Jumlah bantuan akhir tahun bagi penerima zakat MUIS catat jumlah tertinggi; bantuan skim Reqab dinaikkan kepada S$150 seorang
Lebih 6,000 keluarga berpendapatan rendah menerima agihan zakat hujung tahun daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berjumlah S$4.3 juta.
(Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura)
SINGAPURA: Lebih 6,000 keluarga berpendapatan rendah menerima agihan zakat hujung tahun daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berjumlah S$4.3 juta.
Jumlah itu merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.
Ia 16 peratus lebih tinggi berbanding S$3.7 juta yang diagihkan tahun lalu.
Agihan hujung tahun ini diharap dapat memberi sokongan tambahan kepada penerima zakat MUIS di samping bantuan kewangan bulanan yang mereka terima.
Ini lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang bersekolah.
JUMLAH BANTUAN SKIM REQAB DINAIKKAN
Dalam kenyataan media hari ini (24 Dis), MUIS turut mengumumkan kenaikan jumlah bantuan dalam skim Reqab.
Ia akan dinaikkan daripada S$70-S$100 bagi setiap anak kepada S$150 seorang kini.
Untuk itu, sebanyak S$1.28 juta diperuntukkan untuk sokongan tambahan itu yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 8,500 kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.
Skim bantuan Reqab bertujuan untuk membantu menampung perbelanjaan pendidikan dan pembangunan mereka untuk tahun persekolahan baharu, sekaligus mengurangkan tekanan kewangan keluarga.
Penerima zakat yang layak akan menerima pemberitahuan melalui pos minggu ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.