Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jualan rumah privet baru jatuh 47.6% pada Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru di Singapura merosot 47.6 peratus pada Ogos berbanding bulan sebelumnya disebabkan kurangnya pelancaran rumah baru semasa 'Bulan Hantu' dalam kalendar Cina.

Tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), pemaju hartanah menjual 437 unit bulan lepas, turun daripada 834 unit pada Julai, menurut data Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dikeluarkan pada Khamis (15 Sep).

Kali terakhir jualan bulanan lebih rendah dicatatkan ialah pada April 2020 ketika tempoh "pemutus rantaian jangkitan" COVID-19 baru bermula apabila 277 rumah dijual.

Berdasarkan perbandingan tahunan, penjualan pada Ogos menjunam 64.1 peratus berbanding 1,216 unit yang dijual pada tempoh yang sama tahun lepas.

Tiada projek kondominium baru dilancarkan bulan lepas.

Namun, dua projek rumah berhalaman dilancarkan - The Jardine Residences (6 unit) di Lorong Chuan dan Mount Rosie Signature Collection (6 unit) berhampiran kawasan Bukit Timah.

"Perayaan bulan ketujuh mengikut kalendar Cina yang berlangsung hampir sepanjang bulan Ogos menyebabkan pemaju hartanah menangguhkan pelancaran projek baru," kata Encik Lee Sze Teck, Pengarah Kanan Penyelidikan Huttons Asia.

"Jumlah unit yang dilancarkan untuk dijual jatuh sebanyak 66.7 peratus dari bulan ke bulan iaitu 134 unit. Ia merupakan jumlah unit terendah yang dilancarkan sejak September 2017."

Kawasan Daerah Utama (CCR) mencatat penjualan rumah baru terbanyak, dengan 220 unit dijual, Ini disusuli rumah di Baki Kawasan Daerah Utama (RCR) dengan 127 unit dan Luar Kawasan Daerah Utama (OCR) dengan 90 unit.

Buat pertama kali unit di kawasan CCR melepasi 50 peratus penjualan bulanan, kata Encik Lee.

Encik Mohan Sandrasegeran, penganalisis kanan penyelidikan dan penciptaan kandungan di One Global Property Services berkata jualan di CCR yang meningkat mungkin disebabkan kurangnya pelancaran projek baru di kawasan berkenaan, "menyebabkan pembeli dan pelabur terpaksa membeli rumah privet yang terhad."

Oleh kerana kekurangan pelancaran baru pada Ogos, pembeli tertarik kepada projek lama. Antara projek yang paling laris dijual termasuk Hyll On Holland, Riviere, Perfect Ten dan The Hyde.

Penganalisis hartanah menarik perhatian bahawa lebih ramai warga asing yang membeli rumah.

Jumlah kondominium termasuk EC yang dibeli warga asing naik daripada 42 unit pada Julai kepada 59 unit pada Ogos, kata Naib Presiden Kanan Penyelidikan dan Analitik di OrangeTee & Tie, Christine Sun.

Beliau menambah bahawa bulan lalu, 64.4 peratus warga asing membeli kondominum privet di CCR (38 unit) disusuli 13 unit di RCR dan lapan unit di OCR.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan