Skip to main content

Singapura

Jumlah aduan e-dagang lonjak 54% pada separuh pertama 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah aduan e-dagang lonjak 54% pada separuh pertama 2023

Gambar: iStock

Diterbitkan : 07 Aug 2023 01:54PM
SINGAPURA: Sebanyak 1,703 aduan dibuat pelanggan, melibatkan pembelian online pada separuh pertama tahun ini, iaitu kenaikan 53 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.

Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menyatakan pada Isnin (7 Ogos) bahawa hampir 10 peratus daripada aduan tersebut melibatkan pembelian produk elektrik dan elektronik - lonjakan 67 peratus berbanding separuh pertama 2022.

Aduan tersebut merangkumi isu penghantaran, barangan yang rosak atau tidak mematuhi kontrak, dan tuntutan yang mengelirukan serta palsu.

"Lonjakan dalam jumlah aduan e-dagang, meskipun dijangka disebabkan tahap populariti membeli-belah online yang kian meningkat, menimbulkan kebimbangan," ujar presiden CASE Melvin Yong, sambil menambah bahawa beliau "sangat khuatir".

Syarikat-syarikat e-dagang seperti Mdada dan Perromart mendapat tumpuan baru-baru ini, kerana pelanggan yang kurang senang dengan kelengahan pesanan.


Encik Yong berkata bahawa skim akreditasi CaseTrust yang baharu bagi e-perniagaan akan dilancarkan dalam beberapa bulan akan datang untuk "melindungi pengguna dengan lebih baik dan menyediakan persekitaran membeli-belah secara online yang lebih sihat".

"Skim berkenaan akan meliputi pelbagai amalan e-dagang daripada pra-jualan sehingga pos-jualan dan menyentuh masalah yang sering dihadapi pengguna berhubung produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, apabila mereka membeli-belah secara online.

JUMLAH ADUAN TERHADAP KONTRAKTOR UBAH ELOK TURUN

Pada separuh pertama 2023, CASE menerima 7,316 aduan secara keseluruhan - iaitu kemerosotan 8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Aduan terhadap industri elektrik dan elektronik membentuk sebilangan besar jumlah keseluruhan aduan yang dibuat, diikuti dengan kontraktor ubah elok, kereta bermotor, kecantikan dan perabot.

Jumlah aduan terhadap kontraktor ubah elok menyusut sebanyak 22 peratus pada separuh pertama tahun ini, berbanding pada tempoh yang sama tahun lalu.

Kemerosotan dalam jumlah aduan tersebut adalah disebabkan kekurangan berlakunya gangguan rantaian bekalan, yang sebelum ini berpunca daripada COVID-19. Ini kerana kekurangan tenaga kerja dan kelengahan dalam penghantaran bahan ubah elok menghambat kontraktor daripada menyelesaikan projek mereka tepat pada waktunya.



KENAIKAN DALAM JUMLAH ADUAN DALAM INDUSTRI PENERBANGAN

Meskipun terdapat kemerosotan dalam jumlah aduan secara umumnya pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama pada 2022, CASE sedia maklum bahawa terdapat 39 peratus kenaikan dalam jumlah aduan terhadap industri penerbangan daripada 181 kepada 251 aduan.


Kenaikan dalam jumlah aduan tersebut sejajar dengan "trend di beberapa negara lain, di mana aduan pengguna terhadap syarikat penerbangan juga meningkat", nyata persatuan tersebut.


CASE menambah bahawa aduan yang kerap dibuat termasuk isu dengan sistem tempahan, penempahan berganda atau bagasi yang hilang.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita