Juara Baca BERITA Junior cungkil bakat pelajar jadi penyampai BERITA TV
Buat julung-julung kalinya murid dari 10 sekolah rendah akan menunjukkan bakat, beradu kemahiran dalam menyampaikan berita bagi gelaran Juara Baca BERITA Junior 2024.
Peraduan yang berlangsung pada Sabtu, 24 Februari itu adalah anjuran bersama BERITA Mediacorp dan Sekolah Rendah Radin Mas dengan sokongan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
FORMAT JUARA BACA BERITA JUNIOR
Pertandingan itu disasarkan kepada murid darjah lima dan enam, dengan setiap sekolah diwakili seorang peserta dan murid simpanan.
Memandangkan ini kali pertama pertandingan Baca BERITA diadakan, setiap murid digandingkan dan dibimbing penyampai mapan BERITA seperti Nursha Ismail, Muhd Izwan Ohtman dan Rosli A.Razak.
Ini turut dilakukan menerusi video yang dimuat naik ke portal BERITA.

Mereka akan diadili berdasarkan sebutan, intonasi, kelancaran, gaya serta penampilan.
Panel juri Juara Baca BERITA Junior terdiri daripada mereka yang berkecimpung dalam bidang pendidikan dan kewartawanan.
USAHA DEKATI GOLONGAN MUDA KEPADA MEDIA ALIRAN UTAMA
Ketua Editor Berita dan Ehwal Semasa Melayu, Mediacorp, Encik Sujadi Siswo berkata inisiatif itu adalah sebahagian usaha BERITA Mediacorp untuk mendekati dan memikat golongan muda kepada media aliran utama.
"Program ini sebenarnya mempunyai matlamat utama untuk mendekatkan lagi BERITA Mediacorp kepada generasi muda kerana penggunaan media di kalangan generasi muda, corak mereka, penggunaan media mereka itu sangat berbeza dengan apa yang pernah dilalui oleh generasi sebelum ini.
"Ia sangat penting dalam keadaan media di dunia ini yang sangat bergejolak, yang sangat tidak menentu. Jadi Mediacorp sebagai wadah berita aliran utama di Singapura harus memastikan bahawa kita ini mendekati mereka seawal mungkin," kata Encik Sujadi.

PENDEDAHAN KEPADA BIDANG KEWARTAWANAN DAN PENYIARAN BERITA
Guru Kanan Bahasa Melayu Sekolah Rendah Radin Mas, Cikgu Aryanti Sukaimi berkata penyertaan murid dalam Juara Baca BERITA Junior juga satu peluang untuk mengasah penguasaan penggunaan bahasa Melayu di luar sekitaran sekolah.
"Kami ingin membina dan mengasah keyakinan diri pelajar semasa menyampaikan maklumat di khalayak ramai dan juga mengasah kemahiran membaca mereka kerana ini adalah salah satu kemahiran yang kami ajar di sekolah juga.
Di samping itu, murid-murid turut mendapat pendedahan kepada bidang kewartawanan dan penyiaran berita.
"Saya rasa dengan kolaborasi seperti ini, kita juga dapat mendedahkan kepada para pelajar tentang bidang kewartawanan yang jarang diketengahkan kepada murid-murid peringkat Sekolah Rendah. 'Apakah cabaran yang dihadapi oleh penyampai berita?' Jadi ini adalah perkara-perkara yang mereka tidak dapat raih jika mereka tidak mengambil bahagian dalam cabaran ini," kata Cik Aryanti.
LAWATAN SAMBIL BELAJAR DI KAMPUS MEDIACORP
Bagi tujuan itu, para peserta serta guru mereka berpeluang melawat Kampus Mediacorp pada Sabtu (27 Jan).
Dengan disokong penyampai mentor Juara Baca BERITA Junior Muhammad Izwan Ohtman, Nursha Ismail dan Rosli A Razak, murid-murid berpeluang mendapat tunjuk ajar penyampaian BERITA yang baik dengan menggunakan alat 'Autocue'.
Mereka juga dibawa melawat bilik BERITA serta kemudahan bagi operasi penerbitan BERITA di semua platform TV, digital dan radio.
Ia termasuk akses eksklusif ke studio dan panel penerbitan BERITA Mediacorp.

Guru Peneraju Bahasa Melayu, Sekolah Rendah Jingshan, Safidah Samsudin yang ditemui di akhir sesi itu berkata penyertaan muridnya dapat memberi motivasi dan memperkasa kebolehan membaca bahasa Melayu yang digunakan sehari-hari di sekolah.
"Program ini banyak memberi peluang, pendedahan kepada murid-murid untuk melihat sendiri bagaimana cara berita disampaikan. Ini boleh diaplikasikan dengan pengarang lisan di sekolah di mana murid juga diperlukan untuk membaca.
"Mereka belajar tentang teknik menyampaikan sesuatu berita itu dengan intonasi, sebutan dan penyampaian yang baik. Jadi saya rasa sangat dekat dengan hati pelajar sebab mereka menggunakan bahasa ini sehari-hari di sekolah dalam mata pelajaran bahasa Melayu," kata Cikgu Safidah.
Juara Baca BERITA Junior berlangsung di The POD@NLB pada Sabtu, 24 Februari 2024.
10 SEKOLAH JUARA BACA BERITA JUNIOR
Sekolah Rendah Alexandra
Sekolah Rendah Blangah Rise
Sekolah Rendah Cantonment
Sekolah Rendah Gan Eng Seng
Sekolah Rendah Jingshan
Sekolah Kuo Chuan Presbyterian
Sekolah Rendah Radin Mas
Sekolah Perempuan Raffles
Sekolah Rendah Teck Ghee
Sekolah Rendah Zhangde
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.