Jualan runcit S'pura melonjak 12.1% pada Apr; dipacu oleh sektor pelancongan
SINGAPURA: Penjualan runcit Singapura meningkat 12.1 peratus pada April berbanding tempoh yang sama setahun lalu, mengekalkan rmomentum bulan Mac, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 8.8 peratus.
Peningkatan itu sebahagiannya dipacu oleh pertumbuhan lebih besar yang dicatatkan oleh industri-industri seperti pakaian dan kasut, makanan dan minuman keras serta kedai serbaneka, menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Singapura (SingStat) pada Jumaat (3 Jun).
Tidak termasuk kenderaan bermotor, penjualan runcit melonjak 17.4 peratus pada April, berbanding kenaikan 13.6 peratus yang disesuaikan pada Mac.
Keseluruhan nilai penjualan runcit dianggarkan mencecah S$3.7 bilion, dengan penjualan runcit online membentuk sekitar 12.5 peratus.
Ini lebih rendah berbanding 14.8 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, yang menyaksikan lebih banyak acara promosi online, menurut SingStat.
Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, penjualan runcit meningkat 1.2 peratus. Penjualan juga meningkat 1.7 peratus berbanding Mac apabila kenderaan bermotor dikecualikan.
RANGSANGAN PELANCONGAN
Sebahagian besar industri dalam sektor perdagangan runcit menyaksikan penjualan meningkat pada April berbanding setahun lalu.
"Industri pakaian dan kasut mencatatkan peningkatan 46.6 peratus berbanding setahun lalu disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi untuk beg dan kasut, yang sebahagiannya didorong oleh perbelanjaan para pelancong yang lebih tinggi dengan pelonggaran sekatan sempadan," menurut SingStat.
"Begitu juga bagi penjualan makanan dan minuman keras, kedai serbaneka dan jam tangan serta barang kemas yang meningkat antara 28.4 peratus dengan 35.6 peratus."
Penjualan kenderaan bermotor, bagaimanapun, merosot sebanyak 16.4 peratus, manakala penjualan industri pasar raya kecil dan kedai serbaneka jatuh sebanyak 5.5 peratus.
Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, separuh daripada industri-industri Singapura mencatatkan pertumbuhan pada penjualan masing-masing pada April.
Peningkatan terbesar adalah bagi pakaian dan kasut dengan 17.4 peratus, manakala makanan dan minuman keras sebanyak 14.2 peratus dan kedai serbaneka dengan 13.2 peratus.
Kemerosotan paling ketara adalah bagi kosmetik, kelengkapan dandanan diri dan barangan perubatan yang merosot 7.5 peratus dan pasar raya dan pasar raya gergasi menjunam sebanyak 6.3 peratus.
PENJUALAN KHIDMAT F&B NAIK
Penjualan khidmat makanan dan minuman (F&B) meningkat 11.4 peratus pada April, sekali gus melanjutkan peningkatan 4.6 peratus yang dicatatkan pada Mac berbanding tempoh yang sama setahun lalu.
"Pertumbuhan dua angka pada prestasi penjualan dirangsang oleh pelonggaran sekatan yang membenarkan lebih ramai orang duduk makan bersama di restoran-restoran pada April 2022 berbanding April 2021," menurut SingStat.
Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, penjualan runcit F&B meningkat 5.2 peratus pada April.
Keseluruhan nilai penjualan khidmat F&B pada April dianggarkan S$815 juta, dengan penjualan online dianggarkan menyumbang 27 peratus.
"Dalam sektor khidmat makanan dan minuman, semua industri mencatatkan pertumbuhan pada penjualan masing-masing pada April 2022 berbanding setahun lalu," menurut SingStat.
Pendapatan syarikat-syarikat katering meningkat 77.7 peratus berbanding setahun lalu yang sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi untuk khidmat katering dalam pesawat setelah sempadan antarabangsa dibuka semula.
Sementara itu, pendapatan restoran-restoran di sini meningkat 17.2 peratus, manakala kafe, kedai kopi dan tempat makan lain menyaksikan penjualan masing-masing meningkat 3.3 peratus.
Cawangan makanan segera turut menyaksikan peningkatan 3.3 peratus berbanding setahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.