Juara Baca BERITA Junior: Sekolah Rendah Punggol View unggul sebagai penyampai Berita terbaik dan juara keseluruhan

Para peserta Juara BERITA Junior 2025. (Gambar Fatyn Afiqah)
Seramai 18 peserta dari sembilan sekolah zon Punggol berentap dalam acara yang dianjurkan bersama oleh BERITA Mediacorp dan Sekolah Rendah Punggol View, dengan sokongan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
Berbeza dengan edisi sebelumnya, pertandingan kali ini memperkenalkan beberapa elemen baharu, termasuk penyampaian berita secara bergilir-gilir oleh dua wakil dari setiap sekolah.
Peserta diuji dalam aspek kelancaran, intonasi, keyakinan serta kebolehan menyampaikan berita di depan kamera, dengan markah dipuratakan bagi menentukan sekolah terbaik.

Murid Sekolah Rendah Punggol View, Muhd Dzulhaziq Mohd Dzulfaqa, tampil dengan keyakinan dan ketenangan ketika menyampaikan berita, sekali gus menambat hati juri dan dinobatkan sebagai Juara Baca BERITA Junior 2025.
"Saya rasa amat bangga untuk membanggakan keluarga, cikgu-cikgu dan kawan-kawan saya," ujar Muhd Dzulhaziq yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang bersama syarikat penerbangan Singapore Airlines.
Berkongsi tentang persiapannya menjelang pertandingan, beliau berkata: "Saya bersiap untuk peraduan ini selama tiga hingga empat minggu. Kami menggunakan teleprompter untuk melatih di studio di sekolah kami. Saya juga menonton BERITA di rumah dan membaca teks-teks itu di depan keluarga saya dan di depan cermin."


Guru Bahasa Melayu sekolah itu, Cikgu Nuhayati Selamat, meluahkan rasa bangga terhadap dedikasi semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan pasukan mereka.
"Saya sebenarnya amat berbesar hati dan bangga dengan Jabatan Bahasa Melayu kami di Sekolah Rendah Punggol View. Kami amat bersatu hati, dan saya sangat menghargai pengorbanan para guru serta sokongan yang luar biasa daripada ibu bapa," kata Cikgu Nurhayati.
Menurut beliau, semangat dan usaha gigih para pelajar yang mengikuti sesi latihan intensif turut menjadi faktor kejayaan mereka.
"Pelajar-pelajar begitu bersemangat mengikuti sesi latihan setiap hari Jumaat selama tiga minggu berturut-turut. Jadi, saya amat berbesar hati dan gembira mendapat peluang seperti ini," tambahnya.
Cikgu Nuhayati juga menyoroti pengalaman berharga yang diperoleh semasa berkolaborasi dengan MediaCorp.
"Pengalamannya bagi saya, satu pengalaman yang agak manis sebab bukan sebarang masa kita dapat bekerjasama dengan MediaCorp. Jadi, ini satu peluang bagi kami untuk mendekati untuk mempelajari apakah peluang yang ada di bilik Berita. Mana tahu nanti para murid kita bakal menjadi pelapis pembaca berita pada suatu hari nanti. Jadi, saya rasa pengalaman kami amat baik sekali," jelasnya.

“Suara saya perlu dibaiki kerana di sekolah suara saya sangat perlahan. Tapi di rumah, suara saya sangat kuat,” ujar Ariana.

Nabilah Adella Ahmad Fahrin dari Sekolah Rendah Punggol Green pula dinobatkan Juara 3.
"Saya menggunakan program DV Prompter untuk berlatih di rumah dengan saya berasa gementar," dedah Nabilah.

Peraduan Juara Baca BERITA Junior merupakan usaha BERITA Mediacorp untuk mendekati dan menarik perhatian golongan muda terhadap media aliran utama.
Inisiatif ini juga bertujuan untuk mengasah penguasaan bahasa Melayu di luar sekolah, yang semakin mendapat perhatian.
Pembelajaran yang menyeronokkan memainkan peranan penting dalam menarik minat pelajar untuk menguasai bahasa Melayu di luar sekitaran sekolah.
Menurut Ketua Editor Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Sujadi Siswo, kejayaan peraduan tahun ini bergantung kepada kerjasama antara guru-guru sekolah dan juga ibu bapa di rumah.
"Saya rasa kejayaan peraduan tahun ini bergantung kepada pengembelingan tenaga antara guru-guru sekolah dan juga ibu bapa di rumah. Kerana tanpa sokongan padu daripada mereka, tak mungkin BERITA Mediacorp dan juga Perpustakaan Negara dapat menjalankan kegiatan seperti ini. Ini bukti bahawa apa sahaja yang kita lakukan bersama masyarakat memerlukan penyertaan masyarakat. Kalau tidak, tidak akan jadilah," kata beliau.

"Kita lihat bahawa keghairahan daripada penyertaan anak-anak itu sendiri kelihatan. Ini satu lagi bukti bahawa pembelajaran bahasa Melayu, khususnya di sekolah, harus menyeronokkan, dan peraduan seperti inilah akan membantu mendekatkan mereka kepada bahasa Melayu," tambahnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa salah satu matlamat utama adalah untuk mendidik anak-anak sejak usia muda tentang pengertian berita dan berita yang sahih dalam media arus perdana.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.