Skip to main content

Singapura

Jualan rumah privet baharu pada Sept merosot ke paras terendah sejak Dis 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan rumah privet baharu pada Sept merosot ke paras terendah sejak Dis 2022

Kondominium di kawasan Marina, Keppel Bay, di pusat bandar. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Penjualan bulanan rumah privet baharu di Singapura merosot ke paras terendah sejak Disember 2022.

Demikian menurut data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (16 Okt).

Tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), 217 unit yang dijual bulan lalu mencatat kemerosotan 44.9 peratus berbanding 394 unit yang dijual pada Ogos.

Jumlah itu tersebut juga 78 peratus lebih rendah berbanding jumlah 987 unit yang dijual pada bulan yang sama tahun lalu.

Kali terakhir penjualan lebih rendah dicatat pada Disember tahun lalu, apabila 170 unit dijual.

Para penganalisis berkata bahawa kemerosotan penjualan untuk dua bulan berturut-turut berpunca daripada ketiadaan pelancaran utama bagi tempoh tersebut.

Sebanyak 68 unit secara keseluruhannya dilancarkan pada September, iaitu kemerosotan daripada 590 unit pada Ogos dan 2,156 unit pada Julai.

Naib presiden kanan penyelidikan & analitik di OrangeTee & Tie, Christine Sun menambah bahawa pasaran perumahan tersebut biasanya tidak begitu rancak semasa bulan ketujuh perayaan kuih bulan atau 'Hungry Ghost' mengikut kalendar Cina, yang berakhir pada pertengahan September.

KONDO EKSEKUTIF MASIH DAPAT PERMINTAAN

Para penganalisis bagaimanapun sedia maklum bahawa permintaan EC kekal kukuh, dengan pengarah kanan Huttons Asia Lee Sze Teck menyifatkannya sebagai alternatif terbaik seterusnya kepada rumah privet, bagi para pembeli yang peka dengan harga.

Encik Lee juga menyatakan para pembeli EC diberi pelepasan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD).

Sebanyak 100 unit dijual pada September di Altura, iaitu satu-satunya projek EC pada 2023, sekali gus membawa jualan keseluruhan kepada 316 daripada 390 atau kadar pengambilannya sebanyak 88 peratus.

PEMBELI "BERHATI-HATI"?

Merujuk kepada pelancaran besar dalam beberapa bulan akan datang - termasuk Watten House di daerah lokasi utama dan Hillock Green dan J'den di pinggir bandar - Cik Sun berkata beliau menjangkakan "keinginan pembelian yang lebih kukuh" bagi sekurang-kurangnya projek di pinggir bandar itu, disebabkan lokasinya di Daerah Tasik Jurong, antara lain.

Beliau menganggarkan bahawa tidak termasuk EC, kira-kira 6,300 hingga 6,800 rumah baharu boleh dijual pada 2023, dengan harga baharu berpotensi meningkat sekitar satu hingga tiga peratus sepanjang tahun.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita