Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah aduan terhadap industri pengangkutan, kecantikan melonjak pada 2018

Jumlah aduan pelanggan terhadap industri kecantikan dan syarikat-syarikat pengangkutan melonjak pada tahun lalu, menurut Persatuan Pengguna Singapura (CASE) hari ini (1 Mar).

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah aduan terhadap industri pengangkutan, kecantikan melonjak pada 2018

Gambar Google Street View.

Diterbitkan : 01 Mar 2019 02:25PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 02:27PM

SINGAPURA: Jumlah aduan pelanggan terhadap industri kecantikan dan syarikat-syarikat pengangkutan melonjak pada tahun lalu, menurut Persatuan Pengguna Singapura (CASE) hari ini (1 Mar).

Industri kecantikan menerima jumlah aduan paling tinggi, disusuli dengan industri kenderaan dan pengangkutan, menurut CASE. Persatuan itu menambah, ini merupakan kali pertama sejak 2012, industri kereta tidak mendahului senarai tersebut.

CASE menerima 1,829 aduan terhadap industri kecantikan - satu lonjakan sebanyak 31 peratus berbanding 2017. Sebahagian besar aduan berkaitan penutupan kedai secara tiba-tiba dan taktik penjualan yang terlalu agresif.

(Sumber: CASE)

Akibat tiba-tiba gulung tikar, para pelanggan Traditional Javanese Massage Hut kehilangan hampir S$200,000 secara keseluruhan, setelah membuat bayaran pendahuluan kepada cawangan-cawangannya bagi pakej-pakej urut yang belum digunakan sepenuhnya.

Para pelanggan dari cawangan River Valley menerima wang pengembalian di bawah insurans bayaran pendahuluan kerana cawangan tersebut berada di bawah skim pentauliahan CaseTrust.

CASE turut menarik perhatian kepada tindakan agresif sesetengah penjual. Dalam satu kes, dua jurujual menahan kad debit seorang pelanggan lanjut usia selepas beliau membuat bayaran bagi sebuah produk. Pelanggan itu terpaksa duduk di kedai berkenaan selama dua jam sedang kakitangan syarikat terbabit melakukan pemasaran produk.

Apabila beliau sudah mencecah had perbelanjaan maksimum kad tersebut, seorang jurujual mengikutinya ke mesin ATM untuk mengeluarkan lebih banyak wang.

"Bil keseluruhannya mencecah S$5,000. Pelanggan itu berjaya mendapatkan semula wang beliau sepenuhnya selepas campur tangan daripada CASE," dedah persatuan itu.

INDUSTRI PENGANGKUTAN

Jumlah aduan terhadap industri pengangkutan meningkat kepada 1,670 pada 2018, iaitu 10 kali ganda jumlah aduan pada 2017.

Daripada jumlah itu, hampir 1,400 aduan difailkan terhadap oBike menyusuli keputusan syarikat itu untuk menghentikan operasinya pada Jun 2018.

CASE menasihati para pelanggannya supaya melindungi diri mereka dengan memahami risiko-risiko yang terlibat semasa membuat bayaran pendahuluan kepada para peniaga.

Jumlah aduan bagi industri kenderaan merosot 23 peratus, dari 2,335 aduan pada 2017 kepada 1,802 aduan pada 2018. Aduan tentang barang-barang yang rosak atau tidak memenuhi piawai membentuk 46 peratus jumlah aduan.

CASE menyatakan ia juga mendapati jumlah aduan yang timbul daripada urus niaga online kian meningkat.

Secara keseluruhannya, CASE menerima 16,090 aduan tahun lalu. Sekitar 70 peratus daripada kes-kes yang dirundingkan oleh CASE bagi pihak pengguna dileraikan dengan lebih S$2.73 juta berjaya diperolehi semula.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan