Skip to main content

Singapura

Jualan runcit S'pura catat kemerosotan paling besar dalam 22 tahun

Penjualan runcit Singapura pada Mac merosot pada kadar paling pantas dalam tempoh 22 tahun sedang penggunaan bagi hampir semua kategori menjunam akibat COVID-19. Namun begitu, beberapa sektor tidak terjejas, terutamanya pasar raya dan pasar raya besar.

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan runcit S'pura catat kemerosotan paling besar dalam 22 tahun

Pelanggan kelihatan memakai pelitup di sebuah pasar raya di Singapura (Gamber: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 05 May 2020 09:17PM Dikemas Kini : 05 May 2020 09:29PM

SINGAPURA: Penjualan runcit Singapura pada Mac merosot pada kadar paling pantas dalam tempoh 22 tahun sedang penggunaan bagi hampir semua kategori menjunam akibat COVID-19. Namun begitu, beberapa sektor tidak terjejas, terutamanya pasar raya dan pasar raya besar.

Jualan runcit jatuh 13.3 peratus berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, menurut data Jabatan Statistik (SingStat) pada Selasa (5 Mei). Ini adalah penurunan terbesar sejak September 1998, menurut Reuters.

Menurut perangkaan SingStat kemerosotan perdagangan runcit didorong oleh penggunaan tempatan yang lebih lemah dan jumlah pelancong yang berkurangan ekoran penularan COVID-19.

Para penganalisis menjangkakan penjualan runcit akan merosot lagi di masa akan datang sedang kesan langkah "pemutus rantaian jangkitan" dirasakan.

KEMEROSOTAN RUNCIT DIRAMAL BERLANJUTAN

Jualan runcit "mungkin belum mencapai tahap terendah memandangkan ia adalah tempoh sebelum "pemutus rantaian jangkitan", kata Cik Selena Ling, ketua penyelidikan dan strategi perbendaharaan di OCBC Bank.

Singapura memulakan tempoh pemutus rantaian jangkitan pada 7 April.

Cik Ling menambah, beliau menjangkakan penggunaan akan pulih menjelang hujung tahun ini, dengan penjualan runcit mencecah pertumbuhan positif pada suku keempat pada 1.8 peratus.

Meskipun begitu, penjualan runcit masih boleh menguncup sebanyak 6.6 peratus bagi keseluruhan tahun, menjadikannya tahun penjualan paling teruk sejak Krisis Kewangan Global pada 2009, katanya.

Pakar ekonomi di UOB, Barnabas Gan menarik perhatian bahawa penjualan runcit sudah pun merosot sebelum Singapura melaksanakan langkah pemutus rantaian jangkitan untuk membendung penularan COVID-19.

Jualan runcit pada Mac mencatat penguncupan 14 bulan berturut-turut, katanya, sambil menambah bahawa beliau menjangkakan penjualan runcit sepanjang tahun akan susut 5 peratus, dengan risiko kemerosotan lanjut.

JUALAN PAKAIAN, KASUT CATAT KEMEROSOTAN TERBESAR

Penjualan pakaian dan kasut mencatatkan kadar kemerosotan paling besar iaitu 41.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, diikuti oleh makanan dan alkohol. Gedung serbaneka juga terjejas teruk.

Berbanding Februari, penjualan makanan dan alkohol serta kenderaan bermotor masing-masing merosot 21.6 peratus dan 16.4 peratus.

Penjualan barangan optik dan buku-buku turut merosot 12.3 peratus, terutamanya ekoran permintaan buku yang lebih rendah, menurut SingStat.

Tidak termasuk kenderaan bermotor, penjualan runcit turun 9.7 peratus.

PASAR RAYA LAWAN ARUS

Dengan lebih ramai orang duduk di rumah ekoran langkah-langkah jarak selamat, pasar raya, pasar raya besar dan kedai runcit meraih manfaat daripada permintaan barangan dapur yang lebih tinggi.

Pasar raya dan pasar raya besar menyaksikan penjualan yang lebih tinggi sebanyak 35.9 peratus pada Mac berbanding tempoh sama tahun lalu, sementara pasar raya dan kedai runcit mengalami kenaikan sebanyak 4.7 peratus.

Trend ketara bekerja dari rumah membawa berita baik bagi penjual perabot serta peralatan komputer dan telekomunikasi. Kategori ini mencatat pertumbuhan antara 9.3 peratus dengan 13.1 peratus berbanding Februari.

Secara keseluruhannya, anggaran nilai jualan runcit pada Mac adalah sekitar S$3.3 bilion. Dari jumlah tersebut, penjualan runcit online membentuk sekitar 8.5 peratus.

SEKTOR MAKANAN CATAT KEMEROSOTAN

Langkah-langkah jarak selamat juga menjejas perkhidmatan makanan dan minuman (F&B). Berbanding tempoh yang sama tahun lalu, penjualan merosot 23.7 peratus pada Mac.

Berdasarkan penyesuaian musiman, penjualan makanan dan minuman merosot 9.6 peratus pada Mac berbanding Februari.

Nilai penjualan perkhidmatan makanan dan minuman secara keseluruhan pada Mac dianggarkan berjumlah S$678 juta. Daripada jumlah tersebut, penjualan makanan dan minuman online membentuk 15.6 peratus.

Kadar pusing ganti khidmat katering makanan dan restoran masing-masing jatuh 58.1 peratus dan 30.3 peratus pada Mac berbanding tahun sebelumnya.

Penjualan di kafe, pusat makanan dan tempat makan lain, serta cawangan makanan segera masing-masing merosot 14.5 peratus dan 2.2 peratus dari tahun ke tahun. Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, cawangan dan restoran ini mencatatkan penjualan yang lebih rendah antara 1.3 peratus dengan 9.4 peratus pada tempoh ini.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita