Skip to main content

Singapura

Jualan krim Medicube yang tidak terjejas boleh disambung semula: HSA

Penjualan kelompok Medicube PDRN Pink Collagen Capsule Cream yang tidak terjejas boleh disambung semula selepas ujian tidak mengesan pewarna Sudan IV yang dilarang, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jumaat (28 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan krim Medicube yang tidak terjejas boleh disambung semula: HSA

HSA menyatakan penjualan kumpulan produk Medicube PDRN Pink Collagen Capsule Cream yang tidak terjejas boleh disambung semula. (Gambar: Medicube)

Diterbitkan : 28 Aug 2026 09:13PM
  • HSA mengarahkan tiga syarikat di Singapura menggantung penjualan Medicube PDRN Pink Collagen Capsule Cream sementara ujian dijalankan kerana kebimbangan pewarna Sudan IV.
  • Ujian mendapati Sudan IV hanya terdapat dalam dua kelompok produk yang dijual oleh Venus Beauty, menyebabkan kelompok tersebut ditarik balik pada 26 Ogos.
  • APR SG dan Rirora International dibenarkan menyambung penjualan kelompok yang tidak terjejas selepas disahkan bebas Sudan IV.
  • HSA mewajibkan semua kelompok produk diuji makmal bertauliah sebelum dijual dan menasihatkan pengguna membeli daripada peruncit bereputasi untuk keselamatan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Penjualan kelompok Medicube PDRN Pink Collagen Capsule Cream yang tidak terjejas boleh disambung semula selepas ujian tidak mengesan pewarna Sudan IV yang dilarang, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jumaat (28 Ogos).

Pada 31 Julai 2026, HSA mengarahkan tiga syarikat yang memasarkan produk tersebut di Singapura - APR SG, Venus Beauty dan Rirora International - menggantung penjualannya sementara sampel produk diuji.

Ujian HSA kemudian mengesan sejumlah kecil pewarna Sudan IV dalam dua sampel yang dijual Venus Beauty.

HSA pada Rabu (26 Ogos) mengarahkan kelompok terjejas ditarik balik.

Kumpulan produk tersebut mempunyai nombor kelompok 2E122I.2E117I dan 2E191G.2E193G.

Sudan IV tidak dikesan dalam sampel yang diserahkan APR SG dan Rirora International. Kedua-dua syarikat itu kini dibenarkan menyambung semula penjualan kelompok produk yang tidak terjejas.

PEWARNA SUDAN IV DILARANG DALAM KOSMETIK

Pewarna Sudan Red, termasuk Sudan IV, tidak dibenarkan digunakan dalam produk kosmetik.

Kumpulan pewarna itu biasanya digunakan untuk mewarnakan plastik dan bahan sintetik lain dan didapati mempunyai kesan karsinogenik, menurut Suruhanjaya Eropah.

Ia juga berpotensi menyebabkan kesan toksik, iaitu kerosakan terhadap bahan genetik.

HSA bagaimanapun menyatakan jumlah Sudan IV yang dikesan dalam kelompok terjejas adalah sangat kecil dan penggunaan sebelum ini tidak mungkin mendatangkan risiko kesihatan yang serius.

Namun, pengguna dinasihatkan supaya berhenti menggunakan produk daripada kelompok terjejas dan menghubungi penjual jika mempunyai pertanyaan mengenai bayaran balik.

Setakat ini, HSA belum menerima sebarang laporan tempatan mengenai kesan buruk yang dikaitkan dengan produk tersebut.

SETIAP KELOMPOK PERLU DIUJI

Sebagai langkah perlindungan tambahan, HSA mengarahkan ketiga-tiga syarikat memastikan setiap kelompok produk yang akan dijual di Singapura diuji oleh makmal bertauliah bagi memastikan ia bebas daripada Sudan IV sebelum dibekalkan di pasaran tempatan.

Syarikat terbabit juga perlu menyerahkan laporan ujian bagi produk yang akan dijual di Singapura kepada HSA.

HSA turut menasihatkan pengguna supaya tidak membeli atau menggunakan produk kosmetik daripada sumber yang meragukan atau tidak dikenali, khususnya jika sumber atau mutu produk tidak dapat dipastikan.

Pengguna digalakkan membeli daripada peruncit yang ada reputasi dan mempunyai operasi mantap di Singapura.

Sesiapa yang didapati membekalkan produk kosmetik yang tidak mematuhi peraturan, termasuk produk yang mengandungi bahan terlarang, boleh didenda sehingga S$50,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita