Skip to main content

Singapura

Jualan runcit S'pura jatuh 3.4% pada Feb

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan runcit S'pura jatuh 3.4% pada Feb

Orang ramai di Orchard Road pada 5 Januari 2022. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 05 Apr 2022 04:49PM

SINGAPURA: Penjualan runcit Singapura jatuh 3.4 peratus pada Februari berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Ini sekali gus menamatkan pertumbuhan selama lima bulan berturut-turut.

Ini berbanding peningkatan 12 peratus yang dicatatkan pada bulan Januari.

Sebahagiannya disebabkan oleh penjualan yang lebih rendah pada Februari berbanding tempoh yang sama setahun lalu, di mana telah dirangsang oleh perbelanjaan menjelang Tahun Baru Cina. 

Demikian menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Singapura (SingStat) pada Selasa (4 April). 

Sebahagian besar perbelanjaan sebelum Tahun Baru Cina dilakukan pada Januari tahun ini, menurut agensi tersebut. 

"Jika dibandingkan prestasi bagi tempoh dua bulan (antara Januari hingga Februari), penjualan runcit naik 4.9 peratus pada 2022 berbanding 2021," tambah SingStat. 

Tidak termasuk kenderaan bermotor, penjualan susut 1.8 peratus berbanding pertumbuhan 16.1 peratus yang dicatatkan pada Januari. 

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, penjualan runcit jatuh 1.2 peratus berbanding kemerosotan 2.2 peratus yang lebih besar pada Januari. Penjualan juga turun sebanyak 1.0 peratus jika kenderaan bermotor kenderaan bermotor dikecualikan. 

PENURUNAN PENJUALAN BAGI KEBANYAKAN INDUSTRI RUNCIT

Sebahagian besar industri dalam sektor perdagangan runcit mengalami kemerosotan pada Februari berbanding tempoh yang sama setahun lalu. 

Penjualan makanan, minuman keras, pasar raya kecil serta kedai runcit dan kenderaan bermotor merosot antara 14.1 hingga 16.5 peratus. 

Industri pasar raya besar dan pasar raya gergasi serta barangan optik dan buku masing-masing jatuh 10.8 dan 8.4 peratus. 

Sebaliknya, penjualan kosmetik, peralatan mandian dan barangan perubatan naik 21.0 peratus sepanjang tempoh tersebut, dengan sebahagian besarnya dirangsang oleh permintaan produk perubatan dan farmaseutikal yang lebih tinggi, menurut SingStat. 

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, penjualan bagi kebanyakan industri menguncup pada Februari. 

Industri-industri seperti kedai serbaneka, barangan optik dan buku, serta komputer dan peralatan komunikasi menyaksikan penjualan masing-masing merosot antara 7.2 hingga 11.5 peratus. 

Penjualan kosmetik, peralatan mandian dan barangan perubatan naik 17.6 peratus sepanjang tempoh tersebut. 

PENJUALAN F&B MEROSOT 

Penjualan khidmat makanan dan minuman (F&B) turun 0.6 peratus pada Febrari berbanding setahun lalu. 

Ini berbanding pertumbuhan 9.3 peratus yang dicatatkan pada Januari lalu. Ini sebahagiannya disebabkan oleh penjualan yang lebih tinggi pada Februari tahun lalu, dirangsang oleh musim perayaan Tahun Baru Cina, menurut SingStat. 

Pendapatan restoran jatuh 5.7 peratus pada Februari berbanding setahun lalu. 

Syarikat-syarikat khidmat katering menyaksikan peningkatan 26.3 peratus disebabkan oleh asas perbandingan yang rendah pada 2021 di mana permintaan bagi khidmat sedemikian adalah rendah. 

Penjualan kafe, pusat makanan dan tempat makan yang lain serta cawangan makanan segera masing-masing menyaksikan peningkatan sebanyak 1.4 dan 0.9 peratus. 

Penjualan duduk makan di restoran pula menguncup 13.4 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu. 

Nasib yang sama juga menimpa syarikat-syarikat katering, kafe, pusat makanan dan tempat-tempat makan yang lain. 

Sebaliknya, penjualan cawangan makanan segera naik 1.4 peratus berbanding Januari. 

Nilai penjualan keseluruhan bagi khidmat F&B pada Februari tahun ini dianggarkan bernilai S$734 juta, dengan penjualan online membentuk sekitar 30.7 peratus, naik sedikit berbanding 29.0 peratus yang dicatatkan pada Januari 2022. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita