Jumlah asatizah relawan program FITRAH naik lebih seganda sejak 2019
Jumlah asatizah yang menjadi relawan dalam program FITRAH meningkat lebih seganda kepada 116 relawan dalam tempoh lima tahun.

(Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faisal Ibrahim beramah mesra dengan para tetamu di Majlis Perhimpunan dan Penghargaan Asatizah FITRAH di Masjid Ar-Raudhah pada Jumaat, 31 Jan).
Ini berbanding 54 orang sewaktu inisiatif itu dirintis pada 2019.
Sokongan dari masjid juga cukup memberangsangkan dengan sebanyak 51 asatizah yang merupakan kakitangan masjid turut menyokong usaha tersebut.
Ini satu peningkatan memberangsangkan kerana lima tahun lalu, tiada asatizah masjid yang tampil untuk menjadi relawan FITRAH.
Hal ini dapat dicapai hasil kerjasama dan sokongan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), masjid dan para asatizah.

Dalam ucapannya, beliau memuji sumbangan serta dedikasi pihak masjid dan asatizah dalam membimbing dan membantu proses pemulihan golongan bekas pesalah.
Ini selain menyokong keluarga mereka juga.

Dr Faishal berbesar hati melihat sokongan dan kerjasama dengan asatizah diperluas.
Beliau juga berharap sikap perpaduan dan semangat kebersamaan dapat diperkukuhkan.
"Ini menunjukkan bahawa para asatizah kita telah memberi sumbangan yang sangat baik dan peningkatan dari segi sumbangan ini boleh dirasakan. Mereka lebih mendalam mempunyai pandangan, perspektif dan juga ilmu yang lebih mendalam dalam aspek ini. Apa yang mereka lakukan, kalau kita lihat saya sering mendekati para bekas pesalah dan mereka kadang-kadang menyatakan nama-nama asatizah yang memberi sokongan kepada mereka. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih pada para asatizah dan saya harap kamu akan meneruskan usaha ini," kata Dr Faishal yang juga merupakan Menteri Negara Pembangunan Negara.
JALIN KERJASAMA ANTARA MASJID UNTUK BANTU BEKAS PESALAH
Antara asatizah yang telah menyumbang kepada program tersebut ialah Pengurus Masjid Al-Khair, Ustaz Muhammad Faheem Abdul Khalil.

"Khususnya Masjid Al-Khair, kami berganding bahu dengan Masjid-Al Iman dan Masjid Darussalam untuk keluarkan kurikulum atau kursus-kursus imam berkeluarga bagi banduan yang berada di dalam penjara. Amat penting bagi asatizah bukan setakat mengajar tapi bagaimana kita dapat membimbing mereka juga. Juga dengar apa keluhan mereka dan juga memberikan ruang bagi mereka untuk membuat kaitan dengan agama mereka semula," kata Ustaz Faheem yang juga ketua di Darul Tafsir.
Melihat akan kesan positif pada golongan bekas pesalah menerusi sumbangan para asatizah ke dalam program itu, Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) komited untuk memperkasakan lagi golongan asatizah dengan mempertingkatkan lagi program tersebut.
"Pada bulan Februari ini, kami akan melaksanakan latihan tentang program khusus jantina atau pendekatan sensitif jantina untuk para asatizah dan juga pendamping- pendamping di FITRAH. Selain itu juga kami akan terus mempermudahkan program-program yang akan dijalankan di penjara oleh asatizah-asatizah FITRAH," kata Timbalan Pengarah, Bahagian Pemulihan Psikologi dan Pemulihan SPS, Salina Samion.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.