Jualan rumah privet baru jatuh 22.5% pada Feb
SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru jatuh 22.5 peratus pada bulan lalu, menurut data daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar(URA) pada Selasa(15 Mac).
Tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), para pemaju hartanah hanya berhasil menjual 527 unit pada bulan lalu berbanding 680 unit pada Januari.
Sebahagian besar daripada jumlah tersebut adalah di baki bahagian tengah bandar (RCR), dengan 266 unit terjual, manakala 160 unit pula dijual bagi kawasan di pinggir pusat bandar (OCR) dan 101 unit di bahagian tengah bandar (CCR).
Menurut naib presiden kanan kajian dan analitik OrangeTee & Tie, Cik Christine Sun, penjualan rumah baru tidak termasuk EC merosot 18.3 peratus daripada 645 unit yang berjaya dijual pada Februari jika dibandingkan dengan tempoh yang sama setahun lalu.
Para pemaju hartanah sudah melancarkan 194 unit untuk dijual pada bulan Februari, naik sedikit berbanding 178 unit yang dilancarkan pada bulan Januari.
Daripada jumlah tersebut, 167 unit dilancarkan di kawasan RCR manakala selebihnya di kawasan CCR.
Menurut Cik Sun lagi, mungkin terdapat kebangkitan semula pada permintaan bagi pembelian rumah privet yang biasanya dijadikan sebagai pelaburan yang diharap akan mengekalkan atau meningkatkan nilainya apabila berlaku sebarang pergolakan pasaran sedang "ketegangan peperangan terus memuncak".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.