Jualan kebaya di SG meningkat sehingga 35% selepas diiktiraf UNESCO, namun tetap berdepan cabaran
SINGAPURA: Perniagaan kebaya tempatan menyaksikan peningkatan jualan sehingga 35 peratus sepanjang tahun lalu.
Ini selepas busana tradisional itu disenaraikan dalam Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO pada Disember 2024, serta meraih manfaat daripada usaha pemerintah untuk mempromosikan kebaya melalui pemasaran secara online dan kedai-kedai 'pop-up'.
Namun, para penggiat kebaya bimbang akan kurangnya anak muda yang ingin meneruskan seni halus itu.
Little Nyonya Batik mencatat peningkatan jualan kebaya lebih 30 peratus sepanjang tahun lalu.
Sejak kebaya diiktiraf pihak UNESCO, pakaian tradisional itu berjaya menarik kembali perhatian orang ramai.
Inisiatif Lembaga Warisan Negara (NHB) turut membantu, dengan menampilkan kebaya di kawasan kejiranan, pusat beli-belah, muzium, serta tempat tarikan pelancong.
Media tempatan juga membantu dalam menarik peminat baharu, contohnya, menerusi siri drama 'Emerald Hill'.
Namun, cabaran terus wujud. Pembekal kain bermutu untuk kebaya dari luar negara semakin berkurangan, dengan lebih ramai pelanggan memilih fesyen moden yang ringkas berbanding pakaian tradisional.
Pengurus Little Nyonya Batik, Della Ong berkata: "Tidak banyak kilang yang menghasilkan kain untuk kebaya, jadi kami terpaksa mencari di kedai-kedai kecil di Indonesia, seperti Jakarta dan Bandung.
"Banyak kilang terpaksa ditutup akibat persaingan sengit, terutamanya dari fesyen segera luar negara.
"Di kampung saya sendiri, dulu terdapat 10 kilang yang menghasilkan kain berkenaan, tetapi sekarang mungkin tinggal dua."
Perniagaan turun-temurun di Arab Street, Toko Aljunied, mencatat peningkatan jualan sebanyak 25 peratus sepanjang tahun lalu.
Namun, ia masih mencari pengganti untuk meneruskan perniagaan berusia 85 tahun itu.
Pemilik Toko Aljunied, Zahra Aljunied berkata: "Kedai ini dibuka oleh datuk saya, jadi kami merupakan generasi ketiga.
"Namun, hingga kini, kami masih belum menemui pewaris yang benar-benar berminat untuk meneruskan perniagaan ini.
"Ada beberapa perniagaan keluarga di sepanjang Arab Street ini misalnya, yang terpaksa ditutup kerana generasi seterusnya tidak mahu ambil alih perniagaan."
Kedai 'Kebaya by Ratianah' bagaimanapun sudah berhasil mendapatkan pewaris.
Anak perempuan kepada pemiliknya akur pendidikan untuk generasi muda amat penting bagi mengekalkan busana warisan untuk generasi masa depan.
Penolong Pengurus, Kebaya by Ratianah, Putri Nadirah berkata: "Kebaya itu sendiri sangat menonjol dalam budaya saya, jadi pendedahan awal memang membantu untuk menggalak minat saya terhadapnya.
"Saya membesar melihat ibu, nenek dan semua wanita cantik memakai kebaya, dan ia mencipta memori istimewa serta rasa keakraban dalam mengenang tokoh-tokoh wanita yang memakainya."
Cik Putri melihat sendiri peningkatan kebaya fesyen segera di pasaran, dan menambah bahawa ini mungkin menghakis teras busana tradisional itu.
Beliau berharap lebih ramai orang menghargai seni dan warisan di sebalik kebaya buatan tangan, serta memastikan bahawa tradisi itu tidak luput ditelan zaman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.