Juara Baca BERITA Junior 2025 jelajah ke zon Punggol pula, perkenalkan elemen baharu
Dalam 'Juara Baca BERITA Junior 2025', setiap sekolah akan diwakili dua peserta.
Tidak seperti tahun lalu, kedua-dua peserta itu akan diuji kebolehan untuk menyampaikan berita pada hari pertandingan itu yang akan berlangsung pada 22 Februari 2025.
Markah yang diraih setiap peserta daripada sekolah yang sama akan digabungkan dan dipuratakan dalam penilaian juri.
Sekolah yang meraih markah purata yang tertinggi akan dinamakan sebagai juara Baca BERITA Junior 2025.
Secara individu pula, panel juri akan memilih peserta untuk dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penyampai Terbaik.
Bagi edisi kedua peraduan ini, sembilan sekolah rendah dari zon Punggol bakal beradu kebolehan dan menonjolkan bakat mereka dalam menyampaikan berita.
Sekolah-sekolah yang bertanding:
1. Sekolah Rendah Edgefield
2. Sekolah Rendah Greendale
3. Sekolah Rendah Horizon
4. Sekolah Mee Toh
5. Sekolah Rendah Punggol Cove
6. Sekolah Rendah Punggol Green
7. Sekolah Rendah Punggol View
8. Sekolah Rendah Valour
9. Sekolah Rendah Waterway
Tahun lalu, BERITA Mediacorp bekerjasama dengan sekolah-sekolah rendah dalam kelompok Selatan.

Sebagai persiapan untuk hari pertandingan, para pelajar dan guru-guru diundang ke Kampus Mediacorp bagi sebuah sesi Kembara Ilmu pada Sabtu (1 Feb).
Para pelajar dapat mengikuti taklimat dan perkongsian oleh Ketua Editor Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Sujadi Siswo, Editor Penyelia, Surita Salim serta para penyampai BERITA Mediacorp, Izwan Ohtman dan Nursha Ismail.
"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan sekolah-sekolah di zon Punggol kerana dapat sama-sama berkongsi ilmu dengan para pelajar. Selain daripada teknik-teknik penyampaian berita, kami juga berkongsi dengan para pelajar tentang cara-cara bagaimana untuk mengenal pasti berita yang sahih dan juga berkongsi dengan mereka dan menimbulkan minat dalam diri mereka untuk menjadi seorang penyampai ataupun penutur bahasa Melayu yang lebih cekap dan efektif lagi," kongsi Editor Kanan dan Penyampai, Izwan Ohtman.
"Pada tahun depan atau tahun-tahun akan datang, kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak sekolah lagi agar lebih ramai pelajar dapat meraih manfaat ini bersama-sama," tambah beliau.
Dalam sesi Kembara Ilmu itu, murid-murid dan para guru dibawa melawat bilik BERITA serta kemudahan bagi operasi penerbitan BERITA untuk semua platform TV, digital dan radio.
Ini termasuk akses eksklusif ke studio dan panel penerbitan BERITA Mediacorp.
Selain itu, para pelajar juga mendapat tunjuk ajar cara-cara menggunakan alat 'Autocue'.
"Saya belajar bagaimana untuk menyampai berita dan berbual di hadapan kamera. Saya seronok kerana saya suka bahasa Melayu dan saya hendak tahu bagaimana untuk menjadi seorang penyampai berita," kata murid Sekolah Rendah Valour, Izz Furqan Muhd Firdaus.
Seorang lagi pelajar yang teruja dengan peluang itu adalah Pelajar Sekolah Rendah Punggol Cove, Ariana Erisya Mohamad Haironie.
"Saya telah mempelajari tip-tip untuk membaca dengan yakin dan bertenang. Selain itu, saya juga dapat merasa bagaimana wartawan bekerja di Mediacorp. Saya berasa seronok kerana saya dapat informasi yang akan membantu saya dalam sekolah dan kehidupan saya," kata Ariana.

BANGUNKAN KEMAHIRAN PERTUTURAN EFEKTIF
Di samping dapat mengasah kemahiran murid bagi ujian lisan mereka, kemahiran dan pengetahuan baharu yang dapat diraih para pelajar menerusi usaha sebegini juga dialu-alukan pihak sekolah.
Bagi Sekolah Rendah Punggol View misalnya, ini sejajar dengan objektif Program Pembelajaran Gunaan (ALP) di sekolah tersebut iaitu membantu pelajar menjadi penutur yang berkesan dan peka dengan keadaan sekeliling.
"Kami fikir ini selari dengan dengan apa yang kami mahukan daripada pelajar-pelajar kami.
"Dalam zon Punggol, kami bekerjasama dengan sekolah-sekolah lain dan kami semua bersetuju bahawa program ini akan membantu pelajar-pelajar kami untuk lebih efektif dan cekap untuk menggunakan bahasa Melayu, baik di sekolah ataupun di rumah," kata guru Sekolah Rendah Punggol View, Mohd Hizammuddin Mohd Yusof.
Antara manfaat lain yang dikongsi Encik Hizammuddin adalah peraduan itu dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu mereka dan sekaligus dapat berkongsi ilmu yang diraih bersama rakan-rakan mereka.
"Saya fikir mereka akan lebih menggunakan bahasa Melayu bukan sahaja dalam sebutan baku atau bahasa baku dalam kehidupan mereka, mereka juga boleh berkongsi dengan kawan kawan dan lebih cekap menggunakan bahasa Melayu," kongsi Encik Hizammuddin.
Kesemua 18 murid akan beradu kebolehan mereka dalam Juara Baca BERITA Junior 2025 yang akan berlangsung pada 22 Februari ini di Auditorium Perpustakaan Daerah Woodlands.
Mereka akan diadili berdasarkan sebutan, intonasi, kelancaran, gaya serta penampilan.
Panel juri Juara Baca BERITA Junior terdiri daripada individu berpengalaman dalam bidang pendidikan dan kewartawanan.
Edisi kedua peraduan itu dianjurkan bersama Sekolah Rendah Punggol View dan disokong oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.