Skip to main content

Singapura

Jualan rumah privet baru naik lebih seganda pada Jan 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan rumah privet baru naik lebih seganda pada Jan 2023

(Gambar fail: Jeremy Long/CNA)

SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru di Singapura meningkat lebih seganda pada bulan pertama 2023 di tengah-tengah pelancaran projek baru dan selepas para pembeli dari tanah besar China kembali memasuki pasaran hartanah negara ini.

Kecuali kondominium eksekutif (EC), para pemaju hartanah menjual 391 unit pada Januari, naik daripada 170 pada bulan sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Selasa (15 Feb).

Jumlah unit yang dilancarkan untuk dijual melonjak daripada 45 pada Disember 2022 kepada 410.

“Penjualan agak sihat, memandangkan kebanyakan flat pameran ditutup sewaktu cuti Tahun Baru Cina,” kata Cik Christine Sun, Naib Presiden Kanan Penyelidikan dan Analisis OrangeTee & Tie.

Satu-satunya projek baru yang dilancarkan pada Januari, Sceneca Residence, berhasil menjual sebanyak 157 unit, atau 40.2 peratus daripada keseluruhan penjualan bulan ini.  

Ia merupakan pelancaran besar-besaran hartanah privet tidak berhalaman yang pertama sejak Pemerintah memperkenalkan langkah-langkah bagi meredakan pasaran hartanah pada September 2022.

“Penjualan yang baik menunjukkan permintaan terpendam bagi unit-unit perumahan, khususnya di kawasan pinggir bandar di mana bekalan masih berkurangan. Ia dicapai meskipun terdapat kadar faedah yang tinggi dan langkah-langkah meredakan pasaran yang dikuatkuasakan pada September 2022,” kata Cik Sun.

Sekalipun tanpa pelancaran Sceneca Residence, lebih banyak unit dijual pada Januari berbanding Disember 2022, yang “membuktikan bahawa penjualan rendah pada Disember adalah kegenjotan sementara saja”, kata Encik Lee Sze Teck, Pengarah Kanan Penyelidikan Huttons Asia.

“Berbanding tahun lalu, penjualan 42.8 peratus lebih rendah.”

Pemerintah memperkenalkan beberapa langkah bagi meredakan pasaran hartanah pada 30 September 2022, menyusuli beberapa langkah lain yang dikuatkuasakan pada Disember 2021.

RAMALAN BAGI 2023

Penjualan rumah privet akan bertambah rancak disebabkan oleh beberapa projek yang dilancarkan selepas Tahun Baru Cina pada suku pertama 2023, kata Cik Chia Siew Chuin, Ketua Penyelidikan Kediaman di JLL Singapore.

“Permintaan terpendam daripada para bakal pembeli yang sanggup menunggu akibat kekurangan pilihan yang ditawarkan pada 2022 dijangka akan membeli unit daripada lebih banyak pelancaran projek tahun ini.”

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita