Jualan suram hujung minggu pertama GSS, namun peniaga kekal positif
Hujung minggu pertama Jualan Raksasa Singapura (GSS) tahun ini menyaksikan suasana suram di tengah-tengah pandemik COVID-19.
SINGAPURA: Hujung minggu pertama Jualan Raksasa Singapura (GSS) tahun ini menyaksikan suasana suram di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Meski sudah dijangkakan, namun ada perniagaan yang mengalami kemerosotan jualan sehingga 80 peratus berbanding tahun lalu.
BERITAmediacorp menemui dua peniaga yang tetap bersikap positif GSS membuka ruang mengetengahkan jenama walau diasak ekonomi mencabar tahun ini.
SAKSIKAN PENURUNAN SEHINGGA 80% BERBANDING TAHUN LALU
Jika musim Jualan Raksasa Singapura (GSS) disambut meriah pada tahun-tahun lalu, suasananya suram tahun ini akibat pandemik COVID-19.
Ini diakui sendiri oleh usahawan Fatimah Mohsin yang perniagaan dekorasi rumahnya PropUp Store, menyertai GSS buat kali kedua.
Dek pandemik COVID-19, GSS yang membuka tirainya pada Rabu (9 Sep) diadakan secara online.
"Tahun lalu lebih gah kerana kita ada 'pop-up' di Orchard Road dan Baghdad Street, jadi tahun ini macam sunyi sedikit.

"Tahun ini, ada penurunan 70 hingga 80 peratus. Kami melihat pengguna melihat-lihat laman kami dan ramai yang jalan-jalan tapi belum nampak hasil yang besar," dedah Cik Fatimah.
TUKAR STRATEGI, LABUR MASA ONLINE
Cik Fatimah dan pasukannya malah terpaksa menukar strategi bagi GSS online ini dengan melabur lebih banyak masa di media sosial bagi terus menarik perhatian pelanggan, tanpa mereka perlu ke kedai.
Memanfaatkan teknologi serta ruang kedainya sebagai bilik pameran online, beliau mempromosi barangannya melalui segmen demonstrasi.

Beliau juga melakukan jualan khas hujung minggu sehingga potongan harga 50 peratus serta jualan murah "flash sale" bagi terus memikat pelanggan melihat promosi yang ada di lamannya.
"Kenapa saya percaya untuk sertai eGSS walaupun platform kita ada klien, GSS ini membuka ruang untuk kita ketengahkan jenama, berbanding hanya pasaran Melayu.
"Saya rasa perniagaan akan meningkat insya-Allah, saya masih mahu kekal positif."
KERJASAMA MELALUI FAB MARKET
Berbekalkan semangat ingin membantu perniagaan kecil lain sempena eGSS ini, Cik Fatimah juga melancarkan Fab Market by FM, yang menggabungkan lima perniagaan lain - Alburraq Abayas, Modest Squad, Tynaa, Lilin dan Oud Luxury Collection.
Kerjasama musiman itu sudah mula membuahkan hasil, dengan pemilik Oud Luxury Collection, Encik Muhammad Fahad Azeem menyaksikan peningkatan dari segi kesedaran pembeli mengenai jenamanya, yang diimport dari Dubai.

Encik Fahad, yang juga satu-satunya pengedar Oud Luxury Collection di Asia Tenggara, berkata: "Lebih banyak pertanyaan sekarang, lebih banyak melalui Instagram dan laman kami. Sebelum ini ada tujuh hingga lapan, sekarang lebih 10 pertanyaan. Jadi naik seganda.
Di bawah peraturan COVID-19, beliau mengehadkan sehingga 12 temu janji sahaja di kedai setiap hari.
Bagi terus menarik pelanggan, perniagaan yang baru berusia lima bulan ini menawarkan hadiah-hadiah percuma dan pilihan koleksi yang lebih pelbagai.

(Gambar-gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)
"Disebabkan COVID-19, kita tidak akan mendapatkan barangannya tepat pada masanya, tetapi insya-Allah semuanya akan siap menjelang Oktober nanti," jelas beliau.
JUALAN BERMULA LEMBAB, MENINGKAT 44% PADA HUJUNG MINGGU PERTAMA
Modest Squad, yang turut berkolaborasi di bawah Fab Market by FM berkongsi sentimen serupa sempena eGSS ini.
Perniagaan online tersebut mengalami jualan agak perlahan pada tiga hari pertama sebelum meningkat sedikit pada hujung minggu ini.
"Perniagaan agak perlahan beberapa hari lalu tetapi Alhamdulillah respons hari ini baik.
"Juga kerana kami melancarkan dua koleksi baru di Instagram kami. Jualan meningkat sebanyak 44 peratus hujung minggu ini berbanding tiga hari pertama," ujar pemilik Modest Squad, Cik Nadya.
eGSS berlangsung hingga 10 Oktober ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.