Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jualan rumah privet naik hampir 71% pada Julai, dipacu AMO Residence

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan rumah privet naik hampir 71% pada Julai, dipacu AMO Residence

AMO Residence (Gambar: UOL Group)

SINGAPURA: Jualan rumah privet baru di Singapura naik hampir 71 peratus pada Julai berbanding bulan sebelumnya kerana para pembeli sudah kembali ke pasaran hartanah selepas cuti bulan Jun.

Para pemaju hartanah menjual 834 unit bulan lalu - tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) - naik daripada 488 unit pada Jun, menurut laporan yang dikeluarkan pada Isnin (15 Ogos) oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Dari tahun ke tahun jualan rumah baru merosot hampir 48 peratus daripada 1,602 unit yang dijual pada Julai tahun lalu.

Penjualan didorong oleh AMO Residence di Ang Mo Kio, satu-satunya projek baru yang dilancarkan pada Julai dan pembangunan kondominium di kawasan pinggir bandar yang terbesar tahun ini.

"Hasil jualan yang baik di AMO Residence boleh dikaitkan dengan kurangnya bekalan rumah baru di kawasan pinggir bandar. Belum ada pelancaran kondominium bersaiz sederhana selama hampir setahun," kata Naib Presiden Kanan Penyelidikan dan Analitik di OrangeTee & Tie, Christine Sun.

Sekitar 98 peratus unit di AMO Residence dijual pada hari pertama pelancaran kondominium itu.

Disebabkan penjualan yang kukuh di projek Ang Mo Kio, Cik Sun berkata sebahagian besar jualan rumah bulan lalu di Luar Kawasan Daerah Utama (OCR) pada 58.2 peratus ataupun 485 unit.

Ia disusuli oleh Kawasan Daerah Utama (CCR) pada 22.2 peratus ataupun 185 unit dan selebihnya di Baki Kawasan Daerah Utama (RCR) pada 19.7 peratus atau 164 unit yang dijual.

Prestasi yang baik di AMO Residence akan menyokong sentimen dalam pasaran hartanah untuk sepanjang tahun ini, kata Cik Tricia Song, ketua penyelidikan CBRE, Asia Tenggara.

Beliau menarik perhatian mengenai pelancaran baru seperti Lentor Modern milik GuocoLand di Lentor Central (605 unit) dan Sky Eden @ Bedok milik Frasers Property di Bedok Central (158 unit).

Cik Song berkata projek-projek itu akan menarik minat para pembeli yang ingin menaik taraf rumah mereka ataupun pembeli rumah kali pertama yang sebahagian besarnya tidak terjejas oleh pusingan langkah penyejukan baru-baru ini.

"Pasaran kini tidak sabar untuk lebih banyak pelancaran baru," tambah Pengarah Kanan Penyelidikan Huttons Asia Lee Sze Teck.

Beliau turut mengatakan bahawa jumlah unit yang dijual lebih tinggi berbanding bilangan unit yang dilancarkan sejak Februari 2021.

Sedang pasaran hartanah terus berdepan cabaran dek kadar inflasi global dan kadar faedah yang semakin meningkat serta gangguan rantaian bekalan, kenaikan kadar faedah tidak memberikan kesan yang ketara terhadap sentimen pembelian rumah baru, kata Cik Sun.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan