Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah ahli psikologi sektor awam akan ditambah 40% bagi penuhi permintaan khidmat kesihatan mental

Pemerintah Singapura dijangka menambah jumlah karyawan kesihatan mental dalam sektor awam dan mengasah kemahiran lebih ramai kakitangan barisan hadapan dan sukarelawan menjelang 2030 bagi menyokong individu dengan keperluan kesihatan mental.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemerintah Singapura dijangka menambah jumlah karyawan kesihatan mental dalam sektor awam dan mengasah kemahiran lebih ramai kakitangan barisan hadapan dan sukarelawan menjelang 2030 bagi menyokong individu dengan keperluan kesihatan mental.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan memperluaskan keupayaan jagaan jangka panjang dan hospital serta "jaringan keselamatan" bagi memenuhi keperluan jagaan pesakit dengan keadaan kesihatan mental kronik dan serius, kata Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan Janil Puthucheary hari ini (7 Feb).

Beliau berucap semasa usul Parlimen bagi memajukan kesihatan mental di Singapura, dengan para Anggota Parlimen (AP) mencadangkan pelbagai cara untuk menangani jagaan kesihatan mental dengan lebih baik.

Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kesihatan Rahayu Mahzam berkata pemerintah menyasarkan untuk menambah jumlah ahli psikiatri dalam sektor awam sebanyak 30 peratus kepada 260 menjelang 2030.

Ia juga menetapkan sasaran untuk menambah jumlah ahli psikologi dalam sektor awam sebanyak 40 peratus kepada 300 menjelang 2030, katanya.

Setakat 2022, terdapat 203 ahli psikiatri dan 212 ahli psikologi berdaftar dalam sektor awam.

"Namun, setakat menaikkan jumlah ahli psikiatri dan ahli psikologi tidak mencukupi dan memadai bagi memenuhi permintaan meningkat bagi khidmat kesihatan mental," katanya.

Sambil merujuk kepada model jagaan berperingkat - yang mengatur khidmat kesihatan mental mengikut tahap serius keperluan seseorang individu - Cik Rahayu berkata lebih ramai pesakit akan menerima jagaan tepat pada waktunya dalam masyarakat, yang disediakan oleh karyawan kesihatan mental sewajarnya seperti kaunselor.

"Ini membolehkan ahli psikiatri dan psikologi untuk memberi tumpuan kepada para pesakit dengan keperluan kesihatan mental yang lebih rumit," katanya.

Cik Rahayu berkata Pemerintah komited untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti penyedia khidmat masyarakat dan akan memantau perubahan dalam permintaan bagi khidmat kesihatan mental bagi memastikan sentiasa ada tenaga kerja yang mencukupi bagi jagaan kesihatan mental.

LEBIH RAMAI KAKITANGAN BARISAN HADAPAN DILATIH, LEBIH BANYAK KATIL DITAMBAH

Lebih ramai kakitangan barisan hadapan dan sukarelawan akan dilatih untuk mengenal pasti keperluan kesihatan mental dan menyediakan bantuan psikologi dahulu jika perlu, kata Dr Puthucheary hari ini.

Lebih daripada 48,000 kakitangan barisan hadapan - termasuk guru dan pegawai daripada pelbagai agensi seperti Pasukan Polis Singapura (SPF), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) - dan 54,000 sukarelawan telah dilatih untuk mengenal pasti dan menghulurkan sokongan emosi asas kepada mereka yang perlukan dan rujukkan mereka untuk mendapatkan sokongan kesihatan mental lanjut jika perlu.

Akhir sekali, matlamatnya adalah untuk menawarkan pendekatan latihan itu kepada lebih daripada 130,000 kakitangan barisan hadapan dan sukarelawan menjelang 2030, bagi memastikan rangkaian sokongan lebih meluas bagi para individu dengan keperluan kesihatan mental, kata Dr Puthucheary.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan