Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah agihan daging korban PERTAPIS untuk penerima bantuan naik seganda tahun ini

Sebanyak 2,000 kilogram daging korban diagihkan oleh PERTAPIS kepada 500 penerima bantuan Tabung Amal Jariah (TAJ) hari ini (17 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah agihan daging korban PERTAPIS untuk penerima bantuan naik seganda tahun ini

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

SINGAPURA: Sebanyak 2,000 kilogram daging korban diagihkan oleh PERTAPIS kepada 500 penerima bantuan Tabung Amal Jariah (TAJ) hari ini (17 Jul).
 
Jumlah daging korban yang diagihkan tahun ini naik seganda berbanding tahun lalu, di mana 1,000 kilogram daging korban diagihkan.

Menurut PERTAPIS, sebahagian daging korban tersebut disumbangkan sohibul korban yang menyertai ibadah korban anjurannya di Australia pada Hari Raya Aidiladha.

"Alhamdulillah tahun ini kita dapat daging lebih daripada biasa, lebih daripada tahun-tahun yang sudah kerana kebanyakan orang yang membuat korban tahun ini banyak menyerahkan daging itu kepada kita.

"Jadi lebihan daging itu kita bagikan sebanyak 4 kilogram setiap orang," kata Presiden PERTAPIS, Hussaini Abdullah.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut hadir di Rumah Peralihan PERTAPIS siang tadi untuk sama-sama mengagihkan bungkusan daging korban kepada para penerima.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

"Saya rasa gembira kerana dapat melihat kita boleh mengadakan pengagihan ini secara fizikal selepas pandemik COVID-19 dan ini menunjukkan bahawa semangat untuk mendekati dan menolong mereka yang memerlukan itu masih kuat, tidak kira masa dan PERTAPIS telah membuatkan penyesuaian pada masa pandemik dan pada hari ini mereka telah meneruskan dengan usaha ini," kata Dr Faishal.

Salah seorang penerima bantuan TAJ PERTAPIS yang mendapat daging korban hari ini adalah Cik Haslina Jamaluddin.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

"Saya dapat daging korban tahun ini kira bertuah.  Saya dapatkan barang-barang ini untuk keluarga saya, anak-anak saya dan saya berasa sangat terharu dapat ini semua," kata Cik Haslina.

Selain itu, PERTAPIS turut mengumumkan perkembangan terkini bagi program Tabung Amal Jariah kendaliannya.

Antaranya, penubuhan Biasiswa Pendidikan Pertapis 2022 yang menyediakan bantuan kewangan kepada calon kursus diploma dan ijazah daripada keluarga kurang bernasib baik.

"Kita anggarkan kita akan berikan antara S$200 hingga S$250 setiap seorang untuk pembelajaran mereka. Mungkin kita dapat laksanakannya sebelum akhir tahun ini," kata Encik Hussaini.

Ia menyasarkan untuk membantu 20 pelajar daripada berbilang kaum.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan