Julat anggaran markah PSLE bagi sekolah menengah didedahkan di bawah sistem pemarkahan baru
Julat anggaran markah PSLE bagi sekolah menengah didedahkan di bawah sistem penskoran baru.
SINGAPURA: Para murid yang akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini akan mendapat gambaran lebih jelas semasa memilih sekolah menengah masing-masing.
Mereka juga akan mempunyai lebih banyak pilihan sekolah menengah.
Ini setelah Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (27 Apr) mengeluarkan julat anggaran markah PSLE bagi sekolah-sekolah menengah.
Ia berdasarkan keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan corak pemilihan sekolah dalam Urusan Pemilihan Sekolah Menengah pada 2020.
PENSKORAN PERINGKAT PERCAPAIAN (AL)
Mulai tahun ini, para murid yang menduduki Peperiksaan PSLE akan dinilai menerusi Peringkat Pencapaian (AL) - dari 1 hingga 8 mata bagi setiap daripada empat subjek mereka.
Markah keseluruhan PSLE murid adalah jumlah AL bagi keempat-empat subjek yang diduduki.
Lebih kecil jumlahnya, maka lebih baik keputusannya.
Penskoran itu adalah berdasarkan prestasi diri mereka sendiri bagi setiap mata pelajaran dalam peperiksaan tersebut.
Ini membolehkan para murid untuk menetapkan matlamat dan sasaran mereka sendiri dan berusaha mencapai markah yang disasarkan.
Ini berbeza daripada sistem penskoran agregat T sebelum ini yang melihat prestasi seseorang murid berbanding prestasi murid lain dalam subjek yang sama.
Para murid yang mengambil subjek asas akan diberi gred AL A hingga AL C.
Bagi tujuan penempatan Menengah 1, peringkat asas AL A hingga AL C akan ditetapkan sebagai AL 6 hingga AL 8.
Markah keseluruhan PSLE itu nanti akan menjadi anggaran mata potongan atau Cut-Off Points (COP) bagi sekolah-sekolah menengah berbanding sistem penskoran T sebelum ini, dengan lebih 200 agregat.
Para murid akan diterima masuk ke sesebuah sekolah menengah dalam aliran Ekspres, Normal (Akademik) dan Normal (Teknikal) - berdasarkan keseluruhan markah PSLE yang diperolehi.
KAEDAH PEMATAH SERI
Di bawah sistem penskoran baru PSLE itu, jumlah murid yang layak untuk berada di bawah aliran tertentu dijangka serupa kerana standard kurikulum dan penilaian tidak berubah.
Para murid tetap akan memilih enam sekolah menengah dan akan diterima masuk ke salah satu daripadanya berdasarkan merit akademik, iaitu murid yang mendapat markah PSLE lebih baik atau lebih kecil angkanya akan diterima masuk berbanding pelajar dengan markah yang kurang baik.
Sekiranya terdapat beberapa murid dengan markah PSLE yang sama dan memilih sekolah yang sama, MOE akan menggunakan kaedah pematah seri atau tie-breaker seperti berikut:
1) Kerakyatan
Ini bermakna, murid rakyat Singapura akan diutamakan untuk diterima masuk ke sesebuah sekolah sebelum murid lain yang merupakan Penduduk Tetap (PR) dan murid Penduduk Tetap (PR) akan didahulukan sebelum pelajar antarabangsa.
2) Urutan pemilihan sekolah
Ini adalah keadah pematah seri yang baru.
Jika dua murid memperolehi markah PSLE yang sama, kerakyatan yang sama dan merebut baki tempat di sekolah yang sama, maka murid yang meletakkan sekolah itu lebih tinggi dalam senarai sekolah pilihan akan dipertimbangkan terlebih dahulu.
3) Undi menggunakan sistem komputer
PENGUMPULAN BERDASARKAN SUBJEK SECARA PENUH
Di bawah sistem penskoran baru itu juga, para pelajar dari aliran Normal (Akademik) dan Normal (Teknikal) akan terus layak mengambil mata pelajaran pada tahap lebih mencabar dalam Menengah 1, berdasarkan markah AL PSLE mereka bagi subjek-subjek individu berbanding mengikut markah PSLE keseluruhan.
Ini sejajar dengan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) yang diperkenalkan MOE sebelum ini untuk memberi lebih banyak kelonggaran kepada pelajar untuk mengambil pelbagai subjek pada tahap yang lebih mencabar mengikut kelebihan mereka sendiri.
Jika pelajar terus menunjukkan kebolehan dan kecekapan semasa di sekolah menengah, ini akan membuka peluang untuk mereka mengambil subjek-subjek pada tahap lebih mencabar sepanjang tempoh persekolahan mereka di sekolah menengah.
Ini supaya mereka dapat memanfaatkan kelebihan serta minat mereka dan membangunkan potensi mereka.
Menurut MOE, julat anggaran markah PSLE bagi setiap sekolah menengah adalah titik permulaan yang baik untuk para pelajar dan ibu bapa mereka sedang mereka mula menimbangkan sekolah menengah yang akan menjadi pilihan.
"Menjangkaui gred mata pelajaran, terdapat juga faktor-faktor penting yang sama penting semasa memilih sekolah mana yang sesuai dari segi keperluan menyeluruh pembelajaran pelajar.
"Contohnya program-program tertentu sekolah, kegiatan luar darjah, etos dan budaya serta jarak dengan tempat tinggal," menurut MOE dalam kenyataan medianya hari ini.
Untuk lebih memahami apa yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah menengah yang mengambil bahagian dalam Urusan Pemilihan Sekolah Menengah, para murid dan ibu bapa mereka boleh melungsuri laman SchoolFinder mulai hari ini.
PELAJAR TIDAK PERLU LAGI SASAR MARKAH PENUH
Menjawab soalan wartawan tentang sama ada MOE menjangkakan lebih ramai murid akan memohon untuk Pengambilan Masuk Ke Sekolah Secara Langsung Bagi Program Bersepadu disebabkan sistem penskoran dan penempatan Menengah 1 yang baru itu, MOE menyatakan skim itu sentiasa menerima "permintaan yang baik".
Skim Pengambilan Masuk Ke Sekolah Secara Langsung membolehkan para murid membuat permohonan bagi sekolah-sekolah berdasarkan bakat berbanding gred akademik, sebelum mereka menduduki peperiksaan PSLE atau peringkat O.
"Kami tidak menjangkakan akan terdapat permohonan lebih tinggi kerana penskoran AL bukan diadakan untuk menyukarkan murid memasuki sekolah-sekolah tersebut menerusi markah PSLE. Hakikatnya, berdasarkan simulasi kami, tiada sekolah yang menetapkan COP 4 atau 5. Ia bermula dari 6. Jadi murid tidak perlu meraih markah sempurna, 1,1,1,1," menurut MOE.
MOE menambah pihaknya memahami mungkin sesetengah pihak berasa resah terhadap sistem penskoran baru itu, lebih-lebih lagi bagi kumpulan pertama murid dan ibu bapa yang akan melaluinya tahun ini.
"Kami mahu menekankan bahawa tiada perubahan pada kurikulum, pada penilaian dan standard PSLE. Jadi tidak perlu resah," Pengarah Agung Pendidikan MOE, Wong Siew Hoong.
"Sedang kami memperhalusi sistem penskoran PSLE untuk mengalihkan tumpuan daripada keputusan peperiksaan, kami mengiktiraf bahawa perubahan sebenar memerlukan anjakan minda.
"Ayuh kita ingatkan diri kita sekali lagi bahawa markah PSLE hanyalah sebagai panduan untuk para murid dan ibu bapa menyenarai pendek sekolah-sekolah menengah yang menjadi pilihan," kata Encik Wong lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.