Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jualan rumah privet baru pada Nov jatuh ke paras terendah dalam 8 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru pada November merosot sekitar 17.3 peratus berbanding bulan sebelumnya, di tengah-tengah kekurangan pelancaran projek baru dan percutian hujung tahun.

Tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), syarikat-syarikat pemaju projek hanya berhasil menjual 259 unit pada bulan lalu berbanding 313 unit yang dijual pada Oktober.

Demikian menurut perangkaan yang dikeluarkan pada Khamis (15 Dis) oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Ia merupakan penjualan rumah privet yang terendah sejak Disember 2014, ketika 230 unit kecuali EC dijual, menurut Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analisis OrangeTee & Tie.

"Permintaan bagi rumah baru agak hambar pada bulan lalu di tengah-tengah musim percutian hujung tahun. Kegiatan penjualan lazimnya lebih perlahan semasa hujung tahun dan syarikat-syarikat pemaju projek biasanya akan menangguhkan pelancaran projek-projek utama," jelas Cik Sun.

Beliau menambah: "Sesetengah pembeli juga menangguhkan pembelian mereka dengan harapan terdapat pelancaran projek lebih baru bagi tahun depan, yang terdapat lagi banyak pilihan perumahan."

Selain percutian hujung tahun dan kurangnya pelancaran projek-projek baru, langkah-langkah kawalan pasaran yang dilaksanakan sebanyak dua kali turut menjejas penjualan rumah privet yang baru, jelas penganalisis kanan One Global Group, Mohan Sandrasegeran.

Pemerintah memperkenalkan satu siri langkah bagi meredakan pasaran hartanah pada 30 September lalu, yang antaranya termasuk tempoh menunggu selama 15 bulan bagi pemilik hartanah privet yang ingin membeli sebuah flat HDB.
Langkah-langkah tersebut diperkenalkan kurang setahun selepas satu siri langkah seumpamanya dikuatkuasakan pada Disember tahun lalu.

KAWASAN UTAMA BANDAR (CCR) PALING POPULAR

Daripada 259 unit yang dijual pada November, sebahagian besar - 148 unit - adalah dari Kawasan Daerah Utama (CCR). Secara keseluruhannya sebanyak 73 unit di pinggir kawasan tersebut (RCR) dijual, manakala unit di luar kawasan berkenaan menyaksikan penjualan sebanyak 38 unit.

Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan penyelidikan di Huttons Asia menarik perhatian bahawa bilangan penduduk asing yang membeli rumah di Singapura melonjak kepada 19.7 peratus pada November.

Tambah beliau, sebahagian besar daripada lima projek utama dengan penjualan kepada warga asing pada bulan lalu adalah di CCR.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan