikian menurut data yang dikeluarkan agensi penggalak dagangan IE Singapore hari ini (14 Feb).
Kontena-kontena di Terminal Keppel di S'pura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Jumlah dagangan Singapura bagi 2017 naik 11.1 peratus, berbanding kejatuhan yang dicatatkan pada dua tahun sebelumnya. Demikian menurut data yang dikeluarkan agensi penggalak dagangan IE Singapore hari ini (14 Feb).
Jumlah dagangan barangan mencecah S$967 bilion pada 2017, lebih tinggi berbanding S$870 bilion dan S$915 bilion yang dicatatkan pada 2016 dan 2015.
Eksport dan import masing-masing tumbuh 10.3 peratus dan 12.1 peratus pada 2017.
Prestasi dagangan lebih baik itu didorong pertumbuhan dalam kedua-dua eksport minyak dan bukan minyak, tambah IE Singapore.
Dagangan minyak melonjak 36.0 peratus pada 2017, didorong harga minyak lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya yang mencatat kejatuhan 18.1 peratus pada 2016.
Eksport bukan minyak pula tumbuh 6.4 peratus pada 2017, berbanding kejatuhan 1.9 peratus pada 2016.
Berdasarkan prestasi tahun ke tahun, jumlah dagangan naik 7.8 peratus pada suku keempat 2017, susulan pertumbuhan 11.6 peratus pada suku sebelumnya.
Eksport minyak meningkat 27.7 peratus pada suku keempat tahun lalu, selepas mencatat kenaikan 22.1 peratus pada suku sebelumnya. Dagangan bukan minyak pula naik 3.6 peratus pada suku keempat 2017 berikutan kenaikan 9.5 peratus pada suku sebelumnya.
EKSPORT BUKAN MINYAK LEBIH TINGGI
Eksport bukan minyak (NOX), termasuk eksport domestik bukan minyak (NODX) dan eksport semula bukan minyak (NORX), tumbuh 6.8 peratus pada 2017, berbanding kejatuhan 3 peratus pada 2016. Mengikut perbandingan tahun ke tahun, NOX tumbuh 3.2 peratus pada suku keempat pada 2017.
NODX naik 8.8 peratus pada 2017, berbanding kejatuhan 2.8 peratus pada 2016, dipacu pertumbuhan dalam eksport barangan elektronik dan bukan elektronik.
Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, NODX tumbuh 10.4 peratus pada suku keempat 2017.
Menurut IE Singapore, ini menyusuli pertumbuhan 7.6 peratus yang dicatatkan suku sebelumnya dalam kiriman barangan elektronik dan bukan elektronik.
Jumlah dagangan perkhidmatan juga naik 4.7 peratus kepada S$463 bilion pada 2017, selepas prestasi mendatar pada tahun sebelumnya.
Prestasi lebih baik itu mendorong IE Singapore untuk menaikkan ramalan NODX tahun ini kepada pertumbuhan 1 hingga 3 peratus manakala jumlah dagangan kesleuruhannya antara 3 hingga 5 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.